Menggunakan kudrat maksimum, murid Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Bandar Sri Pemaisuri, Kuala Lumpur itu meluncurkan bilah panah tersebut ke sasaran yang berada 18 meter di hadapannya.

Begitupun, bidikan kanak-kanak bertubuh kecil itu terkeluar dari lingkaran bulatan sasaran yang ditanda dengan warna kuning, merah, biru muda dan hitam.

Tidak berputus asa dengan keadaan itu, Nur Amira kembali memperkemas kedudukan. Dia lantas mengeluarkan anak panah baharu dari dalam kantung yang disisip di pinggang dan melakukan percubaan kedua.

Namun, usaha Nur Amira tidak menampakkan perubahan ketara. Anak panahnya masih tidak berada pada kedudukan yang diharapkan.

“Hari ini (tujahan) anak panah saya semakin lama semakin ke bawah. Saya nampak masalah itu, tetapi tidak pasti apa puncanya. Kadang-kadang ia menjadi kadang-kadang tidak. Justeru, saya akan terus berlatih.

“Saya tidak berasa ia sesuatu yang meletihkan. Sebelum ini, lebih teruk kerana anak panah langsung tidak sampai ke dinding sasaran,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Archers Studio, Desa Pandan baru-baru ini.

Archers Studio merupakan pusat sehenti dalam kalangan peminat sukan memanah di samping turut menyediakan latihan kepada pemanah amatur.

Nur Amira yang mengikuti kelas memanah bersama abangnya Muhammad Aiman Harris, 12, berkata, dia teruja apabila ibu bapanya mendaftarkan mereka ke pusat tersebut awal Januari lalu.

Potensi

“Abang lebih cepat belajar daripada saya, tetapi saya tidak kisah kerana aktiviti ini lain daripada kegiatan yang biasa saya lakukan. Selain memanah, ibu bapa juga ada hantar kami mengikuti kelas berenang,” tuturnya ceria.

Ibu kepada Nur Amira dan Muhammad Aiman Harris, Roslinda Ahmad, 40, berpendapat aktiviti riadah tersebut menjadi platform yang baik untuk mendedahkan anak-anaknya kepada dunia luar sekali gus menyerlahkan potensi dalam bidang yang diminati.

“Apa yang penting mereka gembira ketika melakukannya. Tidaklah mereka asyik terperuk di rumah dan melakukan perkara yang sama sahaja setiap hari,” katanya.

Bersetuju dengan pandangan tersebut, Siti Nordiana Dollah, 40, menambah, aktiviti sukan memanah dapat membentuk karakter seseorang individu secara positif.

Menurut doktor yang bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju itu, rutin memanah membantu meningkatkan keyakinan diri anak tunggalnya, Sofia Hanee Saiful Anuar, 13.

“Jurulatihnya memberitahu daya tumpuan Sofia sudah semakin bagus cuma tangannya tidak begitu kuat. Saya fikir ototnya boleh dilatih melalui aktiviti seperti memanah. Maklumlah anak-anak sekarang lebih terarah dengan dunia gajet berbanding bersukan.

“Saya ada bertanya sukan yang diminati anak kerana dia tidak meminati aktiviti sukan bersifat pertempuran seperti taekwondo. Mujur memanah ini serasi dengannya,” kongsinya.

Silibus

Dalam hal ini, Archers Studio yang telah beroperasi sejak Oktober 2016 diasaskan empat sahabat merangkap tenaga pengajar iaitu Muhammad Shazhakim Shazarul Hisham, 27, Mohamad Adib Abdullah, 28, Syafiq Salamuddin, 28, dan Khairol Redzwan Sidak, 29.

Mohamad Adib menjelaskan, modul dan silibus latihan yang disediakan telah disemak dan mendapat perakuan Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia.

Katanya, penuntut turut perlu menduduki ujian kelayakan meliputi aspek teori, lisan dan praktikal bagi menilai tahap pencapaian mereka dengan setiap sesi pengajaran lazimnya berlangsung selama sejam.

Setakat ini pusat itu telah melatih lebih 100 pelajar berusia tujuh hingga 62 tahun. Ada di antara mereka sanggup datang dari jauh seperti Tanjung Malim, Perak.

“Tempoh latihan tidak sama bagi setiap orang. Ada yang mampu menguasainya dalam masa sebulan dan ada yang lebih lama.

“Di Kuala Lumpur, kemudahan belajar memanah secara formal di premis yang tetap sebegini boleh dikira dengan jari. Kebanyakan peminat sukan memanah bergerak melalui kelab atau persatuan yang biasanya akan mengatur aktiviti secara mingguan atau bulanan,” katanya.

Menurut graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu, komuniti sukan memanah kian berkembang dengan boleh dikatakan hampir setiap minggu terdapat pertandingan memanah dianjurkan.

“Archers Studio sendiri sudah sudah beberapa kali menjadi penganjur pertandingan seumpama itu dengan sambutan yang diterima begitu mengalakkan. Kadangkala kami terpaksa menolak penyertaan yang berlebihan.

Ilham

“Memanah bukan setakat aktiviti yang melibatkan kekuatan. Ia lebih kepada ‘pertarungan’ dengan diri sendiri. Siapa yang lebih tenang, fokus akan menguasai lapang sasar,” ungkapnya.

Dalam pada itu, Muhammad Shazhakim bercerita, ilham menubuhkan Archers Studio timbul apabila mereka berempat berkunjung ke Ladang Alam Warisan di Seri Menanti, Negeri Sembilan yang turut menyediakan kemudahan lapangan memanah berkuda sekitar tahun 2013.

“Ketika itu, pihak pengurusan sedang membuat persediaan satu pertandingan memanah di tapak tersebut. Melihat beberapa calon peserta yang sedang berlatih menimbulkan semangat berkobar-kobar kami untuk mempelajari sukan itu.

“Pada waktu itu, tidak banyak pusat latihan memanah di sekitar Kuala Lumpur. Justeru, kami sanggup berguru di beberapa buah tempat seperti Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis sehingga betul-betul menguasai kemahiran tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, pusat yang dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam berkenaan turut menyediakan kemudahan tempat untuk pemanah yang sudah mahir berlatih.

“Kami turut menjual kelengkapan set memanah keluaran tempatan jenama Arrouha pada harga serendah RM300 sehingga ribuan ringgit terdiri daripada pelbagai jenis busur seperti tradisional, recurve dan compound.

“Dari segi anak panah pula kami mempunyai pelbagai pilihan yang terbahagi kepada dua iaitu sintetik (gentian kaca dan karbon) dan asli (buluh dan kayu),” katanya.

Archers Studio menyediakan khidmat bimbingan memanah di samping berperanan sebagai pusat sehenti untuk peminat sukan tersebut sejak Oktober 2016.