Namun, penyalahgunaan antibiotik yang tidak terkawal tanpa preskripsi doktor boleh menyebabkan permasalahan kepada dunia penjagaan kesihatan sehingga boleh meragut nyawa.

Penyalahgunaan antibiotik ini boleh menyebabkan berlakunya masalah Rintangan Antimikrob (AMR).

Keadaan ini berlaku apabila mikroorganisma seperti bakteria, kulat, virus dan parasit bertukar selepas pendedahan kepada ubat antimikrob iaitu antibiotik, antikulat, antivirus, antimalaria dan antelmintik.

Akibatnya, rawatan tidak lagi berkesan dan jangkitan berlarutan, menyebabkan risiko penyebaran kepada orang lain.

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, Prof. Madya Dr. Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar berkata, kesan jangkitan akibat bakteria yang mempunyai daya tahan terhadap pelbagai ubat boleh membawa bencana besar.

Tegasnya, tanpa ubat antimikrob yang berkesan, banyak rawatan perubatan piawai gagal atau menjadi prosedur berisiko tinggi.

“Ia menghalang kemajuan perubatan moden, menjejaskan kejayaan pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan-pembedahan besar.

“Menurut penerbitan The Review on Antimicrobial Resistance, jika kita tidak mengambil langkah segera, masa depan kesihatan awam kita terancam. Menjelang 2050, dianggarkan 10 juta orang akan meninggal dunia akibat AMR, lebih tinggi daripada kadar kematian tergabung semasa bagi kanser, diabetes dan kemalangan lalu lintas jalan raya,” katanya.

Tambahnya, penduduk di negara Asia akan menghadapi kesan paling besar dengan 4,730,000 kematian menjelang tahun 2050.

Antibiotik tergolong di bawah kategori ubat antimikrob.

Daya tahan atau rintangan dicapai apabila kuman seperti bakteria dan kulat membangunkan keupayaan untuk menentang ubat yang direka untuk membunuhnya.

Kegagalan bertindak balas kepada antibiotik boleh menyebabkan penyakit berpanjangan, kos lebih tinggi dan juga risiko kematian yang lebih tinggi.

“Kami menghadapi cabaran kerana pesakit mempunyai salah tanggapan bahawa antibiotik boleh menangani sebarang bentuk jangkitan. Bagaimanapun, ubat ini hanya bertujuan merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria seperti jangkitan tekak streptokokus, batuk kokol dan abses.

“Antibiotik tiada kesan terhadap jangkitan virus seperti influenza, selesema biasa dan demam denggi. Ia bukan sahaja tidak berkesan untuk melawan virus tetapi boleh menyerang bakteria berguna yang sensitif kepada antibiotik di dalam badan dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan berlebihan bakteria yang berdaya tahan,” kata Sasheela.

Untuk mencegah daripada AMR berlaku, Sasheela berkata, jika seseorang mengalami jangkitan bakteria, mereka hendaklah melengkapkan pengambilan antibiotik yang diberikan oleh doktor untuk mencegah kemunculan bakteria berdaya tahan dan rawatan jangkitan sebahagian.

Penggunaan dikawal

“Penggunaan antibiotik mesti dikawal secara keseluruhan. Pakar perubatan, ahli farmasi dan orang ramai mesti mengelakkan menggunakan ubat ini secara cuai.

Antibiotik mesti diberikan hanya untuk jangkitan bakteria dan dalam dos sewajarnya.

“Pesakit sepatutnya kekal dengan satu doktor sehingga masalah jangkitan diselesaikan dan tidak ‘bertukar-tukar doktor’. Mereka harus bertanya doktor apakah preskripsi yang diberikan dan mengapa. Menurut undang-undang, nama antibiotik atau sebarang ubat preskripsi mesti ditulis dengan jelas pada pek preskripsi bersama dos dan tempohnya,” katanya.

Tambahnya, apabila menggunakan antibiotik, anda perlu mengambil semua ubat yang diberikan dan jangan simpan antibiotik untuk digunakan pada masa lain.

Anda perlu sedar bahawa bukan semua antibiotik adalah sama, setiap satu mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza.

Hakikatnya, doktor perlu mengenal pasti tapak jangkitan dan menentukan jika jangkitan disebabkan oleh bakteria sebelum memberikan atau mengesyorkan antibiotik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menegaskan bahawa pemvaksinan ialah satu cara penting untuk mengatasi daya tahan antibiotik.

Memandangkan AMR terus berleluasa, kelas antibiotik baharu dalam tempoh 25 tahun lepas sukar ditemui.

Mengandaikan bahawa inisiatif perancangan produk baharu mencapai kejayaan, daya tahan masih boleh berlaku ke atas ubat baharu ini.

Dalam pada itu, Pakar Peruding Pediatrik, Dr. Lim Eee Tang berkata, bukan semua bayi dilahirkan sihat, terutamanya bayi pramatang.

Malangnya, sesetengah mereka mungkin mengalami jangkitan kongenital yang biasanya disebabkan oleh bakteria yang dinamakan Streptokokus Kumpulan B (GBS).

“Bakteria ini ditemui dalam salur lahir ibu dan boleh dipindahkan kepada bayi baru lahir sebelum atau semasa bersalin dan mungkin menyebabkan kerumitan seperti sepsis (jangkitan darah), pneumonia (jangkitan paru-paru) dan meningitis (jangkitan otak).

“Pakar pediatrik lazimnya memilih antibiotik untuk merawat GBS kerana ia merupakan jangkitan bakteria dan tanpa ubat ini, bayi mungkin mengalami masalah tersebut,” katanya.

Paling penting tegas Eee Tang, ibu bapa hendaklah memastikan anak mereka menyempurnakan seluruh rawatan antibiotik untuk membunuh semua bakteria.