Sambil mengunyah bunjut kecil itu, Nurul Sharfina lantas mencapai helaian daun kaduk lain dan mengulangi semula perbuatannya tadi.

“Saya mula diperkenalkan dengan miang kham oleh rakan sewaktu masih bergelar pelajar di Universiti Putra Malaysia tujuh tahun lalu. Pertama kali mencuba, saya terus jatuh cinta dengan rasa manis, masin dan pedas kudapan tradisional yang berasal dari Thailand itu.

“Kerangupan kacang tanah dan aroma udang kering panggang pula memberi nilai tambah kepada miang kham,” ujar guru tadika itu sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Walaupun menggemari miang kham, namun anak kelahiran Kuching, Sarawak itu mengakui agak sukar untuk mendapatkan bekalan kudapan sihat tersebut kerana ia tidak banyak dijual di pasaran.

Malah, Nurul Sharfina menjelaskan, dia pernah beberapa kali mengunjungi restoran makanan Thai terkenal di ibu kota semata-mata untuk menikmati miang kham walaupun lebih mahal daripada biasa.

“Sewaktu sedang melayari laman Facebook pada awal Februari lalu, secara kebetulan saya dihubungkan ke pautan Arimas Miang Kham.

“Saya terus menempah beberapa set untuk dibawa ke majlis perjumpaan semula dengan rakan-rakan universiti pada hujung bulan tersebut. Miang kham jenama Arimas lebih enak berbanding yang pernah dicuba sebelum ini,” kongsi wanita yang bakal menamatkan zaman bujangnya dalam tempoh kurang dua minggu itu dalam nada ceria.

Berbeza pula halnya dengan Ahmad Sapri Ishak, 40. Dia merupakan antara insan terawal yang mengetahui tentang kewujudan Arimas Set Miang Kham yang diasaskan oleh kawan baiknya, namun tidak pernah tergerak hati untuk mencubanya.

“Sejak tiga tahun lalu, saya pernah beberapa kali diberikan set miang kham tersebut, namun hanya menyimpannya di dalam peti sejuk dan tidak berminat untuk mencubanya. “Sehinggalah pada malam hari raya Aidilfitri lebih kurang empat bulan lepas, Arimas membawa set miang khamnya sewaktu kami dan rakan-rakan sekampung lain berkumpul. Dia membuatnya dan memberi makan kepada kami semua.

“Setelah beberapa kali didesak, akhirnya saya akur untuk mencuba. Anehnya, saya menyukai rasa miang kham dan secara peribadi, segala bayangan mengenai rasa sayur mentah hilang sama sekali,” akui guru subjek Matematik yang kini bertugas di Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman di Sitiawan, Perak itu.

Ejen jualan

Bermula detik itu, Ahmad Sapri mula menjadi ejen jualan bagi Arimas Miang Kham dan banyak melakukan rangka promosi secara bersemuka di sekitar Manjung, Perak antaranya dengan menyertai jualan di tapak karnival, majlis perkahwinan dan hari jadi serta kenduri doa selamat.

Pada masa sama, Ahmad Sapri juga menjalankan jualan set miang kham sedia dimakan secara tunai selepas penghantaran sehingga kini.

Miang kham merupakan kudapan tradisional yang berasal dari wilayah utara Thailand dan Laos. Ia mula diperkenalkan kepada kerajaan Siam di bawah pemerintahan Raja Rama Ke-5 atau lebih dikenali sebagai Raja Chulalongkorn oleh isteri kelimanya, Permaisuri Dara Rasamee.

Miang membawa maksud makanan yang dibalut menggunakan daun manakala kham pula mengungkap makna satu suapan. Kebiasaannya miang kham dimakan bersama keluarga dan rakan-rakan terutama pada musim hujan kerana daun kaduk mudah diperoleh dalam tempoh tersebut.

Menyelak lipatan penglibatan awalnya, pengasas Arimas Miang Kham, Arifin Masri, 40, atau lebih mesra dengan panggilan Arimas memberitahu, ia berlaku secara tidak sengaja apabila salah seorang kakaknya melihat banyak pokok kaduk tumbuh di halaman belakang rumah sewaktu mengunjungi rumahnya di Selayang, Selangor tujuh tahun lalu.

Kakaknya itu menyuarakan hasrat untuk memakan miang kham selepas melihat rancangan masakan di televisyen. Lantas, Arimas cuba membuat sos miang kham berpandukan resipi hasil carian di internet, malangnya ia tidak menjadi.

Kudapan diraja

“Semangat suka mencuba dan tidak mudah berputus asa membuatkan saya berusaha untuk menambah baik rasa sos tersebut sehingga akhirnya saya menemui formula terbaik dan dirasakan sedap dimakan bersama bahan segar lain.

“Saya meminta kakak ipar yang berasal dari Pattani, Thailand untuk mencuba miang kham yang saya hasilkan. Katanya, miang kham saya agak berbeza dengan rasa yang ada di Thailand, namun ia sedap,” tuturnya menceritakan pengalaman awal bergelar usahawan miang kham suatu ketika dahulu.

Sejujurnya pada awal pembabitan, Arimas tidak pernah merasai miang kham asli dari tanah Gajah Putih, maka dia tidak tahu bagaimana rasa sebenar kudapan yang sinonim sebagai snek diraja Siam itu.

“Saya mengambil inisiatif untuk ke Thailand dan mencuba beberapa lokasi yang terkenal dengan miang kham. Secara peribadi, saya kurang menggemari rasanya yang agak manis, maka saya melakukan sedikit modifikasi agar ia lebih sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia.

“Pada peringkat awal, saya hanya membawa set miang kham ke majlis perjumpaan dengan rakan sekolah dan majlis perkahwinan kenalan terdekat sahaja. Lama-kelamaan, ia semakin mendapat permintaan terutama sos membuatkan saya mengambil keputusan untuk mengkomersialkannya pada penghujung tahun lepas,” jelas anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik itu.

Arimas membungkus miang kham di dalam bekas plastik lutsinar kerana ia lebih praktikal dan sedia dimakan terus. Dia juga menjual sos secara berasingan dan turut enak dimakan bersama rojak buah dan somtam.

Ditanya apakah cabaran mengusahakan perniagaan tersebut, Arimas memberitahu, dia menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bekalan daun kaduk.

“Setakat ini, saya berjaya mendapatkan kira-kira 8,000 ribu helai daun kaduk seminggu daripada beberapa pembekal di kawasan sekitar Selangor dan Perak.

“Namun, jumlah tersebut masih tidak cukup untuk menampung keperluan miang kham kerana saya juga membekalkan daun kaduk kepada ejen. Justeru, saya mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia untuk membekalkan daun kaduk,” kata bekas ejen insurans yang kini berniaga sepenuh masa itu.

Permintaan yang semakin bertambah membuatkan Arimas tidak menang tangan sehingga terpaksa mengupah sebuah bakeri untuk memanggang kacang tanah, udang kering dan kelapa parut manakala bahan basah seperti bawang, halia dan limau nipis pula dibahagikan kepada beberapa suri rumah untuk dipotong dadu.

Arimas juga menawarkan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan yang menempah minimum empat set daripadanya. Selain itu, dia juga menempatkan set miang kham buatannya di 10 restoran sekitar Kuala Lumpur antaranya Little Rara Boat Noodle untuk kemudahan pelanggan yang ingin segera menikmati miang kham.

“Saya sangat menjaga kualiti miang kham Arimas demi kepuasan pelanggan dan akan mengganti set miang kham baharu setiap dua hari bagi memastikan bahan-bahannya sentiasa segar,” tegas graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Utara Malaysia itu.

Bagi perancangan masa depan, Arimas bercadang untuk mengembangkan sayap perniagaan ke luar negara dengan memperkenalkan variasi istimewa yang lebih kering agar sesuai untuk pasaran eksport.