Namun, saban hari kita disajikan dengan berita mengenai pencemaran air didakwa akibat pelepasan sisa industri ke sungai hingga mengakibatkan kemelut itu tidak menemui jalan penyelesaian.

Masalah pencemaran air ekoran sisa kimia dari kilang-kilang, sektor peladangan dan penternakan serta pelbagai industri bakal meragut kehidupan jika tidak dibendung dari sekarang.

Prihatin akan isu tersebut, Advanced Process Solutions (APS) yang merupakan anak Syarikat Worldwide Industries Pte Limited (UK) telah membangunkan Teknologi Rawatan Air W3T (W3T).

APS merupakan syarikat yang beroperasi dalam industri minyak dan gas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif APS, Datin Sharifah Iz Al-Jamallulail, teknologi rawatan air itu dibangunkan bagi menangani masalah kekurangan air bersih dan pencemaran sumber itu yang dijangka melanda dunia termasuk Malaysia pada masa akan datang.

“W3T merupakan sistem rawatan air untuk membersihkan air dari sumber seperti sungai, hujan, tasik serta pembentungan yang diproses menggunakan kaedah cahaya UV dan Ozon.

“Produk ini mesra alam kerana tidak menggunakan bahan kimia semasa proses rawatan itu. Malah ia juga tiada penapis membran dan tanpa penapis kartrij,” katanya ketika ditemui Infiniti di Makmal pembangunan dan penyelidikan (R&D) APS, Taman Perindustrian, Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Kelulusan

Teknologi W3T juga mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk kontrak utama bekalan air kerajaan.

Selain itu, ia turut mempunyai kelulusan daripada Institut Penyelidikan Piawaian dan Industri Malaysia (SIRIM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH).

Produk buatan Malaysia itu juga mendapat pensijilan ISO 9001 dan ISO 14001.

Mesin W3T itu ditempatkan di dalam dua saiz kontena yang berbeza iaitu 12 meter dan 
6 meter.

“Ia mudah dipasang dan boleh dialihkan ke mana sahaja bagi tujuan merawat air malah mesin itu juga menggunakan tenaga elektrik yang sangat rendah.

“Besi kontena itu juga kukuh bagi melindungi mesin tersebut daripada kejadian vandalisme atau cubaan untuk merosakkannya,” jelas beliau.

Ujar Sharifah Iz W3T telah dipatenkan diperingkat antarabangsa dan sudah bersedia untuk dipasarkan menerusi usaha sama APS dan WT Semarak Synergy.

Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan APS, David Oakley berkata, beliau menjalankan kajian itu bersama enam orang lagi penyelidik daripada Universiti Surrey, United Kingdom (UK) dengan menggunakan sampel air sisa buangan di sebuah ladang ternakan lembu di Surrey, UK.

“Air sisa tersebut yang mengandungi sisa sembelihan, toksid, kimia, kumbahan najis dan pelbagai kotoran dari ladang tersebut.

“Hasil daripada kajian dan proses rawatan menggunakan W3T, pelepasan air memenuhi standard piawaian Eropah bagi pelepasan tanpa rawatan selanjutnya,” ujarnya yang .juga merupakan Ketua R&D yang membangunkan W3T.

Menariknya, kajian yang dijalankan itu berjaya mendapat pengiktirafan di dalam Journal Of Water Process Engineering.

Mengulas mengenai proses rawatan itu, beliau berkata, air sisa tersebut dipam masuk ke dalam mesin untuk dirawat menggunakan teknologi cahaya UV dan ozon kemudian menghasilkan air bersih.

“Kadar peratusan kebersihan air selepas dirawat bergantung kepada sumber air itu.

“Sebagai contoh bagi air kumbahan dan sisa kimia sebanyak 80 peratus manakala air sungai dan hujan boleh mencecah 95 peratus,” ujarnya yang berasal dari United Kingdom.

Jelas Oakley lagi, W3T mampu menghilangkan bau, memusnahkan minyak, lemak dan menyingkirkan bakteria, virus, alga serta kulat.

Kerjasama

Dalam pada itu, wakil projek tersebut, Azhar Ahmad Shapawi memberitahu, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan kementerian dan jabatan kerajaan untuk mengetengahkan teknologi W3T bagi merawat air dan pada masa menangani masalah pencemaran air peringkat akar umbi.

“Kami juga sedang giat berusaha untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian terutamanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi mencapai penghasilan air terawat yang berkualiti serta mempelopori bidang ini di dalam dan luar negara.

“Beberapa negara telah menunjukkan minat terhadap teknologi ini seperti Maldives, Australia, Abu Dhabi dan UK,” ujarnya.

Teknologi tersebut sesuai digunakan untuk industri perkilangan, penternakan, peladangan, rawatan kumbahan serta sistem pengairan dan saliran.