Ia memainkan peranan sebagai penampan dengan mengurangkan kesan gelombang ombak dari arah laut selain agen penting memerangkap enapan iaitu satu proses penambakan secara semula jadi akibat aktiviti pasang surut air laut.

Apa yang uniknya mengenai hutan paya bakau ini ialah ia hidup di antara laut dan darat serta kaya dengan biodiversiti.

Pensyarah Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Rozainah Mohamad Zakaria berkata, hutan paya bakau di persisiran pantai merupakan lokasi penting yang mempunyai kepelbagaian hidupan.

“Masyarakat perlu sedar dan tahu mengenai kepentingan paya bakau yang biasanya wujud di persisiran pantai. Ia juga mampu melindungi infrastruktur kampung-kampung daripada serangan angin kuat.

“Paya bakau juga penting kepada kehidupan marin seperti ikan untuk bertelur dan tempat anak-anak ikan berlindung sebelum masuk ke laut. Justeru, banyak keistimewaan yang boleh dimanfaatkan daripada paya bakau ini khususnya kepada ekosistem alam sekitar,” katanya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Tambah Rozainah, kewujudan paya bakau di sesebuah lokasi juga sangat penting sebagai pusat takungan karbon dalam memelihara alam sekitar.

Ia mampu memulihkan tahap pencemaran udara di kawasan sekeliling bergantung kepada keluasan hutan paya bakau itu sendiri.

“Lagi luas hutan paya bakau itu, lagi banyak keupayaannya untuk menakung karbon yang mencemarkan alam sekitar. Ini menunjukkan betapa pentingnya hutan paya bakau bukan sahaja untuk ekosistem alam sekitar bahkan untuk kehidupan manusia,” ujarnya.

Menerangkan keunikan hutan paya bakau di Malaysia, Rozainah berkata, hutan paya bakau di negara ini boleh mencapai tahap matang sehingga lebih 70 tahun selain memiliki hampir 100 spesies tumbuhan paya bakau yang tidak terdapat di negara lain.

“Hutan paya bakau negara kita turut dijadikan bahan rujukan ramai pengkaji antarabangsa untuk melakukan kajian berhubung spesies flora dan fauna hutan bakau kerana usianya boleh dijadikan rujukan konsisten oleh mereka,” katanya.

Semakin berkurangan

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, penanaman anak-anak pokok bakau di kawasan tanah berlumpur secara berterusan mampu mengatasi masalah kepupusan hutan paya bakau di negara ini.

Jelasnya, populasi paya bakau negara pada masa kini semakin berkurangan dan hal demikian akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada ekosistem kehidupan marin, bahkan juga kepada manusia.

“Sehingga kini, jumlah keluasan hutan paya bakau negara hanya sekitar dua peratus daripada jumlah keluasan tanah negara iaitu sebesar 537,686 hektar dengan sebanyak 25,000 hektar hutan paya bakau telah musnah dalam tempoh 10 hingga 12 tahun, saiz itu lebih besar daripada bandar raya Kuala Lumpur.

“Sekiranya tidak dijaga dengan baik, banyak kesan buruk yang boleh kita hadapi. Jika ada ombak mahupun tsunami, ia akan mengancam penduduk setempat selain menjejaskan kehidupan marin yang menjadikan paya bakau sebagai habitat semula jadi,” katanya.

Tutur Hafizudin, ramai yang tidak tahu bahawa hidupan paya bakau juga boleh dijadikan sumber makanan kepada manusia.

“Ramai antara kita tidak tahu bahawa paya bakau spesies berembang boleh dibuat jem roti, manakala spesies api-api boleh dijadikan bubur atau kuih lepat dan spesies jerudu boleh dijadikan teh,” katanya.

Ujarnya, masyarakat haruslah berganding bahu memelihara kehidupan hutan paya bakau agar tidak pupus dan hilang begitu sahaja dengan mengawal aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan paya bakau.

Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan hutan paya bakau, sebuah festival bersempena sambutan Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia telah diadakan pada 27 Julai lalu di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Nipah, Pulau Indah, Klang, Selangor.

Festival itu merupakan inisiatif NetComFish iaitu satu kumpulan penyelidik UM dengan kerjasama Plymouth Marine Laboratory dari United Kingdom.

Dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Raffae Ahmad, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bagi mendalami pengetahuan mengenai hutan paya bakau khususnya kepada penduduk setempat dan pelajar sekolah.

Kata Pengurus Projek Festival, Siti Saleha Musiran, festival ini turut mengadakan sesi sembang santai bersama nelayan dan penduduk setempat bagi berkongsi ilmu mengenai hutan paya bakau serta membincangkan masalah-masalah yang mengancam hidupan paya bakau di kawasan tersebut.

Menurutnya, hutan paya bakau di Klang meliputi 70 peratus daripada keseluruhan hutan paya bakau di Selangor.

Siti Saleha menjelaskan bahawa ancaman terbesar yang membawa kepada kerosakan mahupun kepupusan paya bakau adalah disebabkan oleh pencemaran, pembukaan ternakan udang haram dan penebangan paya bakau secara haram.

“Oleh itu, festival ini dilihat sebagai acara penting untuk memupuk kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan kelangsungan hidup hutan paya bakau di Selangor.

“Hal ini kerana kawasan tersebut amat penting bagi menjamin perkembangan ekonomi dan pada masa yang sama bagi menjaga kesejahteraan hidup penduduk setempat,” ujarnya.