Sejak tahun 1960, Tentera Laut Amerika Syarikat telah melatih ikan lumba-lumba untuk mengesan lombong dan menyelamatkan penyelam.

Rusia juga dipercayai melatih haiwan laut untuk tujuan yang sama termasuklah pengintipan.

Terbaru, Agensi Penyelidikan Projek Lanjutan Pertahanan Amerika Syarikat (Darpa) telah menjalankan projek untuk menjadikan haiwan akuatik sebagai sensor pergerakan di dalam laut.

Projek tersebut bertujuan meningkatkan kecerdasan ketenteraan dengan menggunakan haiwan akuatik daripada pelbagai saiz ikan sehingga organisma kecil sebagai sistem amaran di dasar laut.

“Kami cuba untuk memahami bagaimana organisma ini boleh memberitahu sekiranya terdapat pergerakan semua jenis kenderaan di dalam lautan.

“Makhluk hidup akan memberi tindak balas dengan pelbagai cara sekiranya melihat kehadiran objek tersebut,” kata Pengurus Program bagi Projek Sensor Hidupan Akuatik (Pals), Dr. Lori Adornato.

Tambahnya, ada sesetengah haiwan marin akan mengeluarkan sinaran apabila ia merasakan terganggu dan inilah salah satu fokus utama teras penyelidikan Darpa.

Pasukan penyelidik itu berharap untuk mendapatkan gambaran lebih terperinci tentang pergerakan kapal selam dan dron di dasar laut.

“Kami ingin membezakan tindak balas organisma terhadap gangguan alam semula jadi dan objek buatan manusia.

“Justeru, kami akan menggunakan teknik pemprosesan canggih termasuk pembelajaran mesin untuk menganalisis dan mengenal pasti ciri yang membezakan itu,” ujar Naib Presiden Program Lanjutan, Keupayaan Baru, Vern Boyle.

Pasukan itu mengkaji tingkah laku hidupan laut tersebut termasuklah ikan kerapu goliath yang boleh membesar sehingga 2.5 meter panjang.

Haiwan tersebut akan mengeluarkan bunyi yang kuat apabila didekati oleh penyelam dan juga menunjukkan rasa ingin tahu apabila objek baharu memasuki habitatnya.

“Teknologi pengawasan dan pemantauan akan diintegrasikan ke dalam habitat ikan kerapu tersebut.

“Kajian ini sangat penting bagi memberi amaran kepada pihak berkuasa tentang kehadiran ancaman musuh atau penceroboh di luar landskap visual dan akustik biasa,” terang penyiasat utama dari Universiti Florida Atlantic, Amerika Syarikat (AS) Laurent Chérubin.

Sementara itu, rakan projek dari Raytheon BBN Technologies, Alison Laferriere menjelaskan, banyak spesies ikan akan membuat bunyi untuk berkomunikasi atau sebagai tindak balas kepada ancaman laut.

“Sekiranya terdapat kenderaan yang memasuki kawasan ikan tersebut, kita akan dapat mengesannya menerusi perubahan tingkah laku haiwan itu.

“Kami telah melakukan kajian ini di kepulauan Virgin, AS dan data tersebut sedang dianalisa,” ujarnya.

Aset ketenteraan

Tutur Laferriere lagi, pihaknya yakin projek ini akan menjadi aset ketenteraan yang penting pada masa hadapan.

Seorang lagi penyelidik, Dr. Helen Bailey berkata, mereka akan menanam sensor ke dalam ikan supaya dapat mengesan pergerakan di dasar laut.

Bailey berkata, projek sistem amaran yang dibangunkan oleh pasukan itu dapat menyediakan kos sangat rendah berbanding sistem sedia ada.

“Bayangkan sistem yang diguna pakai sekarang menelan kos yang sangat tinggi untuk perbelanjaan kapal terbang, kapal laut, peralatan hidrofon dan pelbagai peralatan pemantauan.

“Sedangkan sistem menggunakan haiwan akuatik ini mempunyai gambaran yang lebih luas dan menjimatkan kos,” ulasnya.

Sebagai contoh udang snapping yang ditemui di kawasan air cetek di seluruh dunia di latitud kurang daripada 40 darjah akan mengeluarkan bunyi jika ada objek asing mendekati habitatnya.

Seperti sistem sonar konvensional, tindak balas udang tersebut dapat memberi gambaran bentuk, saiz dan jarak objek di dalam laut.

“Ini penting kerana anda tidak mahu sistem pengawasan dikesan oleh musuh atau mengganggu sensor.

“Ia sistem pasif tetapi dapat mengesan walaupun kenderaan paling senyap,” tutur Bailey lagi.