Ketua Pegawai Eksekutifnya, V. Sasedharan (gambar kecil) berkata, pihaknya sedang be­kerjasama dengan syarikat kapal persiaran terkemuka dari Amerika Syarikat, Royal Caribbean Cruises Ltd. (Royal Caribbean), untuk membangunkan dermaga di Terminal Kapal Persiaran Dermaga Swettenham daripada sepanjang 480 meter sedia ada kepada 700 meter.

“Perluasan dermaga itu akan membenarkan dua buah kapal persiaran bersaiz besar untuk berlabuh secara serentak.

“Projek yang turut bertujuan untuk meningkatkan bila­ngan penumpang yang singgah di pelabuhan ini, berbanding 8,000 pada satu masa pada ketika ini, itu akan melibatkan kos kira-kira RM155 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena kunjungan media ke Penang Port di sini yang dianjurkan syarikat induknya, MMC Corporation Bhd. (MMC Corp.) di sini baru-baru ini.

Sasedharan berkata, usaha itu bertujuan untuk memenuhi kehendak masa hadapan dan berdasarkan pertumbuhan segmen kapal persiaran di pelabuhan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

“Sektor kapal persiaran telah mencatat peningkatan mengalakkan sebanyak 20 peratus,” ujarnya.

Sehubungan itu, Sasedharan berkata, Penang Port giat mengadakan aktiviti pemasaran dan dagangan dalam menarik penggiat sektor perkapalan persiaran di seluruh dunia untuk mengadakan persinggahan di pelabuhan yang terletak di sini.

“Kami berharap menjelang suku keempat tahun ini ia dapat memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat kapal persiaran di Jerman,” katanya.

Pada tahun 2017, Penang Port mencatatkan 971 persinggahan kapal persiaran cruise to nowhere yang tidak mempunyai lokasi pelayaran khusus de­ngan 598,328 penumpang; 271 kapal persiaran antarabangsa (427,806 penumpang) dan 743 feri tempatan atau serantau (196,984 penumpang).