Lebih-lebih lagi apabila ia didirikan atas kebahagiaan wanita lain.

Disebabkan itu, Amira, 25, terpaksa akur apabila mahligai yang baru didirikan dua tahun lalu itu kini diumpamakan bagai retak menanti belah apabila suaminya kembali mengemis kasih bekas isterinya.

Menurut wanita yang berasal dari Pahang itu lagi, biarpun pelbagai cara telah dilakukan untuk menarik kembali perhatian suaminya, namun, Saiful tetap tidak mengendahkannya.

Malah akui Amira lagi, mereka juga pernah tinggal berasingan lebih dua minggu hanya kerana berselisih faham..

Menceritakan kembali detik-detik perkenalan antara Amira dan Saiful, menurut anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu, mereka mula jatuh hati ketika bertemu di sebuah kelab malam.

“Dahulu saya merupakan seorang gadis liar. Peluang melanjutkan pengajian di menara gading yang terletak di tengah-tengah ibu kota membuatkan saya semakin bebas seperti burung.

“Setiap kali hujung minggu, saya akan berpeleseran di kelab malam bersama rakan-rakan.

“Teman lelaki bertukar-tukar seperti baju. Salah seorangnya ialah Saiful,” jelasnya.

Tangkap khalwat

Biarpun begitu, menurut Amira lagi, Saiful merupakan satu-satunya lelaki yang dilihat serius menjalin kasih. Biarpun mengetahui lelaki tersebut telah berkahwin dan isterinya pada waktu itu sedang sarat mengandung, namun Amira langsung tidak mengambil serius hal tersebut.

Sebaliknya, dia semakin galak memadu kasih dengan kontraktor tersebut sehingga ditangkap basah.

“Tengah seronok memang langsung tidak terasa takut. Bukan sekali, tetapi sudah tiga kali kami ditangkap khalwat.

“Berita penangkapan tersebut menyebabkan isteri Saiful pada waktu itu baru melahirkan bayi mereka sedih dan hampir meroyan. Saya akui tindakan kami keterlaluan,” jelasnya.

Menurut Amira lagi, sepanjang tiga tahun melanjutkan pengajian di menara gading, kehidupannya bersama Saiful bergelumang dengan dosa.

Bagaimanapun sebaik dia menamatkan pengajian di menara gading, Saiful mengajaknya berkahwin di Selatan Thailand. Tanpa berfikir panjang, Amira bersetuju dengan cadangan tersebut.

Dua minggu selepas selamat diijabkabulkan, mereka kembali ke Kuala Lumpur untuk bersemuka dengan isteri Saiful.

Pertemuan tersebut membawa kepada perbalahan besar sehingga Saiful akhirnya menceraikan isterinya.

“Pada waktu itu, saya rasa puas kerana bukan sahaja dapat memiliki Saiful sepenuhnya, tetapi juga harta-hartanya.

“Kehidupan kami suami isteri begitu bahagia sehinggalah pada suatu hari apabila Saiful mula teringatkan tentang anak lelakinya.

“Biarpun jahat, namun saya tidak tergamak untuk melarang Saiful daripada menghulurkan nafkah bulanan apatah lagi menjenguk anak lelakinya itu. Bagaimanapun, saya mula perasan perubahan sikap Saiful selepas beberapa kali bertemu anaknya,” jelasnya.

Kesan lokasi

Tidak mahu berperasangka buruk terhadap suaminya itu, Amira membuang jauh perasaan curiga tersebut.

Bagaimanapun, teka-teki yang sudah terlalu lama bersarang di dalam hatinya itu terjawab selepas dia terbaca pesanan ringkas Saiful terhadap bekas isterinya itu.

“Saya terkejut apabila melihat mesej-mesej jiwang yang diberikan Saiful. Seolah-olah dia sedang merayu dan meraih perhatian wanita tersebut.

“Tanpa berlengah, saya menyoal kepada Saiful. Alangkah terkejutnya saya apabila tanpa sebarang penjelasan, Saiful mengherdik saya,” jelasnya.

Perbalahan tersebut membuatkan Saiful menghilangkan diri. Bagaimanapun, Amira bersyukur kerana kemajuan teknologi terkini membolehkan dia mengesan lokasi Saiful.

“Berang saya dibuatnya apabila melihat Saiful berada di luar pagar sebuah rumah bersama jambangan bunga dan coklat.

“Pada mulanya saya tidak tahu kediaman siapakah itu. Sehinggalah saya ternampak bekas isterinya keluar dari kediaman tersebut.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat wanita tersebut mencampakkan jambangan bunga yang diberikan ke dalam tong sampah,” jelasnya.

Melihatkan adegan tersebut, Amira akui cinta Saiful hanyalah bertepuk sebelah tangan.

“Saya rasa bekas isteri suami saya tidak boleh melupakan kisah lalu. Apatah lagi menerima kembali cintanya.

“Tetapi, ia meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kehidupan saya bersama suami. Saiful kini boleh dikatakan gila talak dan langsung tidak mempedulikan saya.

“Mungkin ini balasan dosa yang dilakukan terdahulu,” jelasnya.