Salah satu program masakan popular ialah Apa Nak Makan Ni? yang disiarkan pada setiap hari menerusi sebuah stesen televisyen swasta.

Tarikan utama dalam program masakan itu sudah pasti terarah kepada cef lelaki bertubuh sasa dan raut wajah yang tampan.

Kepetahannya berkata-kata dan penerangan yang jelas berjaya menambat hati penonton terutamanya wanita untuk menghadap televisyen selama setengah jam.

Susuk yang dimaksudkan ialah Muhammad Naim Ramli, 27, atau lebih dikenali sebagai Cef Naem yang merupakan muka baharu dalam program masakan di negara ini.

Antara rancangan masakan yang dikendalikan oleh Cef Naem ialah Dapur Bujang dan Dapur Western terbitan HyppTV, Dapur Panas serta Sembang Sahur.

Ubah hidup

Keputusan untuk mengendalikan program masakan itu bertitik tolak daripada kejayaannya menjuarai rancangan realiti televisyen Hero Oven pada tahun 2016.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka langkah menyertai Hero Oven telah mengubah hidup ini. Saya terima satu persatu tawaran.

“Penyertaan saya dalam acara itu didorong oleh permintaan kedua-dua ibu bapa yang mengimpikan satu perubahan dalam diri ini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di kediamannya di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Tahun ini merupakan kali kedua anak kedua daripada lima adik-beradik itu beraya sebagai seorang cef selebriti yang kian meningkat naik di negara ini.

Menyingkap perjalanan anak kelahiran Gombak, Selangor itu, ibunya, Haslina Munir, 56, berkata, Cef Naem bukanlah seorang yang gemar ke dapur.

Sejak kecil dia tidak pernah menunjukkan minat terhadap bidang kulinari, sebaliknya lebih aktif dalam aktiviti sukan.

“Seingat saya, dia memang tidak pernah menolong di dapur. Dia lebih banyak menghabiskan masa bermain bola sepak dan sofbol,” katanya.

Haslina yang juga seorang suri rumah memaklumkan, selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, dia mencadangkan Cef Naem mengambil sijil kemahiran kulinari di Universiti Taylor.

Cadangan tersebut diterima oleh Cef Naem meskipun dia sedar bidang tersebut tidak diminati langsung anaknya.

“Saya minta dia masuk kursus itu bagi mengelakkannya bercampur dengan remaja nakal dan melakukan aktiviti tidak bermanfaat.

“Permintaan saya itu diterima dengan hati terbuka. Dia tidak pula mempersoalkan mengenai bidang kulinari yang lebih sinonim dengan kaum Hawa,” kenangnya.

Selepas mendapat sijil dari Universiti Taylor, Cef Naem melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Universiti Sunway.

Kemudian, dia menyertai bidang pekerjaan dengan berkhidmat di beberapa buah restoran dan hotel terkemuka di ibu negara.

Antaranya sebagai tukang masak di Hotel Istana dan Mandarin Oriental di Kuala Lumpur.

Berkhidmat sebagai tukang masak selama hampir lima tahun memberi peluang kepada Cef Naem menimba ilmu mengenai masakan Melayu, Barat dan Asia daripada cef terkemuka tanah air.

Matang

Menurut Haslina, selepas Cef Naem memasuki alam pekerjaan, pemikiran anak bujangnya itu semakin matang termasuk dalam aspek interaksi dan menyimpan wang.

“Saya boleh lihat perubahan pada diri dia. Kalau dahulu, dia boleh dianggap nakal dalam keluarga ini, namun selepas bekerja, nampak ada sedikit perubahan.

“Saya yakin, ia hasil daripada nasihat dan didikan yang diberikan oleh cef di tempat dia berkhidmat. Kalau nasihat kami ini, dia susah sedikit mahu ikut,” katanya.

Tiada ibu yang enggan melihat anak-anaknya berjaya dalam kehidupan. Begitulah harapan Haslina.

Haslina sentiasa berusaha mencari jalan untuk Cef Naem berjaya. Sehinggalah satu hari dia terlihat iklan program realiti mengenai pencarian Hero Oven yang pertama di televisyen.

Dia memberi cadangan kepada Cef Naem untuk turut serta dalam program pencarian bakat baharu itu sebagai platform mengembangkan kerjaya pada masa depan.

Justeru, Haslina memaksa anaknya menghantar video pendek yang memaparkan aksi menghasilkan kek cawan kepada stesen televisyen terbabit.

Ternyata, langkah tersebut berhasil apabila dia dipilih sebagai peserta akhir sebelum dinobatkan menjadi juara pertama Hero Oven.

“Saya minta dia masuk sebab fikirkan masa depannya. Sebenarnya, dia segan hendak masuk program realiti itu.

“Alhamdulillah, penglibatannya dalam program realiti berkenaan membuahkan hasil,” ujarnya sambil tersenyum.

Hasil kemenangan itu, Cef Naem berjaya membawa pulang trofi kemenangan serta dijanjikan sebuah rancangan masakan oleh stesen tersebut.

Kemenangan tersebut telah mendorong Cef Naem untuk berhenti kerja sebagai tukang masak di hotel bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya baharu.

Bagaimanapun, Cef Naem terpaksa menganggur selama lima bulan sebelum ditawarkan mengacarakan program masakan Dapur Panas yang disiarkan pada tahun lalu.

“Saya menyesal sebenarnya mengambil keputusan berhenti awal kerana tidak ada pendapatan lain ketika itu.

“Ketika menganggur, macam-macam kerja saya buat untuk mencari rezeki seperti jualan but kereta, pemandu Grab secara sambilan dan kereta sewa,” ujar Cef Naem yang bercita-cita menjadi peragawan ketika kecil.

Berkat kesabaran dan semangat tidak berputus asa, Cef Naem kini boleh dianggap berada di puncak populariti.

Menurut Haslina, meskipun kini anaknya bergelar cef selebriti, dia masih enggan masuk ke dapur untuk membantunya atau memasak.

Dia juga tidak selesa sekiranya Cef Naem masuk ke dapur kerana budaya tukang masak di hotel berbeza di rumah.

“Sekali-sekala itu teringin juga hendak rasa masakan dia. Jadi, dia akan masuk ke dapur untuk masak. Selalunya, hidangan yang dimasak ialah asam pedas, kari dan sambal.

“Namun, kalau dia masuk dapur mesti berselerak habis dapur. Dia tidak pandai kemas, mungkin terbawa-bawa cara kerja di hotel yang ada orang tolong kemas,” ujarnya.

Mengulas mengenai Aidilfitri, Cef Naem memberitahu, keluarganya menyambut hari kemenangan umat Islam itu secara sederhana.

Ujarnya, pada malam raya, mereka sekeluarga akan berkumpul di rumah dan masak juadah tradisi seperti rendang serta ketupat secara beramai-ramai.

“Rendang dan ketupat memang menu wajib saya setiap kali tibanya hari raya. Kalau tidak ada hidangan ini, raya seperti tidak lengkap,” jelasnya.

Perkara wajib yang akan dilakukannya setiap pagi raya adalah bersalam memohon kemaafan daripada kedua-dua ibu bapa.

Ujarnya, sebaik selesai sesi bersalaman, mereka sekeluarga menunggu kedatangan saudara-mara dan sahabat handai di rumah.

Kuih raya

“Saya ini orang bandar, tidak ada kampung. Jadi, masa saya lebih banyak dihabiskan di rumah. Kalau bosan sangat, kami adik-beradik keluar menonton wayang,” katanya.

Sempena raya pada tahun ini, Cef Naem turut berjinak-jinak dengan perniagaan menjual kuih raya menerusi jenama Hero Cookies.

Tegasnya, penglibatan dalam perniagaan lebih sekadar suka-suka untuk mencari pendapatan lebih sempena Aidilfitri.

Menariknya, dia menggunakan media sosial sebagai platform untuk memasarkan produk jualannya ke seluruh negara.

“Baru dua bulan saya terlibat dalam perniagaan ini. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Sebagai pemenang Hero Oven, saya perlu memanfaatkan kejayaan itu dengan melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan biskut,” katanya.