Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia dengan sebanyak 13,503 kematian direkodkan pada tahun 2017 berbanding 10 tahun lalu iaitu 8,776 kematian.

Serangan jantung adalah penyebab utama kematian mengejut apabila jantung berhenti berdenyut secara tiba-tiba atas beberapa faktor termasuk disebabkan saluran darah tersumbat.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye menjelaskan, penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian rakyat Malaysia bagi tempoh 13 tahun iaitu dari tahun 2005 hingga 2017.

Tegasnya, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, obesiti, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat menyumbang kepada peningkatan penyakit jantung.

“Peningkatan kadar penuaan dalam kalangan penduduk negara juga menyumbang kepada pertambahan pesakit jantung dengan kadar hayat yang lebih lama dan memerlukan rawatan jantung berterusan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Perkhidmatan Penjagaan Jantung Hospital Tung Shin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Subang Jaya, Datuk Dr. Yap Lok Bin berkata, saluran darah atau arteri koronari tersumbat merupakan faktor berlakunya serangan jantung.

Simptom

Jelasnya, keadaan itu berlaku apabila arteri koronari tersumbat akibat pembentukan bahan berlemak seperti kolesterol dan plak sehingga mengakibatkan penurunan darah mengalir melalui arteri.

“Masalah ini seterusnya akan mengakibatkan jantung kurang mendapat darah serta oksigen yang secukupnya sehingga akhirnya membawa kepada serangan jantung.

“Selalunya simptom kepada serangan jantung akibat saluran darah koronari tersumbat ini ialah pesakit akan berasa sakit dada, sesak nafas, jantung berdebar dan kadangkala seseorang itu mudah berpeluh,” katanya ketika ditemui Pesona baru-baru ini.

Tambahnya, mereka yang ada penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol juga berisiko untuk mendapat serangan jantung.

Selain itu mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami serangan jantung turut berisiko untuk berhadapan dengan masalah yang sama.

Oleh itu, pesakit yang berasakan mempunyai simptom-simptom yang mendorong kepada berlakunya masalah jantung juga dinasihati untuk melakukan pemeriksaan dengan segera.

Teknologi

Dalam pada itu, Lok Bin menjelaskan, perkembangan dalam bidang teknologi perubatan menyaksikan terdapat mesin yang boleh melakukan proses saringan bagi mengesan seseorang mengalami penyakit jantung dengan lebih mudah, cepat dan berkesan.

Tegasnya, selain ujian stres, penggunaan mesin pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) juga boleh digunakan bagi mengesan jika seseorang mengalami sakit jantung.

“Pada kebiasaannya, ujian stres dilakukan bagi mengesan sakit jantung tetapi kini dengan CT Scan, gambar arteri yang terhasil lebih tepat dan jelas.

“Selain itu, CT Scan juga adalah ujian bukan invasif, tidak seperti pemeriksaan angiogram koronari di mana doktor perlu meletakkan tiub di dalam badan. Teknologi ini sangat cepat dan mempunyai kesan radiasi yang sangat rendah,” ujarnya.