Dengan berhati-hati, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah kemudiannya mewarnakan sehelai kain berwarna putih di hadapannya.

Dalam masa beberapa minit kemudiannya, corak seakan flora dan fauna mula terhasil.

“Ini adalah pengalaman pertama saya mencanting batik. Walaupun nampak mudah tetapi ia sebenarnya sukar untuk mereka yang mencubanya buat kali pertama.

“Saya perlu berhati-hati bagi memastikan warna itu tidak terkeluar ke bahagian lain,” katanya ketika ditemui Pesona di bengkel canting batik Ainna Artwork di Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Aisyah yang berasal dari Taiping, Perak berkata, dia sebenarnya bersiar-siar ke Pasar Seni bersama dua rakannya yang lain.

Ketika berada di Pasar Seni itu, dia ternampak bengkel mencanting batik Ainna Artwork sebelum mengambil keputusan untuk mencubanya.

“Dengan adanya bengkel ini, ia akan memberi peluang kepada saya dan mereka di luar sana untuk merasai pengalaman mencanting batik,” katanya.

Warisan

Batik adalah satu warisan, khazanah negara yang perlu dipelihara agar seni tradisional ini tidak lapuk ditelan arus zaman.

Bagi mengangkat martabat batik sebagai satu warisan, Ainna Fareha Mohd. Alias, 30, mengambil keputusan untuk membuka sebuah bengkel mencanting batik di Pasar Seni.

Katanya, dia membuka bengkel tersebut pada tahun 2011 atas minatnya dalam penghasilan batik.

“Saya memilih untuk membuka bengkel mencanting batik ini bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak pernah mencanting batik merasai pengalaman berbuat demikian.

“Sejak dibuka, sambutan yang diberikan amat memberangsangkan. Pelanggan yang hadir bukan sahaja terdiri daripada pelancong tempatan malah pelancong dari luar negara juga turut mencuba untuk mencanting batik,” katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Tambahnya, dengan adanya bengkel tersebut sedikit sebanyak dapat memperkenalkan seni penghasilan batik kepada pelancong asing kerana Pasar Seni merupakan salah satu kawasan tumpuan bagi industri pelancongan.

Sebelum membuka bengkel tersebut, Ainna terlebih dahulu bekerja sambil belajar menghasilkan batik dengan seorang pengusaha batik di Selayang, Selangor selama tiga tahun bagi mencari pengalaman.

Setelah mahir dalam menghasilkan batik, Ainna kemudiannya mengambil keputusan untuk membuka sebuah bengkel mencanting batik.

“Bagi saya batik ini adalah satu warisan negara, tidak ramai yang mahir untuk menghasilkan batik,” katanya.

Sambil dibantu oleh suaminya, bengkel mencanting batik Ainna dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 9.30 malam.

Harga

Jelas Ainna, pengunjung yang hadir ke bengkelnya berpeluang untuk menghasilkan batik sendiri dan menjadikannya sebagai cenderahati untuk disimpan.

“Kami menawarkan dua pakej mencanting batik di sini iaitu bagi mewarna sahaja, harganya adalah antara RM15 hingga RM20, manakala bagi mereka yang ingin mendalami ilmu penghasilan batik ini dari awal hingga akhir, harga yang dikenakan adalah RM40 untuk satu jam.

“Bagi mereka yang memilih untuk mewarna sahaja kami akan menyediakan helaian kain putih yang sudah bercorak dan mereka hanya perlu mewarnakan corak-corak itu mengikut kreativiti 
masing-masing,” katanya.

Tambahnya, bagi pelanggan yang ingin mengetahui penghasilan batik dari awal hingga akhir, mereka akan didedahkan dengan proses menghasilkan corak menggunakan lilin di atas kain berwarna putih.