Dalam kesempurnaan itu, manusia memiliki sifat mudah terpedaya, sekali gus menjadi penyebab kepada kebinasaan paling dominan.

Jumlah orang yang mudah tertipu cukup ramai termasuklah ulama, golongan tekun beribadat, sufi dan para pemuja dunia.

Allah berfirman: “Maka janganlah sesekali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan jangan pula penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam mentaati Allah.” (Luqman: 33)

Terpedaya berlaku apabila seseorang menyakini sesuatu yang merupakan kebalikan daripada fakta.

Ini adalah salah satu jenis kebodohan yang ditunjangi khayalan dan keraguan yang mudah ditipu daya nafsu.

Antara orang-orang yang mudah terpedaya adalah mereka yang tertipu oleh dugaannya sendiri. Golongan ini percaya bahawa kehidupan dunia adalah nyata dan akhirat meragukan.

Mereka ini adalah kelompok orang kufur nikmat kerana hanya yakin terhadap sesuatu yang wujud.

Semua itu sebagai bukti daripada sikap taklid buta mereka atas kehidupan dunia yang penuh dengan tipu daya.

Antara manusia ada pula orang-orang yang terpedaya oleh ucapan dan keyakinan mereka sendiri bahawa Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang hingga kita tidak perlu beramal dengan tuntutan.

Dengan penjelasan itu, ada orang yang mempercayakan ketakwaan dan sifat warak nenek moyang tanpa mereka sendiri beramal berdasarkan keyakinan sebenar.

Ucapan mereka, ‘Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’ memang tidak keliru.

Namun, semua ayat al-Quran menunjukkan bahawa untuk memperoleh kemurahan dan rahmat-Nya, kita harus melakukan pelbagai bentuk kebajikan di dunia.

Sebagaimana Allah berfirman: “Dan bahawasanya seseorang manusia tiada memperoleh selain apa yang diusahakannya.” (an-Najm: 39)

Meskipun manusia diperintahkan untuk bertawakal kepada Allah dalam urusan rezeki dan mempercayakan kemurahan-Nya, kebanyakan daripada mereka tidak mahu melakukannya.

Sementara ketika manusia diperintahkan beramal untuk keperluan akhirat, kebanyakan daripada mereka bertawakal.

Ada juga yang mempercayakan ketakwaan dan sifat warak nenek moyang.

Dalam satu peristiwa, Rasulullah memohon izin kepada Allah mendoakan ibu baginda serta memohon keampunan baginya.

Allah hanya mengizinkan baginda berziarah, namun tidak untuk memohonkan keampunan sehingga menyebabkan baginda menangis.

Justeru, Rasulullah berkata: “Orang pandai ialah mereka yang selalu melakukan introspeksi terhadap dirinya dan beramal untuk kehidupan sesudah matinya.”

Golongan terpedaya:

1. Ulama

Sesungguhnya orang mengenali Allah ialah mereka yang semakin bertambah ilmunya sehingga semakin meningkat rasa takutnya.

Justeru, sesiapa yang tidak mengetahui aib pada batinnya atau ia mengetahui tetapi tidak berusaha untuk menghilangkannya, maka ia akan terpedaya.

2. Orang tekun beribadat

Sebahagian daripada mereka sibuk beribadat tetapi terperangkap atas satu jenis tipu daya.

Misalnya, mereka mengabaikan amalan yang lebih utama (fardu) demi mempersoalkan hukum-hukum sunah dengan pelbagai syarat.

Contohnya, orang yang sudah dikuasai rasa was-was sehingga harus mengulangi bacaan al-Fatihah.

3. Sufi

Antara mereka ada yang berasa puas dengan hanya berpakaian sangat sederhana dan menjaga adab-adab mereka secara zahir.

Ada antara mereka yang berlebih-lebihan hingga memakai pakaian bertampal-tampal dan berharga sangat murah.

Antara mereka pula ada yang mengasingkan diri kerana menganggap bahawa mereka tidak perlu melakukan amalan-amalan yang disyariatkan.

Mereka tidak menyedari bahawa keperluan beramal dalam kehidupan ini sangat penting bagi diri sendiri dan orang lain.

4. Para pemilik harta

Antara hasil yang dapat digunakan untuk membina masjid, jambatan dan kemudahan-kemudahan sosial lain.

Bagaimanapun, mereka meminta supaya nama mereka ditulis pada bangunan-bangunan tersebut agar dikenang sepanjang zaman oleh masyarakat.

Mereka berharap supaya Allah memberikan keampunan daripada perbuatan zalim dalam mencari harta. Ini adalah salah satu bentuk terpedaya yang bernilai kali ganda.

Justeru elakkan diri daripada tergolong dalam mereka yang terpedaya di dunia supaya amalan kita tidak menjadi sia-sia.

Hakikatnya, setiap perkara yang dilakukan haruslah berlandaskan kepada Allah dalam mengejar syurga di akhirat kelak. Wallahualam.