"Seingat saya perasaan gementar itu berlanjutan selama dua tahun. Selain itu saya sering mengalami migrain. Tubuh saya berasa tidak bermaya dan hilang motivasi untuk bekerja.

"Pernah saya terfikir mahu memecut laju kenderaan dan merempuh pembahagi jalan. Tetapi ia hanya terlintas di fikiran. Saya begitu mengharapkan kematian datang menjemput.

"Saya juga berasa diri tidak berguna sama ada sebagai seorang isteri, ibu atau pekerja yang baik untuk majikan," imbau Aida pada satu forum minum petang bersempena Bulan Kesedaran Mental Sedunia di Gleneagles Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program itu merupakan inisiatif Gleneagles Kuala Lumpur dalam menyediakan platform perbincangan aktif berhubung isu kesihatan mental wanita.

Aida ketika itu berkhidmat di bahagian pengurusan sumber manusia sebuah syarikat korporat terkemuka selama enam tahun.

Namun, siapa sangka dalam tempoh tersebut dia menyimpan bebanan perasaan yang boleh diibaratkan seperti bom jangka yang menunggu waktu untuk meletup.

"Sebenarnya saya seorang yang periang dan aktif di pejabat. Saya suka menggembirakan orang-orang di sekeliling. Namun, hari demi hari persekitaran kerja seharian dirasa kian menekan.

"Saya perlu memenuhi jangkaan ketua sementelah sikap saya yang begitu patuh menerima segala arahan bagaikan memakan diri. Perubahan sikap yang paling ketara ialah saya mula menjadi seorang pemarah sehingga anak-anak takut untuk mendekati saya," tuturnya.

Kemuncaknya pada tahun 2013 Aida bagai dikejutkan daripada mimpi. Ia berlaku apabila dia menyedari anak keduanya yang akan mendaftar ke tahun satu langsung tidak tahu membaca.

Muhasabah

"Saya langsung tidak mengetahui perkembangan anak-anak. Saya tidak memerhatikan fasa pembesaran yang mereka dilalui. Pada masa sama, saya sendiri tidak terurus.

"Saya kemudiannya berjumpa doktor dan disahkan menghidap kemurungan. Saya bersyukur mendapat sokongan suami dan anak-anak untuk menjalani rawatan," tuturnya yang akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja.

Dia turut didiagnosis menghidap bipolar dan perlu bergantung kepada beberapa jenis ubat mengikut preskripsi doktor di samping mengikuti sesi terapi secara berkumpulan setiap bulan.

"Secara peribadi, saya berpendapat kemurungan tidak bermaksud kita sentiasa berfikiran negatif. Kalau dapat kesan awal insya-Allah tidak akan menjadi beban. Sentiasa yakin pertolongan akan selalu ada untuk kita.

"Alhamdulillah ia ibarat peluang kedua buat diri saya untuk memuhasabah diri dan melihat masa depan dunia dan akhirat dengan lebih positif," tuturnya optimis.

Lain pula kisahnya dengan gadis berusia 17 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Sarah. Anak bongsu daripada tiga beradik itu dikesan mengalami kemurungan ketika berumur 14 tahun.

Zaman persekolahannya kelam. Sejak berusia 11 tahun dia telah bergelut dengan isu itu. Menurut Sarah, dia pernah melalui pengalaman dibuli. Buli kanak-kanak perempuan tidak melibatkan fizikal tetapi lebih kepada tingkah laku dan perasaan.

Luahan emosi

"Saya pernah bertukar sekolah beberapa kali. Saya dituduh sengaja mengada-adakan cerita dan menipu untuk menarik perhatian. Kesudahannya saya memilih untuk belajar secara persendirian di rumah sejak tiga tahun lalu.

"Orang sering berkata, saya masih muda dan mempersoalkan apa yang mengganggu pemikiran saya. Saya sendiri sukar untuk menjelaskannya. Tetapi saya tahu saya bukan gila," ujar gadis yang berbakat dalam bidang lukisan itu.

Baru selesai menduduki peperiksaan O-Level, Sarah mengakui dia kini sedang mengumpul keyakinan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat universiti atau kolej pada masa depan.

"Saya sedar lambat laun saya perlu keluar daripada permasalah ini dan menghadapinya. Saya kini lebih bertenang dan fokus pada pemulihan diri selain menjadikan aktiviti melukis sebagai medium luahan emosi," ujarnya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, gangguan kemurungan cenderung berlaku kepada wanita dengan kadar 41.9 peratus berbanding 29.3 peratus dalam kalangan lelaki.

Pakar Perunding Psikiatri Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh menjelaskan, masalah kemurungan terbahagi kepada tiga tahap iaitu rendah, sederhana dan serius.

"Kemurungan bukan setakat rasa sedih. Ia boleh melarat kepada simptom lain seperti rasa pesimis serta putus asa sehingga mendengar bisikan negatif yang akhirnya mengundang perkara tidak diingini seperti mencederakan diri sendiri dan orang lain.

"Ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti perubahan hormon, gaya hidup trauma silam, masalah rumah tangga dan konflik tempat kerja yang memberi tekanan kepada seseorang.

"Masalah ini tidak mengenal usia dan boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang sosial, ekonomi, pendidikan termasuk kanak-kanak. Namun jika diperhatikan ia lebih kerap melanda orang dewasa dalam lingkungan umur produktif antara 20 hingga 40 tahun," ujarnya.

Tekanan emosi yang tidak terkawal boleh menyebabkan berlaku ketidakseimbangan neurokimia melibatkan cecair serotonin dan noradrenaline di dalam otak.

Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang wujud dalam sistem saraf pusat dan perubahan paras serotonin dalam otak boleh mengubah mood seseorang.

Sementara itu, secara ringkas noradrenalin atau disebut norepinefrin berperanan meningkatkan rasa waspada serta gelisah, memfokus perhatian serta turut terlibat dalam proses mengembalikan memori.

Justeru, Nor Hamidah menjelaskan, pengambilan ubat tertentu seperti antidepresi dan ubat yang dapat memberi kesan sedatif (menenangkan saraf dan melegakan ketegangan) boleh membantu merawat pesakit.

"Ubat-ubat ini tidak boleh dibeli oleh pesakit di farmasi tetapi ia memerlukan preskripsi doktor atau pakar. Dalam hal ini jumlah dosnya boleh dikurangkan dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan pesakit.

"Begitupun tahap kesembuhan bergantung kepada peringkat kemurungan dialami. Ada yang singkat dan ada mengambil masa. Malah jenis rawatan juga berbeza meliputi khidmat kaunseling, pemberian ubat dan sesi terapi berkumpulan," tuturnya.