Peningkatan satu darjah Celsius dalam masa 100 tahun kebelakangan ini dikatakan telah menjadi punca kepada peningkatan insiden cuaca buruk di seluruh dunia, peningkatan aras laut dan kepupusan biodiversiti global.

Peningkatan tahap karbon dioksida di atmosfera telah banyak dibuktikan secara saintifik sebagai punca perubahan cuaca yang drastik itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui sasaran Matlamat Pembangunan Lestari yang digariskan pada 2015 telah memperuntukkan salah satu sasaran khusus untuk semua negara menangani isu cuaca global secara kolektif menjelang 2030.

Isu tersebut telah menarik perhatian sekumpulan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) untuk membangunkan peranti Pemantau Alam Sekitar.

Alat tersebut mampu mengukur tahap karbon dioksida yang berjaya dikurangi oleh pokok-pokok hijau.

“Tumbuhan hijau mempunyai kelebihan untuk melakukan fotosintesis. Proses tersebut membenarkan sel tumbuhan hijau untuk menukarkan tenaga daripada sinar cahaya matahari kepada tenaga kimia yang boleh digunakan untuk organisma lain termasuklah manusia.

“Proses ini menggunakan karbon dioksida dan menukarkannya kepada oksigen serta wap air,” kata Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM, Dr. Khairunnisa Hasikin ketika ditemui Infiniti di Sandbox Cafe & Co, UM baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan ketua penyelidik berkata, sifat fitrah itu telah menjadikan tumbuhan hijau sebagai antara pertahanan utama dalam banyak usaha untuk menangani peningkatan tahap karbon dioksida di atmosfera bumi.

Idea

Peranti yang dibangunkan empat orang penyelidik tersebut dilengkapi dengan penderia gas karbon dioksida, kelembapan dan modul radio bagi transmisi data.

Mengulas mengenai cetusan idea untuk menjalankan penyelidikan itu, Khairunnisa berkata, ia bermula ketika mereka bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada tahun 2018 untuk projek tanaman pokok.

“Peranti itu dibangunkan pada September tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

“Kami telah menjalankan beberapa siri ujian ke atas beberapa pokok seperti bunga tanjung, pandan dan medang kelawar,” cerita anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Menurut salah seorang penyelidik, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri, satu set sistem yang dibangunkan itu terdiri daripada dua buah peranti.

“Salah satunya bertindak sebagai pemancar dan diletakkan di lokasi yang ingin diukur, manakala sebuah lagi berfungsi sebagai penerima data serta menghubungkan sistem kepada komputer atau aplikasi khas.

“Ia akan merekodkan kesemua data yang diterima ke dalam pangkalan data yang dibangunkan,” jelasnya yang merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, UM.

Alat tersebut akan dipasang pada pokok dengan ketinggian 9 meter.

Setiap peranti pemancar mampu mengukur tahap karbon dioksida yang serap oleh tumbuhan-tumbuhan hijau dalam lingkungan 20 meter.

Potensi

Sementara itu, Pengasas My Conceptual Robotics, Darween Reza Sabri memberitahu, pembangunan peranti itu bukan sahaja membuka ruang kepada pengukuran karbon dioksida daripada tumbuhan hijau tetapi turut menjadi inisiatif kepada penyelesaian bagi menangani kesan rumah hijau global.

“Dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, analisis data raya menggunakan teknik kecerdasan buatan telah terbukti berpotensi memberi penyelesaian kepada banyak cabaran global,” jelasnya yang menjadi syarikat perunding teknologi bagi pembangunan Peranti Pemantau Alam Sekitar.

Tuturnya lagi, penggunaan sistem tersebut di taman rekreasi dan kawasan hijau di bandar contohnya, boleh memberi senario yang lebih jelas kepada pihak berkuasa tempatan mengenai impak tumbuhan hijau yang ditanam.

Pembangunan Peranti Pemantau Alam Sekitar turut dibantu oleh Ridgwan Welfred yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan, UM.

Projek penyelidikan itu turut bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di bawah kelolaan Dr. Muhammad Mokhzaini Azizan.