Sejak kematian Sudan, satu-satunya badak sumbu putih utara jantan di dunia pada Mac lalu, harapan kemandirian spesiesnya turut sama berkubur.

Bagaimanapun, kematian haiwan itu telah menggandakan usaha pemuliharaan badak sumbu putih utara oleh saintis dunia dengan menemui teknologi reproduksi terbaharu untuk membawa spesies itu kembali daripada ambang kepupusan.

Salah satu kunci kepada usaha itu ialah strategi penyelamatan hibrid iaitu menghasilkan embrio badak sumbu menggunakan sperma yang dikumpul daripada spesies jantan ketika ia masih hidup.

Setelah itu, ia akan disatukan dengan telur daripada variasi badak sumbu putih utara lain yang lebih serasi.

Saintis berharap hasil badak sumbu hibrid itu dapat menghidupkan semula survival spesies kelak.

Satu kajian dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B mendedahkan, terdapat kaitan antara kedua-dua subspesies badak sumbu kuno yang memudahkan lagi proses hibrid tersebut.

Menurut penyelidiknya, Prof. Michael Bruford, sampel DNA lebih 200 badak sumbu utara dan selatan menunjukkan kedua-dua kumpulan spesies purba itu menetap di kawasan sekitar Afrika, berkawan dan mengawan antara satu dengan lain selain turut berkongsi maklumat genetik.

“Sekiranya spesies itu saling berhubungan dalam lingkungan 20,000 tahun ini, sudah pasti genetik mereka cukup serasi.

“Hal ini membuatkan strategi hibrid itu mampu dilaksanakan dan dihasilkan semula,” jelasnya.

Satu-satunya spesies hibrid yang berjaya dihasilkan ialah pada tahun 1977 iaitu badak sumbu betina yang hidup selama 32 tahun dalam zoo dan tidak pernah bersenyawa.

Dengan jumlah badak sumbu putih utara betina dunia hanya dua ekor, penghasilan spesies hibrid diharap dapat membantu melonjakkan populasi haiwan itu sebagai kunci kepada strategi pemuliharaan masa depan.

“Kita tidak tahu bagaimana nasib mereka di luar sana tetapi strategi hibrid itu diharap dapat dilaksanakan hasil penemuan hari ini,” ujarnya lagi.

Pada Julai lalu, saintis telah mengumumkan kejayaan penghasilan embrio hibrid pertama untuk diletakkan dalam rahim badak sumbu putih selatan.