Ironinya, ketika diminta membaca surah tersebut, dia sedang berdiri dalam keadaan sedikit meronta-ronta sambil dipegang Siti Raudah Kadir, 23, yang merupakan guru praktikal dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Namun, anak autisme itu mulai tenang dan kemudian mengikut gurunya masuk ke dalam kelas untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Akademi Al-Quran Ar-Rayyan yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur menyediakan modul bimbingan pendidikan al-Quran kepada anak-anak istimewa antaranya autisme, disleksia dan mereka yang mengalami gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).

Selain itu, terdapat juga tenaga pengajar yang mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam bahasa isyarat bagi penuntut yang mempunyai masalah pertuturan.

Menurut Ustazah Nurfatilah Abdul Rani yang mengajar Iman Hakimi sejak November tahun lalu, anak muridnya itu terang hati dan mudah menerima ilmu yang diajar. Dia kini sudah menghafal 18 surah dalam juzuk 30.

“Suaranya juga lantang dan pernah memenangi pertandingan azan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di akademi itu baru-baru ini.

Sementara itu, Mohammad Isyraq Zafran, 9, bercerita, pada sebelah pagi, dia akan ke Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis di Batu Caves, Kuala Lumpur sebelum menyambung sesi pengajian di akademi berkenaan dari pukul 2 hingga 4 petang.

Seronok

Sebelum ini, anak sulung daripada tiga beradik itu belajar di Pusat Permata Kurnia yang merupakan platform pembelajaran awal anak-anak autisme yang terletak bertentangan dengan Akademi Al-Quran Ar-Rayyan.

“Biasanya saya bangun pukul 5.30 pagi kemudian mandi, solat Subuh dan bersiap-siap ke sekolah. Saya seronok mengaji al-Quran dengan kawan-kawan.

“Selama lebih setahun belajar di akademi ini, saya sudah boleh menghafal juzuk 30. Surah pertama yang saya hafal ialah al-Alaq. Ia mengenai suruhan membaca. Sekarang saya sedang menghafal surah-surah pilihan,” tuturnya yang tinggal di Taman Melati, Gombak.

Lebih istimewa, Mohammad Isyraq mampu membaca mana-mana surah dalam juzuk 30 apabila diminta dengan hanya menyebut nama surah ataupun nombor ayat secara rawak.

Seorang lagi tenaga pengajar, Ustazah Nur Hamana Sakinah Ithnin menjelaskan, pada peringkat awal hanya empat pelajar mengikuti pengajian di akademi tersebut.

Kini, bilangan itu telah bertambah menjadi 39 penuntut berusia semuda enam hingga 23 tahun.

Operasi kelas

Katanya, operasi kelas itu bermula pukul 8 pagi hingga 6.30 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan Sabtu pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Setiap kelas hanya terdapat seorang hingga empat murid dan tempoh pembelajaran dihadkan selama dua jam bagi setiap sesi.

Ini kerana anak-anak istimewa, terutamanya pelajar autisme sukar memberi tumpuan dalam jangka masa panjang, sekali gus mengelakkan mereka daripada berasa tertekan seterusnya mengalami fasa meragam ataupun tantrum.

Justeru, adalah penting membentuk anak-anak ini mengikut rutin yang ditetapkan di akademi dan menjadikan mereka berkelakuan baik.

“Antara perkara yang dilakukan pelajar sebelum memulakan kelas setiap hari ialah mengambil wuduk, terapi bacaan ayat Ruqyah yang dibaca oleh guru sendiri selain zikir, bacaan doa serta selawat.

“Mereka juga diberi ruang melakukan senaman regangan seperti berlari dan melompat sekitar lima minit di samping boleh berbaring atau berehat di ruang yang disediakan untuk menenangkan fikiran,” tuturnya.

Beliau melihat selepas beberapa ketika mengikuti rutin yang dianjurkan, anak-anak yang terdidik dengan hafalan al-Quran lebih mudah dikawal dan patuh mendengar arahan.

“Pada peringkat awal, anak-anak ini tidak boleh duduk diam dan suka berlari ke sana ke mari. Namun, lama-kelamaan mereka dapat membiasakan diri dengan rutin yang diterapkan.

“Misalnya, saya melihat perubahan ketara pada Mohammad Isyraq yang merupakan antara pelajar terbaik di sini. Dulu, dia cepat marah dan mudah merajuk tetapi sekarang alhamdulillah dia sudah dapat mengawal diri,” katanya.

Penubuhan

Sementara itu, Pengerusi Akademi Al-Quran Ar-Rayyan, Ustaz Aidil Fadzli Mesran berkongsi, beliau mendapat ilham menubuhkan akademi tersebut selepas anak ketiganya, Ar Rayyan, 7, disahkan mengalami autisme.

Graduan Universiti Taiz, Yemen dalam bidang Ulum al-Quran iaitu ilmu yang mengkaji tentang al-Quran itu mempunyai pengalaman kira-kira 10 tahun mengajar al-Quran dan turut merupakan seorang hafiz.

Katanya, al-Quran itu adalah lengkap dan syumul iaitu menyeluruh buat umat manusia mencakupi anak-anak istimewa. Justeru, pihaknya memberi tumpuan khas kepada anak-anak autisme mengenal Pencipta melalui ibadah dan al-Quran.

Beliau juga percaya, setiap ibu bapa mengidamkan zuriat mereka menjadi anak soleh dan solehah. Antara ciri-cirinya ialah anak-anak tersebut mampu mendoakan orang tua mereka.

“Al-Quran itu lengkap yang kurangnya kita sendiri untuk cari bagaimana cara mendekatkan diri dengan al-Quran. Inilah usaha kami yang sedaya upaya melengkapkan anak-anak ini dengan al-Quran dan sunah seperti ajaran Nabi.

“Di sini kami melatih anak-anak autisme ini supaya sekurang-kurangnya mereka mampu berdoa dan doa terbaik kami ajarkan kepada mereka ialah doa kepada ibu bapa,” tuturnya.