Tinjauan Pemakanan Musim Cuti melibatkan 5,500 responden di 11 rantau Asia Pasifik oleh syarikat pemakanan global, Herbalife Nutrition mendapati, 83 peratus daripada mereka mengambil makanan lebih daripada kebiasaannya semasa Hari Raya Aidilfitri. Musim percutian itu membawa cabaran terbesar kepada rakyat Malaysia untuk mengekalkan pemakanan sihat dan bersenam.

Pengurus Besar dan Pengarah Herbalife Nutrition Malaysia, Steven Chin berkata, dapatan itu mendedahkan, pengguna di rantau ini merekodkan peningkatan berat badan sebanyak 6 kilogram selepas habis musim perayaan tersebut, sekali gus menjadikan ia peningkatan tertinggi berbanding musim perayaan lain seperti Deepavali, Krismas dan sambutan Tahun Baru.

“Adalah penting bagi mereka untuk mengekalkan gaya hidup, termasuk memilih makanan yang lebih baik dan memulakan aktiviti fizikal untuk memudahkan pengurusan berat badan serta meningkatkan kesihatan secara menyeluruh sepanjang tempoh perayaan,” katanya kepada Pesona baru-baru ini.

Pemakanan kurang sihat

Ujarnya, angka itu juga dipengaruhi dengan peningkatan berat badan semasa bulan Ramadan yang diakibatkan oleh pemilihan pemakanan dan kurangnya aktiviti senaman sepanjang bulan puasa.

Sebanyak 55 peratus responden mendapati pemilihan pemakanan semasa perayaan Aidilfitri kurang sihat berbanding tempoh biasa. Antara faktor yang menyumbang ke arah itu ialah keseronokan menikmati makanan yang sedap semasa musim cuti (73 peratus), lebih fokus dengan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga (53 peratus) dan ajakan keluarga serta rakan untuk menjamu selera bersama mereka (52 peratus).

Sementara bulan Syawal banyak dihabiskan dengan jamuan, 48 peratus daripada pengguna Malaysia menyatakan rasa bersalah akibat tabiat pemakanan yang tidak sihat manakala 63 peratus menyatakan hasrat untuk makan lebih sihat selepas musim perayaan.

Bagi aspek senaman fizikal, 61 peratus menyatakan mereka kurang berbuat demikian semasa bulan Ramadan dan ketika Aidilfitri menjelma, manakala 49 peratus menangguhkan rutin senaman sehingga tamat musim raya. Sebab utama termasuk fokus masa bersama keluarga (60 peratus), kurang masa untuk bersenam semasa musim perayaan (56 peratus) dan kesukaran untuk kekalkan rutin senaman semasa musim perayaan (48 peratus).

Sementara itu, pakar kecergasan, Mohamad Ashraf Hasim berkata, bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan semasa musim perayaan perlu merancang pemakanan.

Kawal kalori

“Seeloknya makan dahulu di rumah dan elak makanan bergoreng atau berminyak. Apabila tiba ke rumah terbuka, pilih satu makanan utama dan jaga kuantiti yang dimakan, kalau boleh elak daripada duduk di hadapan meja yang menghidangkan kuih raya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar Mohamad Ashraf sebiji kuih raya mengandungi kira-kira 80 hingga 120 kalori (kcal).

“Kalau seseorang itu memakan sebiji dua masih diterima, tetapi jika sudah mencecah 10 biji kuih, kalori yang diambil sudah hampir menyamai keperluan pengambilan kalori untuk sehari.

“Minuman juga perlu dititikberatkan. Ramai orang menambah berat badan akibat minuman manis dan bikarbonat yang dihidang semasa rumah terbuka,” tambahnya.

Mohamad Ashraf mencadangkan mengelakkan minuman manis dan jika masih rasa teringin, ambil tidak lebih daripada secawan air manis kerana air manis akan menaikkan pengambilan kalori harian secara mendadak sehingga dua kali ganda.

Mengulas mengenai rutin senaman ketika musim perayaan, Mohamad Ashraf mengakui memang ramai orang sibuk ketika bulan Syawal namun ia bukanlah alasan untuk tidak bersenam.

“Sesi bersenam boleh dimulakan selepas subuh, ada dua jam antara pukul 6 hingga 8 pagi. Senaman yang sesuai ialah kardio seperti berjoging, namun jika masih rasa malas, lakukan lompat bintang antara 20 ke 30 minit,” katanya.

KUIH raya antara makanan yang menyumbang kepada peningkatan kalori seharian. - gambar hiasan