Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemain automotif utama di negara ini harus belajar bagaimana industri automotif China menjadi pengeluar automotif yang pantas berkembang di seluruh dunia sehingga menjadi antara lima pengeluar utama kenderaan dunia selain Jepun, Korea, India dan Amerika Syarikat.

“Pada tahun ini, walaupun ekonomi dunia sekarang tidak menentu, China telah mengeluarkan lebih dua juta unit kenderaan penumpang.

“Oleh itu, saya yakin melalui perkongsian strategik antara DRB-HICOM dengan Geely akan menjadi satu era baru kepada Proton agar terus berkembang sebagai jenama kereta nasional yang unggul untuk pasaran domestik dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Auto Malaysia 2017 di Taman Ekspo Agro di sini semalam.

Ahmad Zahid menjelaskan, seperti pendekatan industri automotif China, sudah pasti Proton mendapat akses kepada pelbagai platform serta enjin yang dibangunkan oleh Geely selain Proton juga berpeluang menembusi pasaran sedia ada termasuk di Asia Tenggara.

Katanya, perkembangan pesat industri automotif negara republik itu didorong melalui empat faktor penting.

Ia adalah perkongsian strategik dengan pembuat automotif seperti Volkswagen, GM, Toyota, Honda dan Kia yang lebih memberi tumpuan terhadap kerjasama teknologi yang membolehkan mereka mempelajari dan menguasai seterus­nya.

“Keduanya, mereka amat mementingkan akses pasaran bagi memastikan kereta yang dikeluarkan boleh dipasarkan ke seluruh dunia selain pembentukan pakej ransangan fiskal bagi merangsangkan permintaan tempatan untuk kenderaan walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu,” ujarnya

Seramai 250,000 pengunjung disasarkan menghadiri Pameran Auto Malaysia 2017 yang bertemakan Smart, Safe and Sustainable Mobility dan merupakan terbesar pernah dianjurkan oleh IAM.