Menyedari pentingnya perkara tersebut dalam kehidupan kanak-kanak terutamanya di kawasan tumpuan pelancong, Yayasan Qaseh ZY Phyto telah mengadakan program Kembara Qaseh ZY Phyto bersama 100 pelajar madrasah Kampung Mabul di Pulau Mabul, Sabah baru-baru ini.

Turut serta, 15 orang kakitangan dan sukarelawan ZY Phyto.

“Program ini sebagai salah satu usaha untuk mendidik para pelajar yang terlibat agar bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Mereka perlu dididik menghargai keindahan tempat tinggal mereka dan kepentingan menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ZY Phyto, Zaidi Yusoff ketika berucap pada perasmian program tersebut.

Menurut Zaidi, ia mampu menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Mabul dan pulau sekitarnya sekiranya keaslian kawasan berkenaan terpelihara dan kekal cantik.

Dalam program tersebut, para pelajar mengutip dan membersihkan sampah di sekitar pulau dan kawasan penempatan penduduk.

Insentif

“Kami menetapkan setiap seorang pelajar mendapat insentif sebanyak RM1 bagi setiap satu kilogram (kg) sampah yang dikutip. Alhamdulillah, para pelajar sangat teruja dan bekerja keras untuk menjayakan program ini,” tambah Zaidi.

Mereka juga sangat gembira kerana ia merupakan julung-julung kali program seumpama itu dianjurkan di tempat mereka.

Hasil gotong-royong berkenaan, sebanyak 600kg sampah berjaya dikutip seperti botol mineral, tin minuman dan plastik.

Ketua Kejiranan Pulau Mabul, Pengiran Mubin berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada Yayasan Qaseh ZY Phyto kerana menganjurkan program yang sangat bermakna itu.

“Secara tidak langsung, ia menyuntik kesedaran dalam kalangan para pelajar ini untuk menjaga kebersihan bukan sahaja di kawasan madrasah tetapi di rumah mereka juga. Saya berterima kasih kepada rombongan ZY Phyto kerana memilih madrasah ini sebagai lokasi program.

“Saya berharap lebih banyak program seperti ini diadakan di Kampung Mabul supaya membuka mata penduduk untuk menjaga kebersihan kawasan rumah mereka,” katanya.

Sepanjang berada di Pulau Mabul, hampir keseluruhan kampung kelihatan bersih.

“Kebanyakan penduduk kampung menjaga kawasan rumah mereka dan membakar sampah yang tidak perlu.

Sumbangan

“Bagaimanapun, ada juga yang tidak berbuat demikian menyebabkan ada kawasan yang mencacatkan pandangan pengunjung,” katanya.

Gotong-royong mengutip sampah itu selesai dalam masa tiga jam.

Kembara Qaseh ZY Phyto adalah satu program amal Yayasan Qaseh ZY Phyto bagi memenuhi tanggungjawab sosialnya.

Sebelum ini, program itu telah menjelajah ke Aceh, Indonesia; Kemboja, Perth, Australia dan Sarawak.

”Lebih banyak program sedang dirangka dan kami berharap apa yang kami lakukan ini dapat membantu masyarakat dan menggembirakan mereka yang kurang berkemampuan,” kata Zaidi.

Selain program kutip sampah di Pulau Mabul, rombongan Kembara Qaseh ZY Phyto juga mengunjungi enam buah pulau untuk menyumbang bantuan makanan iaitu Pulau Sibuan, Pulau Tata Dangan, Pulau Mataking, Pulau Maiga, Pulau Timba-Timba dan Pulau Gusunggan.

Pada sebelah malam, beberapa orang penduduk telah menerima sumbangan telekung, sejadah dan makanan daripada Yayasan Qaseh ZY Phyto yang disampaikan oleh Zaidi dan Pengarah Eksekutifnya, Sharifah Ameelia Akmal.

Pulau Mabul mempunyai lebih kurang 2,500 penduduk dengan sebahagiannya berusia di bawah 14 tahun. Pekerjaan utama penduduknya ialah nelayan dan membuka perniagaan runcit.