“Sejujurnya, saya bukanlah peminat fanatik rancangan itu tetapi suami dan tiga anak perempuan saya yang masing-masing berusia 6, 9 serta 11 tahun begitu menyukai segala yang berkaitan dengan watak-watak dalam siri tersebut.

“Pameran seperti ini memberi peluang kepada pengunjung melihat item yang dipamerkan secara lebih dekat dan sesetengahnya boleh disentuh. Ramai juga pempamer yang bersikap ramah dan tidak lokek menerangkan barang-barang pameran mereka.

“Saya juga melihat ada bengkel yang mengajar kanak-kanak secara langsung seperti membina skala model dan perisian robot. Ini membuatkan anak-anak lebih relaks dan mudah dikawal kerana ia memang merupakan minat mereka,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, pengendali laman sosial Batman Fans Malaysia (BFM), Faizi Omar menjelaskan, lebih 200 item berkaitan watak adiwira yang sinonim dengan imej kelawar itu.

Edisi terhad

BFM yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu mempunyai kira-kira 1,300 ahli dan matlamat penubuhannya ialah menyatukan peminat Batman di negara ini di samping berkongsi maklumat serta perkembangan semasa Batman.

“Paling menarik perhatian ialah koleksi siri Detective Comics yang diterbitkan sekitar tahun 1940-an. Bahan bacaan itu menjadi platform terawal kemunculan Batman sejak ia dicipta Bob Kane (pelukis) dan Bill Finger (penulis) pada tahun 1939.

“Barangan ini kami kumpul daripada ahli-ahli BFM yang menghantarnya ke sini termasuk dari luar Kuala Lumpur seperti dari Johor dan Perak. Ia terdiri daripada model kenderaan, figura dan cenderamata edisi terhad seperti botol air yang dikeluarkan pada tahun 1966.

“Barangan ini bukan untuk dijual dan kebanyakannya dibeli secara atas talian dari luar negara. Tujuannya ialah supaya peminat Batman dapat melihat koleksi yang jarang-jarang ditemui dengan lebih dekat,” tutur pengusaha badabingtoys itu.

Syahrul Nizam Rusli, 34, dari Modska Skunk Werx berpendapat, hobi bukan saja bertujuan mengisi masa senggang tetapi mewujudkan persaingan sihat dan memberi peluang kepada seseorang mencipta kelainan, sekali gus berfikiran kreatif.

Jelasnya, Modska Skunk Werx merupakan komuniti pembina model skala berkonsep ketenteraan yang melibatkan pengangkutan darat, air dan udara seperti pesawat tempur, kapal perang, kereta kebal serta trak askar.

“Kit-kit model itu kebanyakan dibeli secara online dari negara seperti Jepun, Taiwan dan China. Dalam hal ini, kami akan memotong, mencantum dan mengecat sendiri kepingan struktur yang disediakan mengikut manual yang diberikan.

Matlamat

“Ia proses yang rumit dan saya sendiri lazimnya mengambil masa sekitar tiga minggu hingga empat bulan. Ini kerana kami berurusan dengan komponen model skala yang kecil dan ribuan kepingan diperlukan untuk melengkapkan sesuatu model,” jelas penjawat awam itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Hobi Malaysia, Norazam Ismail berkata, matlamat ekspo yang dianjurkan dengan kerjasama GF Cube Global Sdn. Bhd., itu ialah menggabungkan peminat dan pengusaha berasaskan hobi di bawah satu bumbung.

Menurutnya, matlamat penganjur ialah mempromosi dan mengembangkan satu lagi sektor ekonomi iaitu industri hobi bagi menjana pendapatan negara.

“Di negara-negara maju terutamanya Jepun, kerjaya berasaskan hobi seperti pembina model skala menjadi pekerjaan profesional dan produk-produk mereka dipasarkan pada skala besar. Begitupun, kesedaran masyarakat di Malaysia dalam bidang itu mula menunjukkan perkembangan positif.

“Sebagai contoh, kita dapat melihat peralatan dan teknologi yang digunakan anak tempatan seperti penggunaan perisian-perisian tertentu, teknik pemotongan laser serta ukiran menggunakan mesin kawalan numerikal (CNC) setanding yang digunakan di luar negara,” ujarnya.