Tidak selesa dengan gangguan tersebut, Jamilah mendapatkan rawatan di beberapa buah klinik. Bagaimanapun, dia hanya diberitahu mengalami demam biasa.

Oleh kerana tidak sembuh selepas tiga minggu, dia pergi ke klinik semula untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan menghidap penyakit batuk kering atau tuberkulosis (tibi).

Jamilah kemudian telah dirujuk ke Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, buat masa ini keadaan saya semakin sihat dan akan dibenarkan pulang beberapa minggu lagi,” katanya.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur, Dr. Nurhayati Mohd. Marzuki berkata, penyakit tibi adalah penyakit kuno yang masih wujud sehingga kini.

Tegasnya penyakit ini juga menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kematian.

“Inilah masanya untuk semua pihak bergabung tenaga dalam usaha mengurangkan kematian akibat penyakit tibi menjelang tahun 2050 seperti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Di IPR sendiri kami merawat lebih 1,500 pesakit tibi setiap tahun. Saya percaya masih ada orang awam yang berdepan dengan penyakit ini namun masih belum didiagnosis lagi,” katanya.

Berleluasa

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia 2019 yang diadakan di IPR baru-baru ini.

Turut hadir meraikan sambutan tersebut, Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Asmah Samat dan Presiden Yayasan Paru-Paru Malaysia, Datuk Dr. Zainuddin Md Zin.

Dalam pada itu, Asmah dalam ucapannya berkata, sambutan Hari Tibi Sedunia pada 24 Mac setiap tahun bertujuan mewujudkan kesedaran bahawa penyakit itu masih berleluasa bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Penyakit ini telah menyebabkan kematian lebih 1.5 juta orang setahun di seluruh dunia terutamanya di negara-negara yang sedang membangun.

“Oleh itu, kita perlu meuar-uarkan kepada semua rakyat Malaysia tentang gejala penyakit, kaedah rawatan, komplikasi tanpa rawatan serta cara penularan kuman tibi,” katanya.

Tambahnya, dengan meningkatnya kesedaran tentang penyakit itu barulah boleh kita membasmi penyakit tersebut.

Pada tahun 2017, terdapat 26.168 kes tibi aktif di Malaysia dengan mencatatkan jumlah kematian sebanyak 2,098 kes.

Sehingga bulan Ogos 2018, terdapat 16,422 kes tibi yang didiagnosis.

Asmah berkata, inilah masanya untuk kita menjalankan ujian dan merawat jangkitan kuman tibi.

Sukar

“Pesakit yang mempunyai tanda-tanda penyakit ini disarankan supaya berjumpa doktor segera.

“Tanda-tanda penyakit ini adalah batuk melebihi dua minggu, demam terutamanya pada lewat petang, tiada selera makan, hilang berat badan, berpeluh pada waktu malam dan batuk,” katanya.

Tambahnya, kuman pesakit yang telah dijangkiti boleh aktif semula dan menjangkiti orang lain.

Oleh itu, penyebaran kuman tibi harus dihentikan dengan memberi rawatan kepada pesakit.

Sementara itu, Zainuddin menjelaskan, penyakit tibi merupakan salah satu masalah kesihatan yang sangat mencabar dan sukar diatasi.

WHO menganggarkan sebanyak 10 juta kes baharu tibi dikesan pada tahun 2017 iaitu sekitar 24,000 kes baharu setiap hari.

“Kematian akibat penyakit ini dianggarkan sebanyak 1.6 juta orang pada tahun 2017, lebih 4,000 kematian berlaku setiap hari atau tiga hingga empat kematian setiap minit,” katanya.

Zainuddin menegaskan, kesedaran tentang penyakit tibi dan bahayanya dalam kalangan orang awam penting agar mereka berperanan mengurangkan penularan penyakit tersebut.