Ada antaranya diselang-selikan dengan material perhiasan bermotif flora dan fauna diperbuat daripada logam, kayu dan seramik. Setiap satu perhiasan tersebut dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM20.

Pergolakan di negara asal, memaksa ibu kepada tiga cahaya mata yang berstatus pelarian itu sanggup berkelana Malaysia kira-kira tiga tahun lalu untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

“Saya pernah mengikuti pendidikan formal menghasilkan barangan kraf termasuk belajar membuat gelang sebegini selama lima tahun di Damsyik, Syria.

“Ini adalah satu cara menambah pendapatan keluarga. Saya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan lebih 50 utas gelang untuk dijual,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui pada program bazar amal anjuran Carefugees di Pusat Beli-belah Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Carefugees merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat sokongan kepada komuniti pelarian di Malaysia telah menjalankan kempen Feed a Family sempena Ramadan sejak tahun 2013.

Pengerusinya, Azra Banu berkata, kempen tahun ini menyasar membantu kira-kira 3,000 keluarga berbanding hanya 600 dapat dijangkau pada detik awal ia diperkenalkan. Setiap keluarga akan menerima bekalan makanan asas bernilai RM200

Beliau berkata, pihaknya menyewa empat buah gerai dan menjual pelbagai barangan antaranya buku terpakai, beg, kasut, peralatan rumah yang didermakan oleh orang ramai.

Tambahnya, terdapat juga makanan yang disediakan pelarian antaranya hidangan tradisional selain pastri dan kek turut dijual pada hari tersebut.

“Pada kempen jualan yang berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Februari lalu kami telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM62,000.

“Kesemua hasil yang telah dikumpul akan diagihkan kepada golongan sasar termasuk kepada masyarakat Rohingya di sekitar Klang serta Gombak, Kuala Lumpur dan komuniti Yemen di Serdang, Selangor pada 12 Mei ini.

Sementara itu Penasihat Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin berkata, bantuan yang disalurkan kepada pelarian masih tidak mencukupi dan ia memberi kesan kepada kelangsungan hidup mereka.

Keamanan

“Justeru, usaha sebegini dapat menggalakkan generasi muda menjadi sukarelawan terutamanya dalam membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada pelarian.

“Di negara kita sekurang-kurangnya terdapat 150,000 pelarian. Mereka tidak dapat melalui kehidupan sama seperti kita sedangkan dahulu mereka juga pernah hidup normal seperti mempunyai pekerjaan bersekolah dan sebagainya,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman terlibat dalam kerja sukarelawan sejak April 2017, Wan Nur Khaleda Aziz Roslan, 26, bercerita aktiviti seumpama itu mengajarnya erti menikmati erti keamanan dan kemakmuran yang dicapai negara.

“Apa yang berlaku bukan salah mereka (pelarian). Sebab itu kita perlu menggalakkan lebih ramai orang untuk menghulur tangan dan membantu golongan tersebut,” ujar graduan jurusan psikologi Universiti Help.

Orang ramai boleh menghulur bantuan menerusi nombor akaun 564427100073 (Maybank) atas nama Muslim Professionals Forum Bhd. atau layari laman Facebook Carefugees untuk maklumat lanjut.