Ditambah dengan susuk badan yang tinggi dan tegap menjadi bonus buat Hasrul dalam menjalankan kegiatannya sebagai ‘anak ikan’ kepada golongan wanita atasan sehingga menjadikan hidupnya se­nang dan dilimpahi kemewahan.

Menurut jejaka yang berasal dari sebuah negeri dari selatan ta­nah air itu, aktivitinya sebagai gigolo dilakukan tanpa sengaja selepas dia berkenalan dengan seorang gadis yang juga anak kepada orang kenamaan tiga tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, Hasrul sering dimanjakan dengan kemewahan, malah segala yang dihajati akan ditunaikan oleh teman wanitanya tanpa berkira.

Hasrul yang ketika itu cuma seorang jurugambar bebas berasa cukup bertuah kerana mendapat teman wanita yang berharta dan tidak lokek untuk berhabis ke­rananya.

“Siapa yang tidak suka apabila segala apa yang dihajati akan ditunaikan dengan mudah tanpa perlu bersusah payah memikirkan soal duit,” ujarnya.

Hanya bermodalkan paras rupa yang tampan sudah cukup menjadikan Hasrul digilai sesiapa sahaja.

Tidak puas

Dalam diam, lelaki itu mula berasa seronok apabila dia mendapati dirinya mudah untuk dijadikan senjata bagi memikat kaum wanita dan sasarannya tentulah daripada mereka yang berduit.

Walaupun telah memiliki teman wanita yang setia dan sanggup berkorban untuknya, Hasrul berasa tidak puas untuk memiliki lebih daripada itu.

“Saya mula menjadikan wanita berusia sebagai sasaran dan ter­nyata usaha tersebut tidak sia-sia,” katanya.

Menurut Hasrul, dalam diam dia telah berkenalan dengan seorang wanita berusia lewat 50-an yang merupakan kenalan kepada ibu teman wanitanya.

Pertemuan Hasrul dengan wanita tersebut terjalin dalam satu ma­j­lis dan mereka telah bertukar-tukar nombor telefon dengan alasan untuk tujuan perniagaan kerana wanita itu mendakwa ingin mendapatkan khidmat jurugambar bagi produk kecantikan yang dia hasilkan.

Menyedari peluang yang ada itu, Hasrul telah mengambil kesempatan dengan menggunakan kelebihan yang dia ada untuk memikat wanita yang berstatus janda itu.

Ibarat kucing dahagakan be­laian manja, Hasrul dengan mudah berjaya menawan hati wanita itu untuk menjadi peneman dan tidak kisah bersama wanita berusia asalkan dia mampu memberi kemewahan padanya.

“Terus terang, saya bukannya serius untuk berkahwin dengan wa­nita berusia dan hanya mengambil kesempatan pada kemewahan yang dimilikinya untuk kepenti­ngan diri sendiri,” kata Hasrul.

Dendam

Bahkan, jika ada wanita lain yang dilihat berpotensi untuk dijadikan mangsa, tidak salah rasa­nya kerana mereka (mangsa) sendiri yang inginkan dia menjadi teman walaupun cuma sementara.

Bagi Hasrul, buat masa ini dia selesa dan gembira menikmati ha­sil yang diperoleh walaupun sedar tindakannya itu bakal menjerat dirinya suatu hari nanti.

“Ada masanya saya takut juga bila difikirkan, mungkin suatu hari nanti saya boleh menjadi mangsa bunuh kerana dendam atas perbuatan yang dilakukan,” jelasnya.

Meskipun hidup dalam kea­daan serba mewah hasil tajaan wanita berharta, Hasrul mengakui kadang­kala timbul perasaan tidak selesa dan terfikir jika segala yang dimilikinya pada hari ini tiba-tiba hilang suatu hari nanti.

“Saya sendiri tidak tahu sampai bila saya akan terus hidup dengan mengambil kesempatan terhadap kesenangan orang lain.

“Apa yang pasti saya masih belum puas menikmati kemewahan, namun berharap semuanya akan berubah suatu hari nanti,” kata Hasrul menutup bicara.

Hasrul kecapi kesenangan apabila hidup ditaja wanita berduit hanya dengan bermodalkan paras rupa yang tampan sebagai senjata memikat mangsanya.