Dunia tanpa wang merujuk kepada dompet digital atau e-Dompet iaitu sebuah peranti elektronik yang membolehkan seseorang membuat urus niaga tanpa tunai. E-Dompet pada dasarnya adalah aplikasi yang ada dalam peranti mudah alih pengguna.

Ia membolehkan pelanggan membeli barangan tanpa membawa tunai untuk membayar barang dan perkhidmatan selagi pedagang menerima kaedah pembayaran tersebut.

Berbeza dengan pembayaran kad kredit atau kad debit, walaupun seseorang itu tidak perlu membawa tunai namun kad berkenaan tetap perlu dibawa bagi membuat pembayaran.

E-dompet pula hanya memerlukan pengguna membawa peranti seperti tablet dan telefon pintar. Malah, ia juga adalah lokasi yang selamat untuk menyimpan lebih daripada satu jenis mata wang.

Pendaftaran

Menurut The Economic Times, e-Dompet adalah sejenis akaun prabayar yang membolehkan pengguna menyimpan wang untuk sebarang transaksi dalam talian.

Caranya, pengguna perlu menubuhkan akaun e-Dompet dan memuat naik perisian pada peranti dan memasukkan maklumat yang diperlukan.

Kemudian, pengguna harus memasukkan sejumlah wang yang dikehendaki ke dalam akaun e-Dompet. Jika tidak mencukupi, wang berkenaan boleh ditambah dari semasa ke semasa.

Sebelum melakukan transaksi pembayaran, pembeli mesti melakukan pendaftaran dan melengkapkan proses mengisi maklumat yang terdiri daripada alamat penghantaran, kaedah pembayaran termasuk nombor kad kredit, tarikh luput dan nombor keselamatan.

Untuk mengaktifkan e-Dompet, pengguna perlu memasukkan kata laluan. Sebaik sahaja pembayaran dalam talian dibuat, pengguna tidak perlu mengisi borang pesanan di mana-mana laman web lain kerana maklumat tersebut disimpan dalam pangkalan data dan dikemas kini secara automatik.

Di dalam e-Dompet mempunyai dua komponen iaitu perisian dan maklumat. Komponen perisian akan menyimpan maklumat peribadi manakala komponen maklumat akan menyimpan pangkalan data yang disediakan oleh pengguna termasuk nama, alamat penghantaran, kaedah pembayaran, jumlah yang perlu dibayar, butiran kredit atau kad debit.

Data atau maklumat pembeli dirahsiakan dan disimpan dengan selamat.

Menurut laman web World Pay, biasanya dompet digital disimpan oleh pelanggan kerana semasa transaksi dilakukan kebanyakan laman web e-dagang memerlukan nombor sekuriti, nama pengguna, kata laluan, e-mel atau pengesahan telefon bimbit yang hanya boleh diakses oleh pemiliknya.

Berkembang

Pembayaran menerusi peranti pintar atau konsep dompet digital tidak hanya berkembang untuk kegunaan bayaran produk atau perkhidmatan semata-mata, ia juga boleh melaksanakan kemudahan pemindahan antara bank ke akaun dan sebaliknya.

Penggunaan sistem pembayaran mudah alih sedemikian dialu-alukan sebagai sebahagian daripada langkah global ke arah masyarakat tanpa tunai. Kebanyakan bank pusat semakin menolak untuk menyimpan wang tunai dalam edaran kerana kosnya yang tinggi.

Malah, pendigitalan wang juga lebih selamat dan lebih murah untuk mengurus dan mempromosikan kemasukan kewangan dan mengurangkan rasuah. E-Dompet juga sesuai untuk transaksi kecil atau mikro.

Dompet digital kini sedang digunakan di kebanyakan negara termasuk di Asia. Satu daripada lima pengguna di Asia kini menggunakan e-Dompet yang mewakili peningkatan dua kali ganda berbanding dua tahun lalu.

Kaji selidik

Satu kaji selidik yang dikendalikan oleh kad kredit mudah alih MasterCard menunjukkan di China, 45 peratus penduduknya sudah menggunakan e-Dompet manakala India (36.7 peratus) dan Singapura (23.3 peratus).

Di Malaysia, perkhidmatan e-Dompet yang tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 ialah Alipay, Visa Checkout, Masterpass, CIMB Pay dan Samsung Pay.

Kini, pemain-pemain utama gajet pintar mula sedar akan potensi trend tersebut dan mula membina aplikasi bagi menyokongnya.

Mengambil contoh aplikasi Samsung Pay yang diperkenalkan oleh Samsung, ia begitu mudah untuk digunakan. Samsung Pay turut disokong oleh syarikat-syarikat perbankan di Malaysia antaranya adalah Citibank Berhad.

Ketua Bahagian Pinjaman dan Kad Pengguna, Citibank Berhad, Federico Grigera berkata, terdapat peningkatan dalam jumlah pengguna mereka sejak aplikasi tersebut diperkenalkan Februari 2017.

Jelasnya, ia berhubung kempen dan tawaran yang diberikan oleh Citibank Samsung Pay secara berterusan melebihi apa yang ditawarkan kepada pemegang kad biasa.

“Pada awal 30 hari pelancarannya, kami bekerjasama dengan Samsung dengan menawarkan aksesori Gear S3 terbaharu dan baucar Sakae Sushi kepada pelanggan yang mencatatkan transaksi Samsung Pay tertinggi setiap hari.

“Usaha ini menunjukkan betapa seriusnya kami dalam mempromosi pembayaran menerusi dunia digital kepada pelanggan kami,” katanya.

Terbaharu, Citibank turut melancarkan pertandingan Citi Tap&Win bagi pengguna aplikasi Samsung Pay dengan menawarkan hadiah dengan lebih pantas iaitu baucar maya Golden Screen Cinemas.

Digodam

Selain itu, pengguna aplikasi Samsung Pay menerusi Citibank akan menerima pelbagai kelebihan menerusi kad yang dipegang seperti tawaran menarik daripada rakan kongsi Samsung Pay iaitu tawaran diskaun 15 peratus oleh gedung pakaian H&M.

Walau bagaimanapun, menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Komputer, Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Informasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir, tiada sistem yang sempurna 100 peratus.

Ujarnya, aplikasi e-Dompet adalah sama seperti mana-mana aplikasi transaksi berkaitan pembayaran atau perbankan dalam talian sedia ada.

“Perbankan dalam talian, pembayaran menerusi kad kredit atau debit, kesemuanya memiliki idea yang sama iaitu tidak lagi memerlukan tunai dibawa ke mana-mana.

“Menerusi aplikasi e-Dompet, kita hanya perlu membuka paparan aplikasi, imbas cap jari atau masukkan kata laluan, dekatkan gajet kepada mesin pengimbas di kaunter dan transaksi selesai,” katanya.

Aplikasi menggunakan telefon pintar juga boleh digodam penggunaannya seperti menggunakan Wi-Fi awam untuk apa-apa jua transaksi pembelian.

Penggunaan Wi-Fi di kawasan awam membolehkan penggodam mencuri kata laluan dan menggunakannya untuk kepentingan mereka.

Walau bagaimanapun, Nur Izura mengakui, biarpun mempunyai kekurangan dan kebaikan, teknologi tersebut akan menjadi suatu keperluan pada masa akan datang.

“Kita perhatikan penggunaan telefon pintar yang begitu rancak masa kini yang tiada siapa pun dapat bayangkan ketika mula-mula telefon bimbit dicipta,” ujarnya.

e-Dompet membolehkan pelanggan membeli barangan tanpa 
membawa tunai untuk membayar barang dan perkhidmatan selagi pedagang menerima kaedah pembayaran tersebut.