Faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan pelepasan karbon dioksida adalah disebabkan urbanisasi, penebangan hutan dalam skala besar, radiasi solar dan banyak lagi.

Rentetan itu, pemanasan global semakin dapat dirasakan dengan jelas walau di mana jua anda berada.

Selain itu, bencana alam seperti banjir kilat, kemarau, taufan dan kebakaran terbuka berlaku disebabkan pelepasan karbon dioksida yang tidak terkawal.

Berdasarkan laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), sektor perhotelan menyumbang kepada 30 peratus pelepasan karbon dioksida di seluruh dunia menerusi penggunaan tenaga berterusan pada premis.

Melihat angka tersebut sebagai sesuatu yang membimbangkan, syarikat penyelesaian teknologi maklumat pintar, SensorFlow tampil dengan solusi bagi mengurangkan masalah skala global itu.

Ditubuhkan pada tahun 2016 dan berpangkalan di Singapura, SensorFlow menawarkan peranti untuk pengurusan persekitaran bilik hotel dengan lebih cekap.

SensorFlow bukan sahaja dapat memantau dan menganalisis malah berupaya mengawal persekitaran bilik hotel secara automatik bagi mengoptimumkan kecekapan tenaga.

Secara tidak langsung, ia juga dapat mengurangkan kos operasi dalam sektor perhotelan.

Berita baiknya, solusi itu dilancarkan secara rasmi di Malaysia baru-baru ini bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida negara setelah memperoleh RM10.98 juta dalam pembiayaan Siri A daripada pelabur swasta Pierre Lorinet pada Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama SensorFlow, Saikrishnan Ranganathan berkata, pihaknya percaya usaha melindungi planet Bumi daripada masalah pelepasan karbon dioksida dapat dilakukan.

“Dengan penyelesaian automasi pintar ini, kami melihatnya sebagai satu peluang untuk bekerjasama dengan hotel-hotel di Malaysia.

“Caranya adalah dengan menyediakan penyelesaian bukan disruptif yang berpatutan bagi membolehkan para pengusaha hotel mengurus tenaga dengan lebih cekap,” ujarnya ketika ditemui Infiniti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Saikrishnan, dengan teknologi SensorFlow, pihak hotel boleh menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 30 peratus.

Peranti itu dapat mengawal penggunaan tenaga untuk bilik tetamu yang kosong secara automatik dan mengurangkan sebarang pembaziran.

Ia boleh dijayakan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) terkini yang menyokong rangkaian peranti bagi memantau persekitaran bilik hotel dalam masa nyata merangkumi suhu, kelembapan, status penginapan dan penggunaan tenaga.

Sekiranya tetamu hotel dikesan meninggalkan bilik, perisian kecerdasan buatan (AI) SensorFlow akan meningkatkan suhu bilik atau mematikan penghawa dingin secara automatik.

Data mudah akses

Selain itu, data yang dikumpul juga mudah diakses oleh pengusaha hotel menggunakan papan pemuka analitik berasaskan web, yang membolehkan kawalan dan pengurusan bilik secara jarak jauh.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kanan SensorFlow, Darren Riley memberitahu, kemasukan SensorFlow ke pasaran Malaysia adalah sejajar dengan agenda pembaharuan lestari negara.

Katanya, permintaan terhadap pertumbuhan hijau dan pembangunan mampan semakin menjadi keutamaan bagi tahun 2019 dan seterusnya.

Digabungkan pula dengan milennial yang mementingkan ekosistem yang menyumbang kepada 50 peratus daripada jumlah pelancong hari ini, penyelesaian pintar SensorFlow akan membantu memacu agenda kelestarian untuk sejumlah syarikat pelancongan dan perhotelan dilihat semakin berkembang.

“Amalan lestari adalah suatu proses berterusan. Permintaan yang semakin meningkat dan peningkatan jumlah hotel hijau menunjukkan betapa besarnya impak penyelesaian lestari.

“Ia bukan sahaja mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, malah dapat menjana penjimatan kos yang besar,” jelasnya.

Selain itu, tambah Riley, SensorFlow melihat potensi besar di Malaysia apabila lebih banyak permintaan terhadap konsep hotel hijau.

SensorFlow telah menandatangani lebih daripada 2,000 bilik di seluruh Vietnam, Thailand, Hong Kong dan Singapura.

Sebanyak 70,000 bilik kini dalam sasaran jualan yang bakal dilaksanakan di seluruh Asia tidak lama lagi.

Projek terbaharu SensorFlow menyaksikan kejayaan pemasaran penyelesaian di seluruh The Ascott Citadines, Singapura.

Selain itu, Alila Villas Uluwatu, Bali turut tersenarai dalam senarai pelanggan mereka.

Jelas Riley, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 800,000 bilik dilengkapi dengan peranti SensorFlow menjelang tahun 2020 di seluruh rantau Asia.