Jangan disangka api yang kecil tidak membawa bencana lebih besar jika tidak dipadam pada peringkat awal.

Oleh itu, alat pemadam kebakaran sangat penting dan perlu disediakan di setiap bangunan, rumah, premis dan kenderaan sebelum menunggu bantuan bomba.

Begitupun, pengguna juga hendaklah membuat penyelenggaraan alat pemadam api setiap tahun bagi memastikan ia berfungsi dengan baik ketika hendak digunakan pada waktu kecemasan.

Justeru, Aito Firework Holding Sdn. Bhd. (Aito Firework)membangunkan Sistem Pengurusan Alat Pemadam Api (FEMS) untuk memudahkan pemilik bangunan atau penyelia membuat penyelenggaraan alat tersebut mengikut tarikh yang ditetapkan.

Menurut Pengarah Aito Firework Aswan Khamis @ Maharan, pembangunan sistem tersebut sangat penting bagi memberi peringatan kepada penyelia bangunan apabila tarikh penyelenggaraan atau tarikh luput tong tersebut telah tiba.

“Dalam sebuah bangunan dianggarkan terdapat 25 hingga 50 tong alat pemadam api, maka tanpa sistem sebegini ia tidak dapat diuruskan dengan baik dan akan terlepas tarikh penyelenggaraan.

Penting

“Harus diingat, tarikh penyelenggaraan bagi alat pemadam api itu ialah setahun sekali dan tarikh luput tong pula ialah 10 tahun,” katanya ketika ditemui Infiniti di Ibu Pejabat Aito Firework, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Aswan yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selama tujuh tahun memberitahu, penyelenggaraan setiap tong alat pemadam api itu penting bagi memastikan serbuk kering tidak keras dan tekanan udara berada dalam keadaan baik untuk memberi tekanan kepada serbuk tersebut ketika hendak disembur pada kawasan kebakaran.

“Kesedaran orang ramai terhadap alat pemadam api masih rendah sedangkan kebakaran banyak berlaku pada waktu malam dan ia masa kritikal untuk mendapatkan bantuan.

“Oleh itu, pihak kami giat memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai kepentingan alat pemadam api dan cara penggunaannya,” tutur anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, FEMS telah digunakan oleh 21 organisasi antaranya Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Simpanan Nasional.

Aito Firework yang ditubuhkan empat lalu merupakan syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan alatan pemadam api dan pembangunan sistem keselamatan kebakaran.

Antara perkhidmatan yang disediakan oleh Aito Firework ialah menjual alat pemadam api, membangunkan sistem pencegahan kebakaran, penyelenggaraan alat pemadam api dan memberi perundingan keselamatan kebakaran.

Sistematik

Sehubungan itu, hasil pengalaman berurusan dengan pelbagai pelanggannya, maka syarikat tersebut menyediakan sistem FEMS untuk memudahkan penyelia menyemak alat pemadam api di setiap lokasi dengan cepat dan sistematik.

Sementara itu, salah seorang penyelidik yang membangunkan FEMS, Khairul Nizar Kamarudin berkata, pihaknya mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan sistem tersebut.

“Saya membangunkan sistem ini bersama dua orang lagi penyelidik yang pakar dalam bidang teknologi maklumat.

“Kami cuba mencari penyelesaian untuk merekod alat pemadam api dengan cara sistematik kerana kaedah manual memerlukan masa yang lama dan tidak praktikal,” terangnya yang juga merupakan Pengarah Urusan Aito Firework.

Menariknya, menggunakan sistem FEMS, penyelia bangunan akan menerima peringatan tarikh luput dan tarikh penyelenggaraan alat pemadam api menerusi khidmat pesanan ringkas dan e-mel.

Mengulas lanjut mengenai ciri-ciri yang terdapat dalam FEMS, Khairul Nizar memberitahu, ia mampu mengemukakan laporan seperti lokasi alat pemadam api, tarikh luput, jenis kerosakan, jenama pekilang dan orang yang menyelia.

Di samping itu, ia juga mampu mengemas kini jadual penyelenggaraan secara sistematik.

Beberapa negara seperti Emiriyah Arab Bersatu, Kanada dan Myanmar telah tertarik untuk menggunakan sistem tersebut dan kini dalam proses perbincangan dengan Aito Firework.