Lengkap dilabel dengan kod bernombor siapa menyangka fail tebal berkenaan menjadi tempat simpanan lencana sekolah kain yang setiap satunya dilaminasi dan dikelaskan mengikut negeri masing-masing.

Turut kelihatan hampir 100 keping lencana sekolah diperbuat daripada logam dan pelbagai jenis tanda nama diletakkan di dalam bingkai kaca di ruang tersebut.

Malah, anak peneroka Felda yang berasal dari Serdang, Kedah tetapi membesar di Pahang itu masih menyimpan lencana sekolah yang dipakai ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan Jengka 2 pada tahun 1981 sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Jengka 7 dua tahun berikutnya.

“Saya teringat pada ketika mula-mula melangkah ke darjah satu. Rasa begitu bersemangat apabila berpakaian seragam sekolah baharu lengkap memakai lencana yang disemat pada poket baju sebelah kiri.

“Apatah lagi saya anak sulung daripada tujuh beradik yang mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah,” imbaunya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu bercerita, bermula dengan menyimpan lencana sendiri dan adik-adik sejak zaman kanak-kanak. Minat mengumpul secara serius terbit sejak lima tahun lalu kerana tertarik dengan kepelbagaian bentuknya.

Tidak mengumpul secara semberono, pekerja sektor swasta itu mempunyai senarai sekolah-sekolah di Malaysia yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan merekodkan lencana yang diperolehnya berdasarkan dokumen tersebut.

Menjadi rutin Abdul Aziz membawa senarai tersebut jika berkunjung ke mana-mana negeri untuk memudahkannya membuat rujukan apabila melewati kawasan sekolah yang belum diketahui. Ada ketikanya, dia singgah membeli lencana di kedai buku atau koperasi sekolah.

“Purata harga lencana ialah sekitar 50 sen sehingga RM1.50. Ada sebuah sekolah dari Sabah menjual lencana pada harga RM3 sekeping kerana jenis kainnya yang tebal dan berkualiti. Paling mahal, saya pernah membeli sekeping lencana besi secara online pada harga RM8.

“Kini saya mempunyai lencana lebih 1,200 buah sekolah. Begitupun, jumlah itu hanya kira-kira 10 peratus daripada jumlah seluruh sekolah di negara ini.

Pengasas

“Ia termasuk sebuah lencana lama tahun 1915 Sekolah Kebangsaan Serdang Pusat di Kedah yang tertera cogan kata Pelajaran Kunchi Kebahagiaan,” ujarnya yang bersedia menerima jemputan untuk mengadakan pameran di sekolah bergantung kepada lokasi dan kelapangan waktunya.

Justeru, dia berazam untuk melengkapkan koleksi lencana di seluruh Malaysia. Dia sedar, itu bukan tugas mudah apatah lagi ada sekolah terutamanya di kawasan pedalaman yang tidak mencetak lencana dengan jumlah yang banyak kerana jumlah muridnya sedikit.

Namun, ada lencana sekolah yang dicetak dengan tanda nama dan ia dibuat khusus untuk pelajar sekolah berkenaan. Baginya, hobi itu menyeronokkan lebih-lebih lagi wujudnya komuniti di laman sosial Facebook yang menghimpunkan pengumpul-pengumpul lencana dari seluruh negara.

Malah dia sendiri menjadi antara pengasas Komuniti Koleksi Lencana Sekolah (KKLS) yang baru ditubuhkan sejak setahun lalu.

KKLS kini mempunyai lebih 50 ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion seperti guru besar, polis dan jurutera.

Dia beruntung kerana minatnya turut disokong isteri, Nursakimah Awang, 44, yang setia menemaninya sama ada mengunjungi sekolah tertentu atau menyertai aktiviti komuniti itu.

“Ada antara mereka yang menghimpunkan lencana sekolah Inggeris sahaja. Ada juga yang mempunyai koleksi-koleksi lencana dari luar negara seperti Indonesia.

“Kebanyakan koleksi lencana yang diperoleh hasil daripada bertukar-tukar dengan rakan-rakan yang berkongsi minat sama. Ada juga yang dibeli secara dalam talian selain dihadiahkan oleh pihak sekolah yang saya hubungi melalui Facebook,” tuturnya.

Pameran

Abdul Aziz yang aktif menyertai pameran berbentuk hobi atau diadakan bersempena hari terbuka sekolah berpendapat, lencana turut berperanan sebagai wadah menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat kerana ia mempunyai nilai sejarah.

Tambahnya, boleh jadi ia menyimpan kisah unik yang jarang diketahui ramai. Sebagai contoh, terdapat sebuah sekolah bernama Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Ladang Harcorf yang dipindahkan dari kawasan estet Ayer Tawar, Perak, ke Puchong, Selangor pada tahun 2008.

“Sekitar dua tahun lalu, namanya turut ditukar kepada SJKC Shin Cheng (Harcroft). Saya sendiri mempunyai kedua-dua paten lencana sebelum dan selepas namanya bertukar.

“Selain itu, terdapat juga sebuah sekolah yang bernama Sekolah Kebangsaan Mangkok di Terengganu yang mengambil nama sempena lokasi sekolah yang terletak di Kampung Mangkuk, Setiu, Terengganu,” ujarnya.

Mengikut cerita orang dulu-dulu, kononnya terdapat seorang pengembara yang yang sedang mendayung perahu terlihat sebuah mangkuk terapung di permukaan Sungai Setiu.

Apabila pengembara itu cuba mendekati mangkuk tersebut untuk mengambilnya ia bergerak mengikut arus air yang akhirnya membawa pengembara itu ke satu kawasan yang menarik dan begitu menenangkan.

Dia akhirnya mengambil keputusan membawa ahli keluarganya tinggal di kawasan itu yang akhirnya dinamakan sebagai Kampung Mangkuk.

Abdul Aziz berkata, satu lagi aspek menarik yang boleh diperhatikan sepanjang berkecimpung dengan hobi berkenaan ialah, rekaan lencana turut berevolusi mengikut peredaran zaman.

“Jika kita melihat rekaan logo atau lencana sekolah era 80-an hingga 90-an, pereka cenderung menggunakan objek seperti buku, lilin, obor, gulungan ijazah, kunci dan pensel yang sinonim dengan perjalanan seorang pelajar dalam mencari ilmu pengetahuan.

“Dalam rekaan logo sekolah selepas tahun 2000, penggunaan elemen seperti komputer, satelit dan struktur bangunan bangunan futuristik lebih menjadi pilihan pereka.

“Selain itu, pemilihan moto sekolah juga lebih mencerminkan cita-cita menuju kemajuan teknologi dan inspirasi mengejar wawasan negara maju,” jelasnya.

Katanya, pengurusan sekolah lebih cenderung menggunakan lencana kain kerana ia lebih murah berbanding menggunakan lencana logam yang mudah berkarat, mahal selain dikhuatiri membahayakan kerana terdapat reka bentuk lencana mempunyai bucu tajam.

Namun menurutnya, terdapat sesetengah sekolah seperti Victoria Institution yang merupakan sekolah tertua di Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah masih mengekalkan penggunaan lencana logam.

“Insya-Allah saya akan meneruskan usaha mengumpul lencana sekolah ini kerana ia mempunyai nilai sentimental tersendiri dan biarlah ia menjadi simpanan peribadi sampai bila-bila.

“Di samping itu, saya berharap agar usaha mendokumentasi maklumat mengenai lencana melalui platform blog dapat menjadi pusat sehenti untuk orang ramai melihat aneka dan variasi corak lencana sekolah di negara kita,” tuturnya.

Abdul Aziz A. Hamid giat mengumpul dan mendokumentasikan lencana-lencana sekolah di seluruh Malaysia secara serius sejak lima tahun lalu dan menamakannya Koleksi Lencana Sekolah Abah.