Anak jati kelahiran Banting, Selangor itu sebelum ini giat menjalani program-program kecergasan yang dianjurkan di sekitar ibu kota.

Antara aktiviti kegemaran pegawai di salah sebuah sektor swasta itu ialah senaman gaya bebas, larian termasuk angkat berat.

Tidak dinafikan, tubuhnya ketika itu sememangnya cukup sasa, berotot dan cergas hasil senaman konsisten selama lebih tiga tahun.

Bagaimanapun, ekoran dihimpit kekangan masa dan jadual kerja yang padat, segala yang dikecapinya terus hilang begitu sahaja.

Jelasnya, keadaan bertambah parah selepas berat badannya kini meningkat kepada 
108 kilogram (kg) berbanding dulu hanya dalam lingkungan 70kg.

“Disebabkan berat badan yang bertambah, stamina saya semakin berkurangan sehingga kebanyakan aktiviti kecergasan yang dilakukan tidak begitu menyeronokkan.

“Malah diakui, kini saya juga tidak segagah dahulu untuk mengangkat bebanan dan berasa cepat letih.

“Saya pernah cuba kembali bersenam di gimnasium berdekatan, namun tekad dan keazaman itu seperti rapuh hinggakan ia cuma bertahan hanya seminggu,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di ibu kota baru-baru ini.

Boleh dikatakan, pemuda itu hampir berputus asa terhadap dirinya untuk kembali cergas.

Sehinggalah baru-baru ini seorang kenalan memperkenalkan kepadanya mengenai laman web dan aplikasi langganan kecergasan terbesar dunia, ClassPass.

Pada mulanya Umar skeptikal untuk mencuba aplikasi itu kerana sebelum ini dia juga pernah membuat langganan kelas di studio sekitar Kuala Lumpur tetapi tidak pernah dimanfaatkan sebaiknya.

Namun, setelah melihat kelebihan dan mencuba sendiri keahlian ClassPass yang percuma selama dua minggu untuk ahli baharu, Umar akui dia cukup tertarik dengan konsep itu.

Selain dapat mencuba rejim kecergasan baharu, Umar juga boleh bersenam di studio kecergasan berdekatan pejabat atau rumahnya menerusi tempahan pada hujung jari.

Lebih menarik lagi, dia tidak terikat dengan itinerari di sesebuah studio dan tempahan kelas itu boleh dilakukan mengikut fleksibiliti jadual hariannya.

Kata Umar, ia merupakan suatu pendekatan menarik yang membolehkannya kembali menjalani aktiviti senaman fizikal.

Masalah

ClassPass diasaskan oleh Payal Kadakia bersama Mary Biggins pada tahun 2013 di New York, Amerika Syarikat.

Pada asalnya, ia dilancarkan bagi menyelesaikan dua masalah besar dalam industri kecergasan iaitu kebosanan pengguna dan pembaziran tempahan oleh studio.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, ClassPass dibangunkan sebagai suatu jalan untuk konsumer mendapatkan pas tanpa had di studio atau pusat kecergasan pada satu kadar rata.

Selain itu, pengusaha studio kecergasan juga tidak perlu risau tentang kerugian sekiranya tiada tempahan di premis mereka kerana ClassPass membantu mengisi kelompongan tersebut dengan menarik para pelanggan.

Hasilnya, studio kecergasan tempatan dapat menarik pelanggan baharu dengan menawarkan perkhidmatan yang pelbagai.

Ketua Pegawai Eksekutif ClassPass, Fritz Lanman berkata, Malaysia merupakan destinasi pilihan untuk mengembangkan empayar ClassPass kerana permintaan yang tinggi dalam kalangan pencinta kecergasan.

“Sejak kebelakangan ini, kami boleh lihat segmen kecergasan di Kuala Lumpur semakin berkembang pesat.

“Dengan pengenalan ClassPass untuk masyarakat tempatan, pencinta kecergasan dapat menikmati kebebasan dan variasi perkhidmatan langganan yang ditawarkan.

“Inilah masa terbaik untuk membawa ClassPass ke salah sebuah bandar metropolitan yang berdaya saing,” ujarnya ketika melancarkan ClassPass Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Lanman, ClassPass kini semakin berkembang ke Asia rentetan kejayaan pembukaan cawangan baharu di Singapura pada Ogos lalu.

Melihat sambutan yang diterima cukup memberangsangkan, ClassPass kini diperkenalkan di Hong Kong dan Malaysia.

Lanman berkata, dia begitu teruja kerana dapat menyuntik trend baharu ke dalam segmen kecergasan di rantau Asia.

Terdapat dua jenis langganan yang ditawarkan ClassPass pada harga antara RM99 dan RM249 sebulan.

Beza kedua-dua pakej itu ialah pada kredit yang terdapat dalam pakej berkenaan.

Sebanyak 35 kredit layak bagi pakej pertama manakala 150 kredit bagi pakej kedua.

Kredit tersebut digunakan sebagai transaksi untuk kelas kecergasan yang mana kebiasaannya sekitar lima kredit bagi setiap sesi.

Tempoh percubaan

Menariknya, ClassPass turut menyediakan tempoh percubaan selama dua minggu dengan anggaran lima hingga lapan kelas yang boleh disertai.

Setelah langganan dilakukan, pengguna boleh merancang kelas kecergasan pada aplikasi berkenaan.

Antara aktiviti kecergasan yang ditawarkan ClassPass ialah seperti yoga, pilates, tinju dan berbasikal.

Kesemua variasi aktiviti berkenaan boleh disertai oleh pengguna bergantung kepada jumlah kredit.

Sehingga kini, ClassPass terdapat di kira-kira 136 studio kecergasan sekitar Kuala Lumpur.

Antaranya Be Urban Wellness, Epique Fitness, FLYPROJECT, FIRE Fitness, HIIT2fit dan Hot Yo Studio.

Malah, sekiranya anda sedang melancong ke luar negara, anda juga boleh menjalani aktiviti kecergasan di sana selagi terdapat studio yang bekerjasama dengan ClassPass.

Hal ini kerana terdapat lebih 12,000 studio kecergasan yang bekerjasama dengan ClassPass di seluruh dunia.

Sejak dilancarkan di peringkat global pada tahun 2013, kira-kira 55 juta tempahan telah dibuat menerusi platform itu.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Rantau Asia Tenggara dan Hong Kong, Christine Ng berkata, pihaknya teruja membawakan perkhidmatan langganan kecergasan yang boleh dinikmati di pelbagai lokasi seluruh dunia.

“ClassPass merupakan aplikasi pertama yang memperkenalkan model langganan kecergasan di dunia.

“Kami sentiasa mencari cara baharu untuk mengangkat masa depan segmen kecergasan menerusi pengalaman penuh fleksibel dan unik.

“Sempena pelancaran ClassPass di Malaysia baru-baru ini, kami tidak sabar untuk menawarkan pengalaman tersebut bergantung kepada keinginan peminat kecergasan ibu kota,” ujarnya.