Dikurniakan satu-satunya anak tunggal dengan harapan dapat menjaganya pada usia tua suatu hari nanti nampaknya hanya satu angan-angan.

Manakan tidak, satu-satunya anak yang menjadi harapan keluarga sering menimbulkan masalah apabila gemar berhutang dengan ceti haram sehingga kerap diburu ah long gara-gara tidak membayar pinjaman yang dibuat.

Menurut Salmah (bukan nama sebenar), sebagai seorang ibu, sudah tentu dia tidak sampai hati melihat anak tunggalnya ditimpa masalah.

Namun, apa yang membuatkan wanita itu kecewa adalah dek kerana sikap anaknya itu yang tidak pernah serik apabila telah beberapa kali mengulangi perbuatan sama.

Panas baran

Dakwa Salmah, dia mengakui bahawa anak lelakinya itu yang dipanggil Man yang berusia 31 tahun itu seorang yang boros dan sering berbelanja melebihi kadar kemampuannya.

Katanya lagi, Man tidak mempunyai pekerjaan tetap dan selalu bertukar-tukar kerja. Namun keinginan dan sikapnya yang gemar bergaya dengan barangan mewah telah mendatangkan masalah.

“Gara-gara untuk melangsaikan hutang-hutang tertunggak, Man telah membuat pinjaman kewangan dengan ah long.

“Walaupun jumlah pinjaman yang dibuat tidaklah seberapa, faedah tinggi yang dikenakan menjadikan pinjaman yang dibuat meningkat berlipat kali ganda,” katanya.

Apa yang membuatkan Salmah terkilan apabila dia terpaksa menggunakan wang simpanan yang dikumpul untuk menunaikan ibadah umrah bagi menyelesaikan hutang anaknya.

Sebagai seorang ibu, Salmah telah penat menasihati anaknya supaya tidak lagi membuat hutang, namun nasihat tersebut ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Lebih memburukkan keadaan apabila anak tunggalnya seorang yang panas baran dan pantang apabila ditegur, pasti lelaki itu akan naik angin serta-merta.

Sebelum ini, anaknya pernah beberapa kali menerima ugutan daripada ceti haram kerana gagal membayar ansuran pinjaman yang dibuat. Secara tidak langsung, keluarga turut sama terpalit dan bimbang dengan ancaman tersebut.

“Setiap kali masalah tersebut timbul, sayalah yang terpaksa membayar hutang-hutang tersebut sehingga selesai,” ujar Salmah.

Tawar hati

Kerana bimbang tentang keselamatan anaknya, Salmah terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi membantu melangsaikan hutang tersebut sehingga adakalanya, wanita itu terpaksa bergolok-bergadai membantu anaknya.

Namun, segala pertolongan yang diusahakan nampak sia-sia apabila anaknya tidak pernah serik daripada terus membuat pinjaman dengan ceti haram.

Salmah yang mengusahakan sebuah kedai makan di Kuala Lumpur seperti telah kehilangan kata-kata, malah berasa sedih dengan sikap anak bujangnya itu.

Menurut Salmah, dia dan suami telah puas berleter dan menasihati anaknya supaya berbelanja mengikut kemampuan. Dek kerana sikap boros tersebut, Salmah bimbang tentang keselamatan anaknya lebih-lebih lagi selepas beberapa kali pernah diburu ah long.

Pernah suatu ketika, Salmah tekad untuk tidak lagi membantu menyelesaikan hutang anaknya. Namun, rasa simpati dan kesian yang lahir dari seorang ibu membuatkan Salmah tidak sampai hati melihat anaknya ditimpa masalah.

“Dia (Man) satu-satunya anak yang saya ada dan kasih sayang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit,” tutur Salmah.

Bagaimanapun, kerana terlalu kerap anaknya menimbulkan masalah, Salmah semakin hari menjadi semakin tawar hati dengan perangai lelaki itu.

Bahkan, sampai satu tahap, Salmah terpaksa berkeras hati jika anaknya meminta bantuan selepas ini jika terjadi masalah sama.

Naluri seorang ibu, jauh di sudut hatinya, Salmah selalu berdoa dan berharap agar anaknya berubah suatu hari nanti serta tidak lagi membuat hutang sana sini.

Salmah terkilan dan sedih dengan sikap anak tunggalnya yang suka berhutang sehingga dia sendiri terpaksa bergolok-bergadai melangsaikan hutang anaknya.