Antara penyakit yang sering dihidapi oleh golongan berusia ialah osteoporosis atau tulang menjadi rapuh. Menurut definisi Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), penyakit tulang umum yang dicirikan oleh penurunan jisim tulang dan kemerosotan struktur mikro tulang yang mengakibatkan peningkatan risiko keretakan tulang.

Pakar Reumatologi Hospital ReGen Rehab, Dr. Ainon Mohd. Mokhtar berkata, penyakit itu menjadikan satu masalah kesihatan yang besar kepada warga emas.

“Penyakit ini lebih mudah terkena kepada kaum wanita dan insiden keretakan tulang juga dikesan lebih tinggi dalam kalangan mereka.

“Ini kerana kekurangan hormon estrogen selepas menopaus menyebabkan berlakunya pengurangan ketumpatan tulang dalam tubuh wanita,” katanya ketika ditemui Pesona di Hospital ReGen Rehab, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya, simptom osteoporosis boleh dilihat dengan pengurangan ketinggian seseorang, kesakitan akibat keretakan dan dorsal kyphosis iaitu fenomena postur bulat pada bahagian belakang di kawasan tengkuk. Kawasan yang mudah terkena osteoporosis ialah pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan.

Punca

Ujar Ainon, antara penyebab lain penyakit tersebut termasuklah pengambilan alkohol, penggunaan steroid, pengambilan kalsium yang rendah, merokok, berat badan yang kurang dan gaya hidup yang tidak aktif. Terdapat juga kes turun-temurun daripada ibu bapa yang menghidap penyakit berkenaan.

Di Malaysia, statistik untuk tahun 2013 daripada Yayasan Osteoporosis Antarabangsa menunjukkan 90 orang daripada 100,000 penduduk mengalami insiden keretakan tulang pinggul.

“Kita menjangkakan lebih ramai penghidap osteoporosis pada tahun 2050, sejajar dengan peningkatan jumlah warga emas di negara ini menjelang 2050 yang mana satu pertiga daripada penduduk Malaysia berusia lebih 50 tahun,” tambahnya.

Justeru, rakyat Malaysia disarankan mengambil langkah-langkah pencegahan awal bagi memperkuatkan tulang.

Ketua Pegawai Medikal Hospital ReGen Rehab, Dr. Lydia Abdul Latif berkata, osteoporosis boleh dicegah melalui dua cara iaitu menggunakan ubat dan bukan ubat. Ubat yang boleh diambil termasuklah vitamin D, Bisphosphonates, Teriparatide dan Strontium raleate. Kaedah bukan ubat merangkumi perubahan gaya hidup seperti berhenti minum alkohol, merokok, diet dan bersenam.

Rutin senaman

Katanya, aktiviti fizikal dan senaman berimpak seperti skipping dan melompat membantu meningkatkan jisim tulang dalam kalangan orang dewasa,

“Kita menggalakkan individu yang boleh melakukan senaman skipping untuk menjadikan aktiviti itu sebagai rutin senaman bagi menambah kepadatan tulang.

“Bagi warga emas yang tidak boleh melakukan skipping, mereka boleh melakukan senaman yang menumpukan keseimbangan,” ujar Lydia.

Senaman keseimbangan itu termasuklah seperti senaman functional task iaitu senaman sambil melakukan kerja, strength training dan senaman tiga dimensi seperti tai chi dan yoga.

“Kita juga kena tekankan postur badan yang baik kepada warga tua seperti cara berdiri dan mengangkat barang berat,” tambahnya.

Latihan angkat beban dicadangkan antara dua hingga tiga kali seminggu manakala latihan dimensi dicadangkan setiap hari.

Bagi pesakit osteoporosis, senaman tersebut hendaklah dilakukan dengan keamatan sederhana bagi mengelakkan risiko keretakan.

Secara umumnya, rakyat Malaysia yang berusia 65 tahun ke atas digalakkan melakukan strength training dua kali seminggu, 150 minit senaman aerobik dan senaman keseimbangan setiap hari.