Ibu kepada lima cahaya mata itu bercerita, dia lebih berhati-hati mengawal pemakanan selepas didiagnosis menghidap penyakit tersebut ketika hamil anak ketiganya yang kini berusia 24 tahun.

“Pada mulanya saya mengalami simptom seperti jangkitan salur kencing, dehidrasi dan mudah berasa penat. Berat badan saya pernah mencecah 80 kilogram dengan ketinggian 162 sentimeter.

“Saya kini sedaya upaya mengelak makanan berminyak seperti samosa yang menjadi kegemaran saya dahulu. Ketika bersahur saya biasanya mengambil sedikit nasi, sayur bersama ikan atau ayam dibuang kulit yang lazimnya dimasak tanpa minyak seperti dipanggang atau dikukus.

“Saya juga akan meluangkan masa melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh seperti menguruskan kebun orkid mini di halaman rumah atau sekadar berjalan-jalan di sekitar kediaman,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, dia turut memantau sendiri paras gula dalam darah di samping mengambil beberapa jenis ubat seperti dipreskripsi doktor secara berdisiplin dan melatih diri berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban untuk membiasakan tubuh berpuasa ketika Ramadan.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Jabatan Dietitik dan Perkhidmatan Makanan, Institut Jantung Negara (IJN), Siti Farhath Sehu Allavudin berkata, terdapat tiga keadaan yang perlu difahami pesakit iaitu hipoglesemia, hiperglesemia dan dehidrasi ketika berpuasa.

Hipoglisemia iaitu paras gula yang sangat rendah dalam darah akan memberi tindak balas 1.6 kali lebih tinggi semasa berpuasa. Ia boleh dilihat melalui tanda-tanda degupan yang jantung yang laju, berpeluh dan menggeletar.

Hiperglisemia berlaku apabila paras gula yang tinggi dalam darah, manakala dehidrasi ialah keadaan tubuh kehilangan air.

“Justeru, pesakit harus membincangkan pelan pengurusan makanan diabetes dan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil bersama doktor atau profesional penjagaan kesihatan mereka sebelum berpuasa.

“Kegagalan melakukannya boleh menyebabkan tahap gula dalam darah menjadi tidak terurus dan diabetes tidak terkawal. Mereka yang mengambil ubat untuk menurunkan gula darah juga perlu mendapatkan khidmat nasihat sewajarnya,” jelasnya pada Bengkel Media Pengurusan Diabetes di IJN, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kategori risiko

Menurutnya, kategori risiko untuk penghidap diabetes terbahagi kepada risiko rendah, tinggi, sederhana dan sangat tinggi.

Dalam hal ini, pesakit kencing manis menghadapi pelbagai cabaran walaupun ketika berada dalam situasi yang optimum, apatah lagi apabila terpaksa berhadapan dengan situasi yang menuntut lebih daripada kemampuan tubuh mereka.

Pesakit diabetes dinasihatkan berbuka apabila bacaan gula dalam darah kurang daripada 3.3 milimol per liter (mmol/L) pada bila-bila masa sepanjang hari atau kurang daripada 3.9mmol/L pada awal beberapa jam puasa atau bacaan gula dalam darah melebihi 16.7mmol/L.

Mereka yang mengalami tanda-tanda hipoglisemia seperti kekeliruan, pening atau hiperglisemia yang ditunjukkan dengan reaksi dahaga berlebihan, kerap membuang air kecil dan kekebasan pada kaki turut disarankan berbuka.

Siti Farhath berkata, antara golongan yang berisiko tinggi ialah mereka mempunyai rekod komplikasi diabetes yang teruk dalam tempoh tiga bulan sebelum berpuasa, tiada kesedaran hipoglisemia serta hiperglisemia, pesakit diabetes jenis satu, kehamilan dan kegagalan buah pinggang.

Pengurusan diabetes

Begitupun, berpuasa semasa Ramadan adalah selamat untuk mereka yang menghidap diabetes jenis dua yang terkawal dengan pendidikan dan pengurusan diabetes yang betul.

Secara mudah, pengurusan diabetes dapat dibahagikan kepada tiga perkara iaitu aktiviti fizikal harian, pengambilan ubat-ubatan serta pemantauan sendiri dan pengawalan daripada aspek pemakanan.

“Dalam hal ini, sahur adalah penting dan tidak boleh ditinggalkan. Ia boleh diambil selewat mungkin sebelum imsak dan harus terdiri daripada makanan seimbang.

“Seseorang harus berbuka tepat pada waktunya dan mengambil air yang mencukupi untuk menggantikan kehilangan air pada waktu siang,” nasihatnya.

Pada bengkel tersebut Pengurus Kanan Dietitik dan Perkhidmatan Makanan IJN, Mary Easour turut menunjukkan demonstrasi memasak bubur lambuk dan kopi ais kisar bercampur pisang untuk pesakit diabetes.

“Bataskan pengambilan makanan berlemak, bergoreng dan tinggi gula serta garam. Begitupun, satu atau dua biji buah kurma pada permulaan menu berbuka dibolehkan.

“Sekiranya, seseorang itu tidak biasa bersahur atau tidak boleh menelan makanan pada waktu awal pagi, bolehlah cuba menyediakan susu kocak berkhasiat untuk dinikmati,” ujarnya yang turut berpuasa selama 15 hari pada Ramadan tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pemakanan dan dietitik turut mengingatkan, makanan perlu dihidangkan tidak melebihi empat jam daripada tempoh ia dimasak.

“Sebaiknya, asingkan makanan yang siap dimasak sama ada untuk disimpan di dalam peti sejuk atau dimakan sebelum ia dihidang dan bukannya menyimpan lebihan makanan yang telah disajikan bagi memastikan sesuatu masakan itu selamat dan tidak tercemar.

Buku resipi

“Secara peribadi saya turut berpendapat adalah penting, pengguna mendapatkan maklumat atau melihat dengan teliti makanan yang dibeli di bazar Ramadan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini seperti keracunan makanan,” tuturnya.

Turut dilancarkan pada bengkel tersebut ialah buku Panduan Pengurusan Diabetes Resipi Ramadan Enak & Lazat yang mengandungi lapan resipi mesra pesakit diabetes antaranya ikan diperap kari yogurt, tikka masala kubis bunga, agar-agar cendol dan beriani peria.

Naskhah yang diterbitkan dengan kerjasama Nestle Health Science itu boleh didapati secara percuma di laman web www.nestlehealthscience.my.