Bagaimanapun, Siti Nur Shazana Othman, 26, tidak menyedari perbezaan itu kerana asyik membasuh kereta di laman rumahnya.

Seingatnya, kali terakhir dia melihat jam di dinding rumah, waktu menunjukkan pukul 7.15 malam.

Jurutera proses yang tinggal di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan itu tiba-tiba kehairanan melihat suasana waktu maghrib yang masih cerah.

Apabila mendongak ke langit, dia melihat bulan bersaiz sangat besar.

“Saya terpegun melihat bulan berwarna putih kekuningan berada tegak di hadapan saya. Ia merupakan bulan penuh yang menyebabkan langit sangat terang walaupun telah masuk waktu maghrib.

“Saya masuk ke rumah dan keluar semula kira-kira pukul 8 malam. Ketika itu, langit sudah gelap dengan bulan separuh samar-samar berwarna merah,” katanya yang tidak mengetahui bahawa fenomena pada malam itu adalah gerhana bulan penuh yang turut digelar sebagai Super Blue Blood Moon.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Planetarium Negara, Mohd. Zamri Shah Mastor menjelaskan, kejadian luar biasa tersebut merupakan sesuatu yang unik kerana ia merangkumi tiga fenomena bulan yang berlaku serentak.

Bulan lebih cerah

Pada dasarnya, Super Blue Blood Moon bermaksud fenomena gerhana bulan penuh bagi bulan purnama kedua dalam tempoh sebulan.

Bulan kelihatan lebih besar daripada biasa dan berwarna kemerah-merahan.

Kali terakhir ia direkodkan berlaku pada 31 Mac 1866 iaitu 152 tahun lalu.

Bagaimanapun, pada 1866, fenomena ini tidak kelihatan dari Malaysia dan hanya dapat dilihat di beberapa bahagian dunia termasuk benua Amerika Syarikat, Afrika dan Eropah.

Menurut Mohd. Zamri, Super Blue Blood Moon merangkumi Supermoon yang terjadi apabila bulan berada pada jarak 360,000 kilometer (km) dari Bumi.

“Jarak tersebut merupakan antara jarak paling hampir bulan dengan Bumi menyebabkan bulan kelihatan 14 peratus lebih besar berbanding ketika berada paling jauh dari Bumi.

“Selain itu, ia juga 30 peratus lebih cerah berbanding ketika berada pada jarak paling jauh dari Bumi iaitu 406,700km,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, fenomena seterusnya ialah bulan purnama kedua berlaku dalam masa sebulan.

“Purnama pertama berlaku pada 2 Januari diikuti 31 Januari 2018 menjadikan bulan purnama kedua digelar sebagai Bluemoon.

Bluemoon bukanlah bermaksud bulan berwarna biru tetapi merujuk kepada sesuatu yang jarang berlaku seperti kata pepatah Inggeris, once in a blue moon..

“Komponen ketiga pula ialah gerhana bulan penuh dikenali sebagai Bloodmoon yang berlaku apabila Matahari, Bumi dan Bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan Bulan merentasi bayangan umbra Bumi,” katanya.

Jelasnya lagi, atmosfera Bumi kemudian menyerakkan sebahagian besar cahaya merah daripada Matahari lalu menimpa bahagian gelap permukaan Bulan yang sedang mengalami gerhana.

Keadaan itulah, katanya, menyebabkan warna kemerahan pada bulan dan kelihatan seakan-akan berdarah.

Fasa gerhana bulan pada malam itu bermula pada pukul 7.48 malam dengan warna putih kekuningan dan sedikit kemerahan di bahagian yang sedang mengalami gerhana.

Ia kelihatan kemerahan sepenuhnya bermula pukul 8.51 malam dan mencapai fasa maksimum pada 9.29 malam sehingga 10.07 malam.

Muncul kembali

Gerhana bulan penuh tamat sepenuhnya pada pukul 11.11 malam.

Tambah Mohd. Zamri, fenomena serentak itu berlaku secara kebetulan dan tidak semestinya berulang semula dengan tepat dalam masa 152 tahun akan datang.

Dianggarkan, ia akan muncul kembali 10 tahun akan datang iaitu pada 31 Disember 2028.

Dalam pada itu, keunikan kejadian yang jarang-jarang berlaku itu sangat ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh ahli astronomi malah rakyat di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Antara lokasi mencerap yang menjadi tumpuan di negara ini ialah Platenium Negara; Balai Cerap Teluk Kemang, Negeri Sembilan; Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka dan Menara Tun Mustapha, Sabah.

Sementara itu di ibu kota, ribuan pengunjung berkumpul di pekarangan pintu masuk Planetarium Negara seawal 6 petang bagi menyaksikan sendiri suasana unik tersebut.

Dianggarkan lebih 4,000 orang hadir dengan kenderaan terpaksa diparkir hingga ke Muzium Polis yang terletak 400 meter dari Planetarium Negara.

Namun, matlamat pengunjung sedikit terganggu berikutan hujan sejak petang di sekitar Kuala Lumpur.

Pembentukan kelompok awan yang tebal telah menutupi bulan membuatkannya tidak kelihatan di langit sekitar kawasan tersebut.

Bagaimanapun, pengunjung tidak berputih mata apabila masih berpeluang menyaksikan siaran secara langsung penampakan gerhana itu melalui saluran televisyen digital.

Ia dibawakan secara langsung dari Balai Cerap Griffith, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dan laman sesawang Observatori Negara Langkawi.

Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari menjelaskan, pihaknya menggunakan teknologi Full Dome Digital System (FDS) bagi merealisasikan tayangan imej digital gerhana bulan kepada pengunjung yang hadir.

“Menggunakan teknologi FDS yang dipasang di kubah teater Planetarium Negara, pergerakan bulan dapat dilihat dengan lebih jelas walaupun ia tidak kelihatan.

“Bermula dari sebelum gerhana sehingga habis gerhana, pengunjung bergilir-gilir masuk ke dalam kubah dengan masa diberikan selama 30 minit bagi setiap kumpulan untuk mengambil gambar.

Minat

“Pengunjung yang tidak berkesempatan untuk masuk turut diberi penerangan secara berasingan di luar oleh petugas Planetarium Negara mengenai fenomena tersebut,” ujarnya.

Menurut Anita, kehadiran pengunjung pada malam itu adalah yang paling ramai pernah diterima oleh Planetarium Negara khususnya berkaitan aktiviti pencerapan.

Dia menyifatkan sambutan menggalakkan itu menandakan minat rakyat Malaysia untuk menyelami dunia astronomi.

Sementara itu, ribuan jemaah membanjiri Masjid Putra di Putrajaya, bagi mengerjakan solat sunat gerhana bulan atau solat sunat khusuf.

Solat sunat khusuf adalah dituntut dilakukan bagi menginsafi kekuasaan Allah dalam menjadikan segala makhluk di muka bumi ini termasuklah bulan dan bintang.

Selain Masjid Putra, ibadah tersebut turut dilaksanakan secara berjemaah di beberapa masjid dan balai cerap.

Antaranya termasuklah Masjid Durian Burung, Kuala Terengganu; Masjid Selat Melaka, Melaka dan Balai Cerap Persatuan Astronomi Falak Amatur Negeri Kelantan, Kampung Kubang Rawa di Kota Bharu.