Hal ini kerana keupayaan grafik dan pemprosesan yang semakin bertambah baik saban hari menjadikan peranti berkenaan boleh memainkan permainan video dengan cukup kemas.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, terdapat sebilangan permainan video pada telefon pintar memiliki kualiti setaraf dengan permainan konsol lain.

Maka tidak hairanlah, terdapat sebilangan pengeluar telefon pintar berani mempertaruhkan produk yang mengkhususkan segmen tersebut termasuklah Black Shark Global.

Syarikat yang berpangkalan dari China itu melancarkan telefon pintar khusus buat permainan mudah alih iaitu Black Shark 2 di Beijing, China pada penghujung Mac lalu.

Sejurus pelancarannya, Intelligent Earnings Sdn. Bhd. Malaysia bekerjasama dengan Black Shark Global untuk membawakan telefon pintar berkenaan ke pasaran Malaysia.

Menurut Presiden Black Shark Global, David Li, Black Shark 2 dibina bagi memenuhi ekosistem permainan mudah alih dengan menawarkan kekuatan dari segi perkakasan, perisian dan perkhidmatan.

Katanya, menerusi pelbagai inovasi yang diketengahkan pada peranti berkenaan, ia semestinya berupaya memberikan pengalaman permainan yang tiada tandingannya buat pemain permainan video tegar.

“Black Shark 2 adalah sebuah peranti permainan mudah alih terbaik berdasarkan lima aspek utama yang kami ketengahkan.

“Bagi menjadikan peranti ini lebih baik berbanding pesaing lain, kami memberikan penekanan pada prestasi permainan, kawalan permainan, pemandangan, pendengaran dan getaran,” ujarnya kepada Infiniti di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Prestasi

Bagi memastikan prestasi permainan tidak tergugat, Black Shark 2 dilengkapi cip pemprosesan terbaharu Qualcomm Snapdragon 855 dengan RAM sehingga 12GB serta memori sebesar 256GB.

Selain itu, ia hadir dengan sistem penyejukan cecair sentuhan langsung 3.0 dan merupakan satu-satunya sistem penyejukan di dunia dengan papan berlapis.

Secara tidak langsung, ia membenarkan pelepasan haba secara efektif dan mampu menurunkan sehingga 14 darjah Celsius lebih rendah berbanding kebanyakan CPU yang digunakan dalam industri.

Black Shark 2 disokong pula dengan Mod Ludicrous yang berupaya melepaskan semua kuasa CPU bagi menyokong prestasi permainan tanpa menggugat nisbah bingkai untuk permainan jangka masa panjang.

Menariknya, peranti berkenaan turut menyokong pengecasan pantas yang mampu mengecas sehingga 27 wattan.

Lima minit pengecasan dapat memainkan permainan mudah alih sehingga 30 minit, malah pemain juga boleh mengecas sambil bermain tanpa sebarang masalah.

Dari segi daya tahan bateri pula, Black Shark 2 hadir menawarkan 4,000 mAh yang boleh menahan sesi permainan sehingga lebih lima jam tanpa henti.

Selain itu, Black Shark 2 dilengkapi antena pintar jenis X dan dua lagi antena sampingan.

Uniknya, antena berkenaan menjanjikan jaringan seluas 360 darjah tanpa mengira orientasi telefon.

“Black Shark 2 menampikan skrin sentuh latensi terendah di dunia.

“Kelajuan tindak balas pada skrin peranti ini sepantas 43.5 milisaat (ms) berbanding iPhone iaitu 45ms manakala Samsung S10 iaitu 60ms,” jelasnya.

Sistem bunyi

Dari segi pemandangan, Black Shark 2 dilengkapi skrin AMOLED 6.39 inci dengan teknologi True Clarity, TrueView dan HDR.

Sistem bunyi peranti berkenaan pula dikuasakan dwipembesar suara 25 peratus lebih besar daripada telefon pintar biasa selain tiga mikrofon permainan yang boleh disesuaikan.

Menariknya, Black Shark 2 menerusi Mod Hos pula membolehkan sambungan kabel HDMI ke skrin besar bagi menawarkan pengalaman bermain lebih mengasyikkan.

Pengurus Negara Gameloft Malaysia dan Singapura, Ryan Leong teruja melihat keupayaan perkakasan peranti berkenaan.

“Kami yakin, keupayaan yang dimiliki Black Shark 2 ini mampu memainkan sejumlah permainan mudah alih bergrafik tinggi dengan lancar.

“Gameloft berharap dapat menjalin kerjasama dengan Black Shark Global untuk tempoh waktu yang lebih panjang bagi memastikan ekosistem permainan mudah alih dapat berkembang dengan jayanya,” ujarnya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Kanan Qualcomm International, Dominikus Susanto menyifatkan, Black Shark 2 merupakan antara peranti paling berkuasa bagi tahun 2019.

“Menerusi pemprosesan Qualcomm Snapdragon 855, ia bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi malah efisien dengan mampu melonjakkan keupayaan CPU sehingga 45 peratus serta pemprosesan grafik sebanyak 20 peratus.

“Memainkan permainan bergrafik tinggi dengan nisbah bingkai yang lebih kompleks tidak menjadi sebarang masalah buat Black Shark 2,” jelasnya.