Ia bermula selepas batik mendapat pengisytiharan sebagai Warisan Kemanusiaan untuk Budaya Lisan dan Nonbendawi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2 Oktober 2009. Tarikh pengisytiharan itu kini disambut sebagai Hari Batik Kebangsaan.

Penganugerahan UNESCO tersebut telah menjadi titik permulaan pengiktirafan antarabangsa terhadap budaya Indonesia walaupun ketika itu bilangan pakar dalam bidang tersebut tidak ramai.

Pensyarah daripada Jabatan Reka Bentuk Universiti Dongseo di Korea Selatan, Prof. Soon Ku Kim berkata, Indonesia adalah sebuah negara yang hebat kerana mampu mempengaruhi negara lain mengikut trend mereka seperti gaya Korea.

Ku Kim yang kini mengajar dalam bidang reka bentuk busana di Universiti Ciputra di Surabaya sejak tahun 2012 itu telah mengembara ke Bandung, Yogyakarta, Bali dan Lombok sehingga menyebabkan rasa cintanya terhadap batik semakin membara.

Menurutnya, batik merupakan salah satu budaya Indonesia yang sangat menarik untuk diketengahkan di peringkat global.

"Saya terkejut apabila melihat pakaian itu berada di mana-mana sahaja dan ternyata ia adalah batik," katanya.

Pandangan Ku Kim itu turut dipersetujui oleh Pengerusi Komuniti Batik Jawa Timur di Surabaya, Lintu Tulistyantoro yang memberitahu, batik Indonesia sudah mendapat tempat di seluruh dunia termasuk Eropah, Amerika, Afrika dan negara-negara Asia.

Motif batik



Batik masih menjadi pilihan pada zaman moden ini.

Sebagai contoh, sebanyak 3,000 helai batik dari Banyuwangi dieksport ke Brazil setiap bulan, namun pihak pemerintah belum memanfaatkan sepenuhnya potensi itu untuk menjadikannya sebagai trend di peringkat global.

Seorang pensyarah daripada Universiti Kristen Petra di Surabaya pula berpendapat, pihak pemerintah perlu mengadakan siri jelajah batik yang melibatkan golongan pereka dari Indonesia ke seluruh dunia.

Selain itu, para pereka yang diundang untuk mengikuti jelajah ke peringkat antarabangsa tersebut perlu melakukan penyesuaian rekaan mengikuti kesesuaian negara yang mereka lawati dengan menghasilkan motif corak batik berbeza.

Sebagai contoh, rakyat Jerman lebih menyukai warna biru, Jepun pula warna semula jadi, Amerika Syarikat bermotifkan klasik manakala Amerika Selatan pula tertarik dengan warna terang seperti merah dan hitam.

Kedua-dua usaha itu juga perlu disokong dengan proses dokumentasi sama ada dari segi penceritaan atau gambar bagi membolehkan kerajaan membukukan motif batik tersebut untuk dipromosikan dalam pelbagai forum atau pameran antarabangsa yang diadakan.

Sehubungan itu, pengeluaran batik akan meningkat sehingga pengeksportan ke Brazil, beberapa negara Asia termasuk Jepun dan Afrika akan terus berkembang.

Budaya



Batik Indonesia turut diperagakan dalam dunia fesyen.

Malah, beberapa selebriti dunia juga pernah menggayakan busana motif batik Indonesia seperti Jessica Alba yang memakai sehelai gaun bermotifkan parang gringsing yang dipercayai untuk menolak penyakit.

Barisan artis seperti Dakota Fanning, Reese Witherspoon, Heidi Klum dan Rachel Bilson juga pernah dilihat menggayakan busana bermotifkan batik.

Batik Indonesia lebih unggul daripada 35 negara yang memiliki teknik dan simbol budaya. Batik menjadi identiti rakyat republik ini dari saat mereka dilahirkan sehingga meninggal dunia.

Ketika kecil, bayi digendong menggunakan kain batik yang mempunyai corak unsur bernasib baik dan ketika meninggal dunia pula akan ditutupi dengan kain tersebut.

Realiti itu membuktikan Indonesia tidak dilihat daripada keseragaman dalam satu suara sama ada bersetuju atau tidak, namun republik itu sebenarnya sangat 'batik' yang membawa maksud kepelbagaian. Justeru, pakailah batik dalam konteks kepelbagaian dan budaya. Jangan meletakkan pemahaman batik hanya sekadar kain, pakaian atau fesyen untuk meraih keuntungan.

Menurut Lintu yang juga merupakan pensyarah Universiti Kristen Petra di Surabaya, batik tidak jauh bezanya dengan industri tekstil lain, malah batik pada masa lalu menjadi sebahagian daripada budaya yang diguna pakai dalam pelbagai acara dan lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, fungsi batik tidak hanya tertumpu kepada industri tersebut kerana ia merupakan sebahagian daripada budaya tanpa meniru tradisi masa lalu.

Setidak-tidaknya masyarakat boleh membezakan batik dengan pakaian lain. Sehubungan itu, masyarakat perlu meletakkan batik pada kelasnya tersendiri dengan membezakannya bukan atas dasar status atau bentuk kegiatan masa lalu tetapi manfaat atau fungsinya.

"Batik yang digunakan untuk golongan kanak-kanak dan orang dewasa atau dalam perkhidmatan tertentu perlu berbeza mengikut fungsinya," jelas Lintu.

Dengan mengangkat taraf batik daripada sekadar pakaian, fesyen atau tekstil sehingga menjadikannya mengikut fungsi tertentu, maka batik kini merupakan sebahagian daripada budaya atau kehidupan.

Batik memiliki roh atau falsafah yang boleh membuatkan masyarakat dunia melihatnya sebagai pakaian yang mempunyai nilai tersendiri dan bukan sekadar pakaian.