Pada masa sama, jari-jemarinya kanannya membentuk satu persatu huruf ba, sin, mim, alif, lam dan yang terakhir mim lengkap bersama tanda baris sehingga mencukupi 19 huruf yang membentuk kalimah basmalah yang lazimnya menjadi lafaz permulaan bacaan kitab suci itu.

Mengulangi cara serupa, remaja istimewa cacat pendengaran itu meneruskan bacaan surah Ali Imran dengan ayat pertama hingga ketiga bermaksud: “Alif, Lam, Mim.”

“Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang hidup kekal lagi terus-menerus menguruskan makhluk-Nya. Dia menurunkan kitab (al-Quran) kepadamu dengan sebenarnya, membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil.”

Selain Muhammad Izzat terdapat kira-kira 14 pelajar berumur antara lapan hingga 16 tahun yang mengikuti Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Anak-Anak Pekak di Pandan Perdana, Kuala Lumpur selama lima hari seminggu.

“Saya suka mengaji al-Quran. Datang ke sini lagi seronok berbanding ke sekolah (Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Perdana) kerana ada ustaz (Ahmad Rozaimi) dan ramai kawan.

“Saya belajar al-Quran menggunakan bahasa isyarat sejak tahun 2012. Dahulu saya pernah belajar dengan ustaz di Pusat Kajian Al-Quran Universiti Malaya sebelum bertukar di sini,” ujarnya dalam bahasa isyarat ketika ditemui Kosmo! di kelas Kafa tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Rozaimi berkata, pelajar perlu mengenal huruf hijaiyah iaitu abjad Arab sebelum diajar membaca al-Quran menggunakan bahasa isyarat.

Pada peringkat berikutnya, mereka akan diperkenalkan dengan bentuk huruf bersambung sehingga membentuk kalimah suci al-Quran. Mereka akan dinilai mengikut ketepatan kod bahasa isyarat yang dibuat.

Dalam hal ini, modul iqra’ yang lazimnya diaplikasikan supaya kanak-kanak cepat belajar al-Quran tidak sesuai untuk golongan cacat pendengaran kerana mereka tidak boleh mendengar dan menyebut bunyi huruf berkenaan.

Katanya, mereka juga tidak diajar hukum tajwid, sebutan makhraj atau bacaan secara harakat kerana mereka tidak boleh mengeluarkan suara.

Namun, bagi murid yang telah menguasai kaedah yang diajar mereka diminta membaca al-Quran beserta dengan tanda baris.

“Mereka juga perlu menyalin semula ayat-ayat al-Quran. Kepada yang sudah boleh menghafal, mereka tiada masalah menulis ayat al-Quran dengan betul. Begitupun, ia merupakan proses yang sentiasa berulang-ulang supaya mereka tidak lupa.

“Dalam usaha mendidik golongan tersebut tenaga pengajar perlu menyelami kehidupan mereka. Kita tidak boleh anggap mereka samas seperti kita dan harus bertoleransi agar mereka menerima ilmu yang disampaikan.

Cabaran

“Pembelajaran untuk setiap anak istimewa berbeza dan perlu disesuaikan dengan keperluan mereka. Bagi anak yang sudah terdedah dengan al-Quran, Insya-Allah ia mudah meresap ke dalam jiwa mereka,” jelasnya yang turut mengajar di Akademi Tahfiz Pekak Malaysia.

Penyelaras Persatuan Pengajian Al-Quran Anak-Anak Pekak, Sakinah Kemas Salleh berkata, kelas tersebut bermula dengan penglibatan beberapa orang ibu bapa termasuk dirinya yang mempunyai anak-anak cacat pendengaran sejak tahun 2016.

Menurutnya, ketika itu kaedah pembelajaran al-Quran Faqeh baharu diperkenalkan oleh Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Kanak-kanak Istimewa pada tahun 2011 dan turut diajar di sekolah arus perdana.

Sebelum teknik tersebut diperkenalkan, anak-anak mereka tidak mengikuti kelas Kafa aliran biasa kerana ia tidak sesuai dengan mereka selain ibu bapa sendiri tidak tahu bagaimana mengajar al-Quran menggunakan kod bahasa isyarat.

Tambahnya, segelintir penuntut yang mengikuti kelas tersebut tidak sekadar mempunyai masalah pendengaran malah turut berdepan isu lain seperti gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) serta autisme sekali gus membuatkan tugas mendidik golongan itu agak mencabar.

Katanya, kelas tersebut kini disertai pelajar berusia antara lapan hingga 16 tahun. Ia mampu menempatkan seramai 20 penuntut pada satu-satu masa dengan kesemua mereka datang di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

“Ada yang tidak boleh duduk diam hanya boleh beri tumpuan sekitar lima hingga 10 minit sahaja. Ada ketikanya mereka akan meragam atau enggan belajar. Tetapi sekurang-kurangnya mereka mendapat pengisian rohani apabila datang ke sini.

“Menerusi pengalaman saya yang mempunyai anak autisme dan cacat pendengaran ialah tiada kelas seumpama ini yang khusus mengajar golongan tersebut.

“Kami tidak menetapkan syarat tertentu untuk menerima kemasukan pelajar. Cukup jika ibu bapa mereka sudi menghantar mereka ke mari dan calon penuntut tersebut mahu belajar,” ujarnya.

Antara rutin pelajar sebaik sahaja tiba di tempat pengajian ialah mereka akan mandi dan makan tengah hari yang disediakan petugas di situ. Pada bulan Ramadan petugas akan menyediakan makanan untuk dibawa pulang selepas kelas berakhir.

Pelajar turut dipendengarkan dengan ayat rukyah sebelum sesi pembelajaran bermula selain menunaikan solat Zuhur dan Asar berjemaah bersama-sama.

Sementara itu, seorang ibu Azlina Arbain, 49, berkata, penubuhan kelas Kafa tersebut dapat meringankan ibu bapa di samping memberi peluang kepada anak-anak istimewa mendalami ilmu agama. Ibu kepada empat cahaya mata itu bercerita, anaknya Zayda Amna Hilmi, 11, mengalami demam panas pada usia empat tahun sebelum hilang keupayaan mendengar sepenuhnya pada umurnya enam tahun.

“Saya melihat anak-anak istimewa ini perlu berusaha berkali-kali ganda untuk belajar al-Quran. Bagi mereka untuk menghabiskan bacaan al-Fatihah sahaja boleh mengambil masa 15 minit atau lebih kerana mereka membuat isyarat tangan bagi setiap huruf.

“Alhamdulillah anak juga sudah boleh menghafal bacaan dalam solat, doa-doa pendek dan surah lazim,” katanya yang juga merupakan salah seorang petugas di Kafa tersebut.

Kelas tersebut turut membuka ruang kepada anak keduanya, Ziyad Ismail, 12, berbakti dengan membantu guru mengajar rakan-rakan dan adiknya. Ziyad merupakan satu-satunya murid normal yang mahir bahasa isyarat.

Kelas Kafa Anak-Anak Pekak yang beroperasi di Pandan Perdana, Kuala Lumpur menyediakan bimbingan ilmu fardu ain dan pengajian al-Quran sejak tahun 2016.