Malah, boleh dikatakan setiap kali kejadian itu berlaku, pasti ia akan mengundang kemarahan pelbagai pihak kerana perbuatan tersebut ternyata mengatasi sikap peri kemanusiaan yang sepatutnya ada pada ibu bapa mahupun penjaga.

Atas alasan apa sekali pun perbuatan itu dilakukan, ia menyalahi undang-udang dan melampau norma manusia sebagai ibu bapa atau penjaga yang sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak tersebut.

Kejadian penderaan kanak-kanak terbaharu berlaku di Kota Bharu, Kelantan. Dalam laporan tersebut, seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, Khairunisa, bukan sahaja dikurung bersama adiknya, Mohd. Khalif Daneal, 6, di dalam sebuah rumah di Kampung Terap, Binjai, malah kanak-kanak itu turut didera oleh bapanya sendiri sejak sebulan yang lalu.

Kejadian malang yang menimpa kanak-kanak perempuan itu dikatakan berpunca daripada wajahnya yang seiras dengan ibunya yang juga bekas isteri suspek. Wanita tersebut telah diceraikan talak tiga pada September lalu selepas pernah dua kali bercerai pada tahun 2010 dan 2011.

Dendam

Antara punca lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut ialah perasaan dendam suspek terhadap bekas isterinya kerana gagal merujuk kembali selepas tiga bulan berpisah buat kali ketiga.

Kedua-dua kanak-kanak tersebut telah diselamatkan daripada terus menjadi mangsa penganiayaan bapa sendiri pada Jumaat lalu oleh ibu mangsa yang bertindak mengambil mereka di rumah berkenaan, manakala suspek telah ditahan polis untuk siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Prof. Undang-Undang Keluarga, Wanita Dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku disebabkan oleh sikap buruk suspek yang dikatakan kerap memukul isteri sebelum mereka bercerai.

“Mungkin disebabkan si bapa mempunyai rekod yang buruk iaitu kerap memukul isteri ketika mereka hidup bersama, ia telah menyebabkan dia tidak mempunyai apa-apa perasaan bersalah atau kasihan apabila melakukan perkara sama kepada anak-anaknya.

“Selain memukul, si bapa juga sanggup melakukan apa sahaja perbuatan keji termasuklah mendera, merogol atau membunuh anak-anak mereka tanpa perasaan belas sebagai cara untuk membalas dendam,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM menjelaskan, selain tindakan penjara yang perlu diambil mengikut undang-undang sedia ada, si pelaku juga perlu dikenakan hukuman wajib menjalani terapi kaunseling ketika di dalam penjara bagi memulihkan pemikiran di psikologinya.

Kata beliau, perkara itu penting bagi membolehkan pesalah kembali menjadi manusia normal yang penuh dengan perasaan kasih sayang selain memberi peluang kedua untuk terus berhubung dengan isteri dan anak-anaknya.

“Jika pesalah masih gagal pulih walaupun rawatan telah diberikan sepanjang tempoh hukuman berlangsung, maka pihak berkuasa perlu mendapatkan perintah mahkamah agar mengeluarkan perintah perlindungan yang berpanjangan.

“Ia bertujuan melindungi si isteri dan kanak-kanak yang pernah didera daripada terus diganggu oleh pesalah selain mengelak daripada kejadian serupa kembali berulang,” katanya sambli memberitahu Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 boleh digunakan untuk melindungi golongan tersebut daripada terus menjadi mangsa penderaan dan keganasan.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad pula berkata, tindakan ibu bapa atau penjaga yang tergamak mendera anak-anak adalah disebabkan oleh pengaruh luar yang telah merosakkan pemikiran mereka.

Dadah

Merujuk kepada kes yang berlaku di Kota Bharu itu, Fauziah memberitahu, tindakan kebinatangan si bapa itu mungkin disebabkan oleh pengaruh dadah yang menyebabkannya gagal berfikiran secara waras sebelum melakukan sebarang tindakan.

“Jika dilihat kepada hierarki kekeluargaan, bapa merupakan orang pertama dan tertinggi yang perlu memikul tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan ahli keluarganya.

“Sepatutnya si bapa perlu membesarkan anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang dan menyediakan segala keperluan.

“Namun dalam hal ini, disebabkan si bapa telah terperangkap dengan gejala penyalahgunaan dadah, lalu bertindak di luar batas kemanusiaan,” katanya.

Oleh itu katanya, mana-mana ibu bapa atau penjaga yang menghadapi masalah tekanan emosi disebabkan oleh pelbagai masalah kehidupan, mereka perlulah mendapat khidmat nasihat daripada pakar kaunseling bagi membolehkan tekanan tersebut dihadapi dan diselesaikan dengan cara yang lebih rasional.

Tindakan itu katanya, dapat mengelakkan berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini termasuklah penceraian yang akhirnya akan membawa kepada dendam.