Acap kali anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu akan mengambil satu daripada anak patung Barbie yang berambut panjang keperangan untuk dijadikan ‘rakan’ menemani aktiviti harian di rumah seperti ketika bersarapan atau menonton rancangan kartun kegemarannya.

“Namanya Alecia. Saya suka sikat rambut Alecia dan tukar bajunya,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada pameran Rumah Impian Kerjaya Barbie di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Juliana Arif, 41, bercerita, anak gadis sulung dan keduanya yang masing-masing berusia 21 serta 19 tahun turut menjadikan boneka tersebut sebagai teman permainan mereka sewaktu kecil.

Baru-baru ini, dia turut menyedari bahawa Nor Jazmina kian gemar merakam video bersama anak patungnya dengan beraksi seperti pengacara yang dilihat sama ada menerusi YouTube atau kaca televisyen.

“Pada pendapat saya, aktiviti bersama anak patung seperti melontar dialog perbualan dan berlakon bermain masak-masak membantu anak-anak menterjemahkan apa yang dilihat di persekitaran dalam dunia kanak-kanak mereka.

“Apa yang penting ialah pemantauan ibu bapa. Begitupun, secara peribadi saya tidak benarkan anak-anak tidur dengan permainan mereka dan ia tidak boleh dibawa ke sekolah atau tadika (taman didikan kanak-kanak),” tuturnya berterus terang.

Disimpan rapi

Berlainan pula dengan kisah Roszana Aminuddin, 40, yang mempunyai kira-kira 50 anak patung Barbie.

Kesemuanya disimpan rapi di dalam beberapa buah kotak besar bersama set almari pakaian serta dapur dan rumah mini yang dibeli dari semasa ke semasa untuk anak-anaknya.

“Anak saya dua perempuan dan tiga lelaki tetapi saya teringat peristiwa dulu-dulu, jika tiada kawan bermain, adik perempuan akan ajak abangnya bermain bersama-sama.

“Ia bukanlah anak patung edisi istimewa atau keluaran terhad. Sekarang ini banyak pilihan anak patung Barbie yang boleh dibeli pada harga berpatutan,” kongsinya ceria.

Tambahnya, kini hanya anak bongsunya, Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarol Azari, 10, yang setia bermain anak patung Barbie sementelah empat anaknya yang lain sudah meningkat dewasa.

Dalam pada itu, Pengurus Serantau Mattel Asia Tenggara, Ivan Franco menjelaskan, pameran yang berlangsung dari 19 hingga 29 Julai itu bertujuan untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak menggapai impian dalam bidang yang diminati.

Katanya, Barbie turut bekerjasama dengan A+E Network Asia untuk membuat rakaman Barbie Cook & Bake selama dua minit.

Aktiviti yang dilakukan oleh cef selebriti, Danielle Peita Graham bersama anaknya, Sophia dan pasangan ibu serta anak lain itu akan disiarkan menerusi saluran Lifetime Asia bermula bulan depan.

“Hari ini kita melihat kanak-kanak perempuan terutamanya membesar dan melakukan perkara yang menakjubkan dalam kehidupan mereka.

“Mereka berjaya memecahkan tembok dan stereotaip yang menghalang mereka daripada berjaya sama ada dalam lapangan politik, sains dan sukan.

“Justeru, kami percaya, kebebasan dalam mencorak cita-cita dapat membantu golongan tersebut menjadi apa sahaja yang diingini,” katanya.