Pengambilan jamu itu telah diamalkannya sejak 10 tahun lalu.

“Emak saya Jah Norlilawati Abdul Razak yang memperkenalkan jamu kepada saya. Dia merupakan pengamal jamu sejak muda lagi.

“Mungkin dia mengetahui akan kebaikan pengambilan jamu terhadap wanita, jadi dia mengajar saya untuk mengamalkannya,” jelasnya ketika ditemui Pesona di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Nabila Huda yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, sejak mengamalkan jamu dia berasa lebih cergas.

Selain itu, masalah-masalah lain seperti muka berjerawat, kitaran haid tidak teratur dan keputihan telah hilang setelah dia mengamalkan pengambilan jamu.

“Amalan pengambilan jamu juga membantu saya membuang angin di dalam badan,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Tambahnya, selalunya setelah mengambil jamu badannya akan berasa panas untuk seketika.

Dalam pada itu, Nabila Huda menjelaskan dia yakin dengan pengambilan jamu kerana dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi.

Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan jamu ialah kunyit, asam jawa, lada hitam dan daun sireh.

Tahan seminggu

Dia menjelaskan, kebiasaannya emaknya akan menyediakan jamu menggunakan cara tradisional untuk mereka berdua minum.

“Proses untuk menghasilkan jamu warisan tidaklah sesukar mana tetapi mengambil tempoh yang agak lama.

“Kebiasaannya emak akan merebus bahan-bahan untuk menghasilkan jamu pada sebelah petang sehingga malam. Jamu yang dihasilkan itu juga mampu bertahan sehingga seminggu,” katanya.

Tambahnya, tidak dinafikan ramai golongan wanita kurang mengambil jamu kerana rasanya yang pahit tetapi ia mempunyai banyak manfaat untuk tubuh badan.

Jamu merupakan ubat tradisional yang berasal dari Indonesia dan dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi.

Amalan memakan jamu ini sebenarnya telah dilakukan oleh wanita Indonesia turun-temurun malahan sejak remaja lagi mereka telah dilatih mengambil jamu sebagai amalan harian.

Komersial

Bagaimanapun, amalan itu bukan satu kebiasaan bagi wanita di Malaysia.

Jamu hanya sebagai pengubatan dan dimakan oleh wanita yang baru bersalin.

Hanya segelintir yang mengambil jamu setiap hari sebagai cara untuk menjaga kesihatan.

Dalam usaha menggalakkan golongan wanita di negara ini mengamalkan tradisi turun-temurun Nusantara itu, pemilik Clear Herbs, Abdul Halim Hafez telah menghasilkan jamu pati asam kunyit dan herba untuk kesihatan dalaman wanita.

Jelasnya, dia memilih untuk komersialkan produk itu untuk mengangkat kembali resipi tradisi yang semakin dilupakan.

“Mungkin generasi muda masa kini sudah lupa akan kebaikan khasiat jamu ini. Oleh itu saya mengambil inisiatif untuk menonjolkan kembali produk-produk warisan yang diamalkan oleh masyarakat Nusantara pada satu masa dahulu.

“Jamu ini memang baik untuk wanita terutamanya golongan baru lepas bersalin dan mereka yang ingin menjaga badan serta penampilan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim menjelaskan, jamu yang dihasilkannya itu menggunakan kaedah tradisional.

Bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan jamu itu juga segar dan semula jadi.

“Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan jamu ini termasuklah buah delima, madu lebah, kunyit, asam jawa, buah kurma, daun sireh, halia bara dan beberapa bahan lain.

“Kebiasaannya, jamu-jamu moden kini berbentuk tablet. Kami pula masih mengekalkan resipi tradisi iaitu jamu dalam bentuk minuman,” katanya.