Impian itu sudah lama terpendam dalam sanubari gadis Nur Syafiqah Azlan, 22, namun ia belum lagi kesampaian.

Hal ini kerana gadis berasal dari Taman Limbongan Permai, Melaka itu masih lagi menuntut sebagai pelajar jurusan kejururawatan di Universiti Selangor dan belum berkeupayaan memiliki sebarang kenderaan, hatta motosikal sekali pun.

Bagaimanapun, Nur Syafiqah perlu ke Shah Alam untuk menyelesaikan urusan konvokesyennya.

Tiada pilihan buat anak bongsu daripada tiga beradik itu selain pergi ke sana. Dalam kepalanya hanya satu, iaitu menggunakan pengangkutan awam.

Meskipun begitu, kesinambungan penggunaan pengangkutan awam di sesuatu kawasan dilihat tidak begitu meyakinkan.

“Bagi mencari solusi itu, saya melayari media sosial sehingga akhirnya menemui idea untuk menyewa motosikal menerusi laman web Nakride iaitu www.klezbike.com.

“Saya terus melakukan tempahan untuk menyewa motosikal dan bersetuju mengambil motosikal jenis Yamaha Ego S di Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur setibanya di sana.

“Dengan harga hanya RM15, saya dapat menyewa motosikal dalam keadaan yang sangat bagus untuk durasi hampir empat jam,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pelbagai jenis

Selain itu, Nur Syafiqah juga menerima motosikal yang diisi minyak petrol bertangki penuh.

Dia amat berpuas hati kerana berjaya menyelesaikan urusannya itu setelah menyewa motosikal bersama Nakride.

Nakride merupakan platform online yang menyediakan perkhidmatan sewaan pelbagai jenis motosikal pada kadar yang fleksibel.

Ia merupakan perusahaan yang dibangunkan secara online sekitar Disember tahun lalu.

Bezanya dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan sewaan kenderaan lain, Nakride tidak menyimpan aset seperti motosikal.

Sebaliknya, pemilik motosikal akan mengiklankan kenderaan mereka menerusi laman web rasmi Nakride dan penyewa akan datang ke lokasi yang telah ditetapkan untuk mengambil motosikal.

Menurut Pengasas Nakride, Mohd. Khalis Mohd. Ali, idea penubuhan itu tercetus setelah dia dan seorang rakannya membuat sewaan motosikal kepunyaan sendiri secara sambilan.

“Dengan berbekalkan kira-kira tiga motosikal sahaja ketika itu, permintaan boleh dikatakan cukup banyak setiap hari sehingga tidak menang tangan.

“Daripada situ saya nampak, permintaan itu memang ada melebihi penawaran dan percaya dengan memperkasa bahagian online untuk berurusan, ia dapat menjana pendapatan dengan lebih efisien.

“Setelah melakukan beberapa kajian terhadap beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Sweden dan Filipina, konsep asal sewaan motosikal itu diubah dengan mengguna pakai konsep perkongsian motosikal peer to peer,” ujar pemuda kelahiran Machang, Kelantan itu.

Terdapat pelbagai jenis motosikal disediakan seperti skuter sehingga ke motosikal berkuasa besar pada harga sewa bermula RM15 hingga RM200 untuk minimum empat jam.

Sehingga kini, hampir 30 buah motosikal ditawarkan antaranya model motosikal berkuasa paling kecil yang disediakan Nakride seperti Demak EX90 dan yang paling besar ialah Kawasaki ZX10R.

Pemilik motosikal bebas meletakkan motosikal yang ingin disewakan ke destinasi tertentu di seluruh Malaysia.

Setelah tempahan dilakukan menerusi laman web Nakride, pengguna akan mengambil motosikal tersebut dan boleh terus merasai pengalaman menunggang motosikal ke destinasi idaman.

Menariknya, kadar sewa itu bukan ditentukan oleh Nakride sebaliknya ditetapkan sendiri oleh pemilik motosikal.

Setiap bulan, pemilik motosikal boleh menjana pendapatan dari RM200 hingga RM5,000 bergantung kepada jenis motosikal.

Nakride pula hanya mengambil 30 peratus daripada harga setiap transaksi penyewaan.

Sekiranya terdapat permintaan, harga itu boleh diletakkan pada aras yang tinggi manakala jika tidak, pemilik motosikal boleh mengekalkan harga rendah.

Keselamatan

Tambah Mohd. Khalis, model perniagaan tersebut tidak memiliki sebarang aset sebaliknya menggunakan aset pemilik motosikal yang menjana pendapatan daripada hasil sewaan motosikal.

Disebabkan motosikal yang disewakan itu merupakan hak milik pemilik sepenuhnya, faktor keselamatan merupakan antara yang perlu diberi penekanan.

Justeru itu, Mohd. Khalis telah menetapkan syarat-syarat termasuk kriteria yang perlu dipatuhi sebelum pelanggan bersetuju untuk menyewakan sesebuah motosikal.

Sebelum sebarang transaksi disempurnakan, pelanggan dikehendaki mengemukakan salinan kad pengenalan, lesen termasuk pasport bagi warganegara asing.

Setelah latar belakang pelanggan itu diamati oleh kru Nakride, barulah permohonan itu akan diproses.

Jelas Mohd. Khalis, sekiranya terdapat sebarang masalah teknikal ketika pelanggan sedang menggunakan motosikal itu, pemilik sendiri akan datang dan mendapatkan solusi untuk setiap masalah tersebut.

Selain itu, faktor keselamatan bagi pemilik motosikal juga diambil kira kerana golongan itu merupakan kunci kepada modul perniagaan Nakride.

Setiap motosikal yang ditawarkan itu boleh dipantau menggunakan peranti GPS dan boleh dilihat menerusi paparan telefon pintar sekali gus mengetatkan lagi aspek keselamatan.

Oleh itu, pemilik motosikal boleh sentiasa mengawasi pergerakan individu yang menyewa motosikal mereka.

Bagi menguatkan lagi faktor keselamatan itu, Nakride kini sedang dalam usaha mendapatkan insurans istimewa daripada syarikat tertentu untuk golongan penyewa motosikal.

Setelah regulasi insurans motosikal yang terdapat terma tertentu itu dipersetujui kedua-dua belah pihak, pastinya keselamatan pengguna pada masa depan lebih terjamin.

Pejabat pengurusan Nakride terletak di Unit L4-6ABCD, Tingkat 4, Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Nakride, Muhammad Fairuz Fuad berkata, Nakride meletakkan sasaran sehingga 100 pemilik motosikal yang berdaftar menerusi laman web rasmi mereka penghujung tahun ini.

“Sekarang kita sudah ada kira-kira hampir 30 orang pemilik motosikal dan kami sasarkan sehingga 100 orang yang meletakkan motosikal mereka bersama kami pada penghujung tahun ini.

“Kami percaya, menjelang tahun 2019 nanti, Nakride boleh meraih sehingga 500 pemilik motosikal yang mendaftarkan kenderaan mereka untuk disewakan.

“Disebabkan permintaan itu memang setiap hari ada, kami yakin pada tahun itu Nakride akan lebih dikenali,” ujarnya menutup bicara.

Nakride merupakan platform online yang menyediakan perkhidmatan sewaan pelbagai jenis motosikal di sekitar Lembah Klang.