Apa yang berlaku ini tidak ubah seperti adegan dalam filem gengster Hollywood dan Hong Kong yang memaparkan aksi ganas dan kejam.

Bayangkan jika kegiatan jenayah tersebut terkena individu yang tidak bersalah seperti kanak-kanak atau warga emas. Adakah masyarakat masih lagi mahu berdiam diri?

Terdahulu, satu klip video berdurasi 30 saat tular di laman sosial Facebook yang mendakwa satu kejadian pergaduhan berlaku antara kumpulan samseng di Jalan Hang Tuah 3, Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur.

Dalam klip video itu, seorang lelaki dilihat dibelasah sekurang-kurangnya oleh empat lelaki menggunakan kerusi dan meja makan di sebuah restoran.

Baru-baru ini pula, kita dikejutkan dengan kejadian tembak sehingga mengakibatkan lima penjenayah mati dalam cubaan merompak barang kemas di sebuah kedai emas dalam pasar raya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Tanggungjawab

Menurut Pakar Sosial Universiti Selangor (Unisel), Prof. Mohd. Zaidi Hajazi, kegiatan jenayah dilihat semakin menjadi-jadi ekoran daripada sikap kurang cakna masyarakat.

“Sebenarnya, istilah jangan menjaga tepi kain orang harus digunakan pakai dan diubah menjadi wajib jaga tepi kain orang.

“Lebih jelas lagi, masyarakat harus peka dan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka. Tidak usah takut atau lari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Zaidi berkata, sebenarnya tindakan orang di sekeliling amat penting dalam membantu pencegahan jenayah yang berlaku.

Tegasnya, pihak berkuasa sudah memainkan peranannya untuk menyedarkan masyarakat dengan meletakkan nombor telefon yang mudah dihubungi jika berlaku kejadian kecemasan.

“Jadi peranan kita amat penting dalam membanteras jenayah biarpun secara tidak langsung.

“Mudah sahaja, hubungi dan lapor. Pihak berkuasa juga tidak akan mendedahkan identiti saksi kejadian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berpendapat, jenayah di tempat awam berlaku disebabkan kurangnya nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Sebab itu, kesedaran sivik amat berguna. Pihak sekolah mahupun institusi kekeluargaan perlu menekankan aspek berkenaan.

“Contohnya di negara Jepun, budak lingkungan usia tiga tahun sudah diterapkan dengan pembelajaran sivik ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengamal Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Mior Roslan Mior Mohd. Jaafar berkata, keselamatan merupakan tanggungjawab bersama dan bukan terletak pada satu pihak semata-mata.

“Kita perlu memahami istilah jenayah iaitu peluang, sasaran dan keinginan.

“Tiga perkara tersebut perlu dikuasai setiap masyarakat supaya dapat melumpuhkan peri laku buruk atau perbuatan jenayah tersebut,” tuturnya.