Wiko tampil dengan View Prime
Pandangan hadapan Wiko View Prime

 

Telefon pintar dalam kategori pertengahan ini membawa beberapa perubahan menarik bagi menyesuaikan diri terhadap permintaan pengguna tempatan yang kini lebih mementingkan kualiti gambar terutamanya ketika berswafoto.

Bagi memenuhi keperluan tersebut Wiko View Prime mengetengahkan dwi-kamera hadapan untuk mereka yang inginkan foto terbaik pada harga berpatutan tanpa perlu mengeluarkan wang saku berlebihan untuk jenama lebih mahal.

Terdapat dua pilihan warna ditawarkan iaitu hitam dan 'deep bleen' setakat ini untuk View Prime manakala model View hadir dengan warna merah ceri, hitam dan 'deep bleen'.

Wiko tampil dengan View Prime
Pandangan belakang Wiko View Prime nampak kemas 

 

Reka bentuk

Pandang pertama View Prime menggunakan badan binaan logam sepenuhnya dengan rekaan rangka tungal atau 'unibody'. Paling penting telefon pintar jenama Perancis ini hadir dengan format skrin luas 18:9 bersaiz 5.7 inci.

Saiz telefon dan kualiti binaan pada keluaran kali ini nampak lebih kemas ketika digenggam dengan permukaan tidak licin langsung.

Hadir dengan berat 162 gram, View Prime selesa ketika berada di dalam poket dan tidak terlalu tebal serta mudah ketika dimasukkan atau dikeluarkan.

Pada sisi kiri telefon pintar ini, View Prime tidak meletakkan sebarang butang, hanya slot dua kad sim nano berserta kad mikro SD. Oleh itu buat mereka yang ingin gunakan dua kad sim pada satu-satu masa telefon pintar ini mempunyai ruang berbuat demikian disamping pengunaan kad mikro SD.

Sisi kanan telefon memiliki butang kuasa yang diletakkan di bahagian bawah butang suara. Kedudukan pada sebelah atas sisi kanan mudah dicapai dengan operasi sebelah tangan.

Sedikit kekurangan, View Prime masih menggunakan pengecas jenis mikro USB dan bukannya USB Jenis-C, namun ia bukanlah isu yang besar. Rekaan pada skrin hadapan luas amat menarik dengan kombinasi pandangan 2.5D, tahan lasak dan anti-cap jari.

View Prime turut dilengkapi pengimbas cap jari yang terletak pada bahagian belakang di bawah kamera utama. Pengunaan imbasan cap jari mudah dan responsif.

Wiko tampil dengan View Prime

Imej yang dirakam dengan kamera utama 16 megapiksel

 

Kamera

View Prime mempertaruhkan keupayaan kameranya untuk mereka yang gemar mengambil foto dan swafoto.Keluar kotak, telefon pintar ini dilengkapi dengan kamera utama 16 megapiksel dengan keupayaan 'auto-HDR', 'auto-Night', 'auto-Portrait Blur', Panorama dan mod Profesional.

Ia juga mampu mengambil gambar dengan resolusi tinggi berserta penstabil imej dan zum-auto ketika merakam video. Paling menarik ialah dwi-kamera hadapan dengan 20+8 megapiksel berserta cahaya flash.

Buat mereka yang gemar berswafoto, hasil gambar pasti menarik dengan beberapa mod khas tersedia dalam kamera termasuk kesan bokeh yang boleh dikawal secara terus sebelum gambar diambil.

Apabila tiga wajah dikesan, kamera hadapan secara automatik akan merakam syot 120 darjah mod luas.

Sepanjang menggunakan kamera telefon pintar ini, hasil foto dengan warna menarik mampu dihasilkan tanpa sebarang isu besar. Warna-warna pada imej nampak jelas dengan butiran seakan sama dengan gambar asal dirakam.

Pada cahaya rendah, kamera View Prime masih mampu merakam imej dengan baik meskipun terdapat sedikit gangguan.

Wiko tampil dengan View Prime

Swafoto dengan kesan bokeh menggunakan dwi-kamera 20+8 megapiksel

 

Perkakasan

Keluar kilang, Wiko View Prime dilengkapi 4 gigabait (GB) RAM, dengan ruang storan sebesar 64GB dan mampu menampung sehingga 128GB kad mikroSD serta bateri sebesar 3,000 mAh.

Sistem operasi (OS) View Prime pula dijana oleh Android Nougat 7.1.2 dengan antara muka Wiko yang baharu. Sepanjang tempoh rebiu, OS View Prime berfungsi lancar tanpa sebarang masalah. 

Rekaan antara muka nampak lebih kemas berbanding model-model Wiko terdahulu dan paparan skrin luasnya memberikan sedikit kelebihan ruang
pada kedudukan ikon-ikon.

Wiko tampil dengan View Prime
Antara muka Wiko View Prime

 

Walaupun View Prime hanya dibekalkan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 430, namun ia boleh berfungsi dengan baik dengan bantuan lapan teras 1.4 GHz, Cortex-A53 dalam telefon itu disamping GPU Adreno 308.

Pengunaan bateri pula mampu bertahan seharian untuk sekali cas penuh di malam hari dan kuasa bateri yang dibekalkan memadai buat saiz telefon
View Prime.

Setiap pembelian View Prime, pengguna akan dibekalkan bersama-sama satu unit pengecas, fon telinga, pelindung skrin dan sarung telefon.


Spesifikasi

  • Sistem Operasi | Android 7.1.2 (Nougat)
  • Pemproses | Qualcomm Snapdragon 430 MSM8937
  •                    Lapan Teras 1.4 GHz, Cortex-A53
  • GPU | Adreno 308
  • Kad Sim | 2 sim nano
  • Saiz | 5.7 inci
  • Berat | 162 gram
  • Bateri | 3,000 mAh
  • ROM | 64GB
  • RAM | 4GB
  • Bluetooh | 4.2
  • USB OTG | Dilengkapi
  • Bicu Audio | 3.5mm
  • Kamera Utama | 16 megapiksel
  • Kamera Hadapan | Dwi-kamera 20+8 megapiksel + cahaya flash
  • Stereo FM Radio | Dilengkapi