Video berkenaan dimuat naik oleh aktivis alam sekitar, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Md. Noor yang juga Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah.

Video berkenaan pasti mengundang rasa sayu dan sedih apabila binatang yang semakin pupus itu berdarah hidungnya dalam proses mengeluarkan straw plastik berkenaan.

Kejadian itu berpunca akibat kerakusan manusia membuang bahan-bahan berunsur plastik sehingga hanyut ke laut tanpa rasa bersalah.

Video itu ditonton lebih 30 juta orang.

Penyedut minuman plastik antara bahan yang diperbuat daripada plastik yang banyak terdapat di lautan sehingga memberi impak besar kepada kehidupan marin terutamanya penyu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa 80 peratus daripada bahan buangan di laut adalah diperbuat daripada plastik.

Dianggarkan sejumlah sembilan juta tan plastik dilepaskan ke lautan setiap tahun dan lebih 2,000 tan bahan itu adalah penyedut minuman plastik.

Malah, tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan melarang semua premis dan makanan di Selangor untuk menyediakan penyedut minuman plastik secara terbuka kepada pengguna berkuat kuasa 1 Julai lepas wajar diperluaskan sebagai satu langkah menuju sifar plastik.

Kempen larangan penggunaan penyedut minuman plastik telah bermula semenjak awal tahun ini, namun pihak berkuasa Selangor akan mengambil langkah lebih tegas dalam mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik.

Langkah ini turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meletakkan syarat dalam Permohonan Lesen Perniagaan untuk proses pembaharuan lesen dan permohonan lesen baharu.

Bagaimanapun, penyedut minuman cuma akan diberikan sekiranya diminta oleh pengguna.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah kempen pengharaman ini akan berjaya? Mampukah rakyat Malaysia mengikut jejak langkah negara Britain dan Taiwan yang mengharamkan sepenuhnya penyedut minuman diperbuat daripada plastik seterusnya ke sifar plastik dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar?

Komitmen

Kata Pegawai Lapangan di Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, rakyat Malaysia boleh merealisasikan sifar plastik sekiranya kerajaan memberi komitmen sepenuhnya dalam kempen pengharaman penggunaan penyedut minuman plastik.

Menurutnya, sekiranya kempen pengharaman ini dilakukan secara besar-besaran, pastinya agenda merealisasikan sifar plastik adalah sesuatu yang tidak mustahil dilaksanakan.

“Kerajaan haruslah mengambil langkah drastik memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahana penggunaan penyedut minuman plastik.

“Gunakan saluran yang betul seperti di media massa, iklan-iklan dan surat khabar. Lambat-laun rakyat akan mula terkesan dengan peringatan tersebut.

“Saya yakin bahawa rakyat Malaysia boleh mengamalkan sifar plastik kerana ia bukannya sesuatu yang mustahil dan paling penting ialah komitmen kita sendiri serta kerajaan. Saya berharap agar kempen yang dijalankan bukanlah hangat-hangat tahi ayam,” ujarnya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Menurut Meor Razak, kerajaan haruslah tidak menutup mata ke atas nasib pengusaha penyedut minuman plastik dan patut memberi insentif kepada golongan berkenaan yang mungkin terjejas dari segi kos pengeluaran.

Pemberian insentif adalah satu galakkan untuk pengusaha mengeluarkan penyedut minuman mesra alam seperti penyedut daripada buluh, kertas mahupun bahan kitar semula sekali gus mendidik pengguna membiasakan diri menggunakan penyedut minuman yang selamat bukan sahaja untuk alam sekitar bahkan untuk generasi akan datang.

“Sekiranya keistimewaan ini diberikan kepada golongan pengusaha, saya pasti ia tidak akan menutup periuk nasi mereka bahkan memperoleh untung apabila lebih banyak bahan mesra alam dikeluarkan dan seterusnya membawa Malaysia ke sifar plastik,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Mohd. Nazllie Zainul menambah, sifar straw boleh direalisasikan sekiranya kerajaan memperbanyakkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Poster-poster dan iklan berkaitan kempen terutamanya papan iklan di jalan-jalan utama juga wajar diperluaskan agar sentiasa menjadi peringatan kepada masyarakat.

Tahan lama

“Memperbanyakkan kempen iklan di media massa seperti surat khabar, radio, televisyen dan media dalam talian agar kempen sifar straw dapat direalisasikan secara berkesan.

“Selain itu, peniaga juga boleh menjual atau menyediakan penyedut minuman yang diperbuat daripada logam, kertas atau batang buluh di kedai mereka agar menggalakkan pelanggan menggunakan bahan mesra alam,” ujarnya.

Bagi pengusaha penyedut minuman yang diperbuat daripada batang buluh, Muhammad Syaffiq Dirril, sifar plastik mampu dilaksanakan secara berkesan sekiranya semua pengusaha penyedut minuman mengeluarkan produk-produk berasaskan bahan mesra alam atau kitar semula.

“Faedah terbesar penggunaan penyedut minuman mesra alam seperti batang buluh ialah penyedut ini lebih tahan lama dan boleh digunakan berulang kali selain tahap kebersihannya yang tidak berkarat dan mudah dicuci.

“Selain ringan, penyedut minuman buluh bebas daripada bahan kimia serta pewarna dan amat sesuai untuk pengguna yang mementingkan keselamatan dan kebersihan di samping mendidik pengguna mengurangkan penggunaan ‘single-use plastics’,” ujarnya.