Selain menjadi tempat untuk bermandi-manda, ia juga merupakan lokasi yang mampu memberikan ketenangan khususnya buat warga kota.

Malangnya, destinasi tersebut yang kaya dengan keindahan flora dan fauna kini terancam dek masalah pencemaran plastik.

Justeru, Nestlé Malaysia meneruskan usahanya mengutip sampah plastik dengan aktiviti pembersihan pantai di seluruh negara.

Program itu telah berjaya mengutip lebih 5.6 tan sampah di sembilan lokasi sekitar Malaysia.

Kerjasama itu dilaksanakan dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang disertai lebih 600 kakitangan Nestlé.

Berpacukan kejayaan aktiviti membersih pantai pada tahun-tahun lepas dan sebagai memperingati Hari Lautan Sedunia, Nestlé Malaysia meluaskan usahanya ke seluruh negara pada tahun ini.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, inisiatif pembersihan pantai itu dilaksanakan bagi menangani masalah sisa pembuangan plastik sekali gus memelihara keindahan alam semula jadi.

“Nestlé komited untuk membantu menangani masalah sisa buangan plastik dan kami berhasrat untuk menjadikan pembungkusan kami 100 peratus boleh dikitar semula atau diguna semula menjelang tahun 2025.

“Kami sentiasa mencari cara inovatif untuk mempelopori penggunaan bahan alternatif, membina masa depan tanpa sisa buangan dan mengubah tingkah laku serta membentuk tabiat baharu,” ujarnya ketika ditemui Infiniti di Pantai Remis, Jeram, Selangor baru-baru ini.

Kongsi Aranols, setakat ini, 65 peratus daripada pembungkusan produk Nestlé sudah direka bentuk untuk dikitar semula.

Malah, Nestlé juga komited untuk menghentikan penggunaan bahan plastik sekali guna di semua tempat kerja Nestlé menjelang bulan September 2019.

“Usaha kami membersihkan pantai pada hari ini adalah satu daripada pelbagai inisiatif yang sedang kami lakukan demi menjadikan Bumi lebih terpelihara.

“Ia selaras dengan visi kami untuk membina masa depan tanpa sampah,” ujarnya lagi.

Usaha membersihkan pantai itu adalah program di bawah inisiatif sukarelawan kakitangan global Nestlé’ yang baru dilancarkan iaitu Nestlé Cares.

Dahulunya, ia dikenali sebagai Nestlé ROCKS di Malaysia.

Nestlé Cares berusaha menyemai budaya dan semangat sukarelawan dalam kalangan kakitangan di pelbagai pasaran Nestlé.

Aktiviti pembersihan pantai telah dijalankan di sembilan lokasi di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak seperti Pantai Morib, Banting, Selangor; Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri Sembilan; Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang; Pantai Sepat, Kuantan, Pahang; Pulau Perhentian, Terengganu; Pantai Batu Layar, Johor; Pantai Santubong, Sarawak dan Pantai Kudat, Sabah.

Jumlah keseluruhan sampah yang dikumpul di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini ialah 430 kilogram.

Sementara itu, Presiden MNS, Prof. Dr. Ahmad Ismail menambah, usaha kecil itu sekiranya dilakukan secara konsisten dapat membawa perubahan yang sangat besar.

“Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Nestlé, salah sebuah syarikat multinasional terbesar di Malaysia, untuk menjayakan program ini.

“Inilah yang boleh dikatakan kepimpinan melalui teladan, menunjukkan kepada syarikat lain dan masyarakat bagaimana mereka boleh memainkan peranan untuk alam sekitar.

“Usaha ini juga mendidik orang ramai tentang pelupusan sisa plastik yang tidak sempurna boleh mencemari dan mengancam kehidupan laut,” ujarnya.