Namun, tidak kurang juga yang memilih untuk tidak ke luar negara pada musim puncak ini memandangkan kosnya lebih tinggi daripada biasa, ditambah pula dengan sambutan hari Natal pada hujung tahun.

Tidak mahu bersesak-sesak, ada juga yang lebih selesa untuk merasai pengalaman musim sejuk pada waktu lain, misalnya pada cuti umum Tahun Baharu Cina pada pertengahan Februari tahun hadapan.

Tidak kira bila atau atas alasan apa sekalipun, langkah pencegahan bersesuaian perlu diambil bagi memastikan tahap kesihatan berada pada paras optimum sepanjang tempoh percutian atau sejurus kembali ke tanah air.

Sebahagian daripada langkah itu melibatkan pengambilan vaksin bagi mencegah jangkitan penyakit berjangkit sebelum memulakan perjalanan dan jenis yang digalakkan ialah vaksin influenza.

Menurut Ketua Sektor Survelan Penyakit, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Wan Noraini Wan Mohamed Noor, individu daripada negara bermusim sederhana yang berkunjung ke negara musim sejuk lebih berisiko untuk mendapat jangkitan influenza.

“Virus influenza mudah merebak pada musim sejuk kerana ia suka pada suhu yang rendah.

“Ia boleh berjangkit melalui titisan salur pernafasan yang terhasil akibat batuk atau bersin. Sebagai contoh, sekiranya individu yang telah dijangkiti influenza terbersin pada sesuatu permukaan, virus tersebut mudah tersebar kepada orang lain yang menyentuhnya,” ujarnya sewaktu ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Tegas Wan Noraini, adalah penting untuk sentiasa membersihkan tangan terutama sejurus melakukan kontak dengan titisan salur pernafasan.

Simptom awal

Influenza merupakan nama yang digunakan bagi jangkitan penyakit dan virus yang menyebabkan penyakit tersebut. Jangkitan disebabkan virus influenza boleh menjangkiti salur pernafasan seperti hidung, tekak dan paru-paru.

Salur pernafasan yang telah dijangkiti boleh menjurus kepada jangkitan lain yang ringan atau serius. Malah, sekiranya tidak menerima rawatan segera, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mungkin mengancam nyawa individu tersebut.

Ditanya apakah simptom awal seseorang telah dijangkiti virus influenza, Wan Noraini menjelaskan gejala awal yang kerap dialami ialah rasa seram sejuk diikuti demam panas dengan suhu badan di antara 38 hingga 39 darjah Celsius.

Pesakit turut mengalami sengal-sengal pada badan dan sendi manakala kanak-kanak pula kerap dilaporkan cirit-birit dan sakit perut.

“Secara kebiasaannya, gejala jangkitan influenza bermula secara akut satu atau dua hari selepas dijangkiti. Tahap keterukan influenza meliputi jangkitan yang tidak menunjukkan sebarang gejala kepada radang paru-paru iaitu pneumonia dan boleh menjadi serius sehingga menyebabkan maut,” jelasnya lanjut.

Biarpun jangkitan influenza boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, namun ia boleh mendatangkan komplikasi lebih kronik kepada wanita hamil, kanak-kanak berumur kurang lima tahun, warga tua dan individu dengan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi serta asma.

Sebagai pencegahan, Wan Noraini menyarankan individu yang berumur enam bulan ke atas agar mendapatkan pelalian mengikut jadual yang ditetapkan iaitu secara tahunan.

“Vaksin influenza perlu diambil secara tahunan bagi memastikan pencegahan jangkitan yang optimum. Ini disebabkan berlaku proses perubahan antigenik iaitu perubahan yang berlaku pada struktur virus influenza secara berterusan.

“Oleh itu, formulasi vaksin influenza perlu dikemas kini secara tahunan bagi memastikan kandungannya sepadan dengan virus influenza yang diunjurkan menular pada setiap musim,” terangnya.

Selain mendapatkan vaksin influenza, pencegahan lain yang boleh diaplikasikan ialah dengan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri iaitu kerap membasuh tangan, menggunakan gel pembasmi kuman, mengamalkan adab batuk yang baik, menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter daripada individu bergejala serta memakai topeng mulut dan hidung sewaktu berada di tempat awam terutama pada musim ramai dijangkiti influenza.