Makanan yang tercemar tidak selamat dimakan kerana mengandungi bahan pathogen yang boleh menyebabkan penyakit pada manusia.

Justeru, sekumpulan lima orang mahasiswa dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub mencipta sebuah tudung saji berinovasi yang dinamakan sebagai Food Heater.

Menurut penyelia projek itu, Mohd Rozaimy Ridzuan, Food Heater tersebut bukan sahaja bertindak sebagai tudung saji biasa tetapi berfungsi untuk memanaskan makanan yang diletakkan di dalamnya.

“Food Heater ini dicipta daripada beberapa bahan yang mudah didapati dan tidak menelan kos yang tinggi seperti tudung saji biasa, lampu serta lapisan kertas timah.

“Bagaimanapun, lampu yang terdapat di dalam tudung saji itu mampu untuk memanaskan makanan dan amat berguna terutamanya bagi para mahasiswa semasa bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, ketua projek, Muhammad Shakur Shazwan Mohd Syukri berkata, produk tersebut telah diuji dan didapati berkesan untuk memanaskan makanan serta menghindarkan serangga-serangga perosak.

“Kami telah melakukan ujian menggunakan beberapa jenis makanan seperti bubur, sup dan martabak.

“Makanan itu bukan sahaja tahan panas tetapi tidak dihurungi semut,” tambahnya.

Produk itu telah dipertandingkan pada Breakthrough Invention, Innovation and Design Exhibition (BiiDE) 2018 di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub dan berjaya mendapat pingat emas serta anugerah Best of the Best bagi kategori B (Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam/Institusi Pengajian Tinggi Swasta/Kolej/Matrikulasi/Politeknik).