Sejumlah spesies haiwan dan tumbuhan yang tinggal di syurga tropika tersebut kini tidak dapat ditemui di mana-mana lokasi di dunia.

Hutan Hujan Tropika Belum – Temenggor adalah salah satu hutan hujan tropika yang terdapat di Malaysia dan perlu dilindungi.

Dikenali sebagai permata bumi, hutan hujan tropika merupakan habitat kepada 67 peratus hidupan dan tumbuh-tumbuhan di bumi.

Justeru, bagi merealisasikan aspirasi dan kerja-kerja pemeliharaan hutan hujan tropika seluas 300,000 hektar dan berusia lebih tua daripada Hutan Amazon tersebut Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Pulau Banding (PBRRC) telah ditubuhkan.

Ia adalah inisiatif penasihat Yayasan Pulau Banding, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Salah seorang pegawai penyelidik PBRRC, Mohd. Syaiful Mohammad, 32, memberitahu, perikanan adalah salah satu penyelidikan yang dijalankan di pusat penyelidikan berkeluasan kira-kira 185 meter persegi dan dibangunkan di atas sebidang tanah berkeluasan 2.77 ekar tersebut.

“Buat masa ini, penandaan ikan dijalankan bagi mengkaji kadar pertumbuhan dan populasi hidupan di Tasik Temenggor.

“Proses penandaan ikan dilakukan menggunakan tag untuk haiwan iaitu Passive Intergrated Trasponder (PIT), pengimbas tag, syringe tag implanter dan cecair penenang ikan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pulau Banding, Gerik, Perak baru-baru ini.

Mohd. Syaiful memberitahu, ikan akan ditangkap dan ditenangkan menggunakan cecair penenang ikan sebelum tag PIT disuntik ke dalam rongga perut ikan.

Kod bacaan PIT kemudian akan diimbas dan dicatatkan. Berat dan panjang ikan juga akan direkodkan sebelum ia dilepaskan semula ke dalam air.

Tambah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Persekitaran) Universiti Sains Malaysia (USM) berasal dari Bachok, Kelantan itu, setakat ini PBRRC menjalankan program konservasi untuk spesies ikan kelah yang dilindungi dan diancam kepupusan.

 

Lokasi penyelidikan

Katanya, ikan-ikan yang sudah ditanda akan dilepaskan di dalam kolam di PBRRC dan di Resort Hutan Hujan Belum untuk pemantauan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBRRC, Datuk Dr. Abdul Rashid Ab. Malik berkata, buat masa ini, PBRRC menyediakan kemudahan asas untuk penyelidik termasuk penginapan dan peralatan untuk menjalankan kajian.

“PBRRC bertindak sebagai pusat transit atau tempat bekerja kepada penyelidik semasa mengumpulkan sampel kajian dari hutan.

“Objektif utama penubuhan PBRRC ialah untuk menyediakan sebuah pusat penyelidikan bertaraf dunia kepada saintis dan penyelidik yang menjalankan projek kajian melibatkan hutan hujan dan alam sekitar,” katanya.

Pusat penyelidikan yang terletak di antara pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia di Gerik, Perak dan memakan masa perjalanan kira-kira lima jam dari Kuala Lumpur itu dibangunkan sejak Julai 2008.

Ia menjalankan empat teras kajian melibatkan penyelidikan, pembelajaran, pemuliharaan dan pemeliharaan.

Saintis juga sering mengaitkan hutan berusia lebih 130 juta tahun yang menyimpan banyak khazanah untuk dinikmati generasi masa hadapan tersebut sebagai ‘farmasi terbesar dunia’ berikutan penemuan banyak tumbuhan yang boleh dijadikan ubat-ubatan semulajadi.

Tambahnya PBRRC terbuka kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa malah turut mempunyai tiga saintis sepenuh masa yang mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan, tumbuh-tumbuhan dan flora.

Selain Mohd. Syaiful, Abdul Rashid memberitahu PBRRC turut mempunyai seorang lagi penyelidik, Ahmad Najmi Nik Hassan yang banyak menjalankan kajian tentang tumbuh-tumbuhan dan flora.

Zulfadhlan Ahmad Khushairi pula lebih mengkhususkan kepada pengurusan geran penyelidikan dan jaringan dengan pihak lain atau berkaitan.

“Mereka yang mahu menjalankan penyelidikan di sini perlu mendapatkan kebenaran daripada Perbadanan Taman Negeri Perak terlebih dahulu kerana Hutan Temenggor dan Royal Belum adalah milik kerajaan negeri Perak.

“Setelah mendapatkan kelulusan, PBRRC akan membantu penyelidik untuk menentukan lokasi penyelidikan selain menyediakan geran kajian kepada mereka yang berkelayakan,” ujarnya yang mula berkhidmat di PBRRC sejak 2015.

 

Kemudahan

Ujar lelaki yang berasal dari Pekan, Pahang itu, penyelidik yang pernah terlibat menjalankan penyelidikan di PBRRC termasuklah saintis dari USM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tenaga Malaysia.

“Penyelidikan banyak dijalankan terhadap tumbuhan hutan yang berpotensi sebagai herba penyembuh kepada penyakit tertentu.

“Hasil penemuan akan diserahkan kepada pemegang saham dan maklumat yang diperoleh akan dikongsi dengan pihak berkaitan,” tutur graduan doktor falsafah (PhD) dari Universiti London dan pernah berkhidmat di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebelum bersara pada 2011.

PBRRC juga pernah menerima kunjungan penyelidik daripada Universiti Kyoto, Jepun yang mengkaji tentang perlakuan komunikasi, pembiakan dan pertumbuhan populasi tapir.

Universiti Western Australia juga pernah datang untuk menjalankan kajian tentang nutrisi masyarakat Orang Asli selain Universiti Manchester yang menjalankan kajian kimia tumbuhan dan kesesuaian untuk menghasilkan ubat-ubatan.

Bagi memberi keselesaan kepada penyelidik, menyediakan kemudahan termasuk makmal dan penginapan yang mampu memuatkan sehingga 50 orang penyelidik dalam satu-satu masa.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, sempena ulang tahun ke-10 Yayasan Pulau Banding, Persidangan Hutan Hujan Belum (BRainS) akan dianjurkan buat kali kedua pada 18 hingga 20 September ini.

“Susulan kejayaan BRainS edisi pertama pada 2016, persidangan yang akan diadakan di tempat sama di Resort Hutan Hujan Belum, Pulau Banding kali ini dijangka mengalu-alukan kedatangan lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara.

“Tema BRainS 2018 meliputi perkhidmatan biodiversiti dan ekosistem, perhutanan sosial dan komuniti, konservasi hidupan liar, penyertaan pemegang saham dan tadbir urus, perhutanan dan perubahan iklim serta pengurangan pelepasan akibat penebangan hutan (REDD) bersama isu dan cabaran,” tambahnya.

Tutur beliau, perbincangan dinamik, pembentangan wawasan dan peluang rangkaian yang dipertingkatkan tersebut diharap dapat menjana pengetahuan dan memupuk kerjasama mengenai cara terbaik untuk memelihara kepelbagaian biodiversiti hutan hujan tropika dengan menjadikan Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor sebagai rujukan utama.

Dalam pada itu, Ahli Exco Pembangunan Pulau Banding, Wan Rashdi Wan Ibrahim berkata, PBRRC ditubuhkan seiring dengan hasrat mahu memastikan Pulau Banding sebagai kawasan ekopelancongan tetapi masih memelihara ekosistem persekitaran semula jadi.

“Yayasan Pulau Banding bertanggungjawab membangunkan Pulau Banding agar terus meningkatkan ekopelancongan di samping memberi perhatian untuk memelihara warisan dan kelebihan alam semula jadi kawasan hutan hujan yang tidak ternilai ini.

“Seiring dengan itu, Yayasan EMKAY telah menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat sekitar termasuk orang asli yang hidup di dalam kawasan hutan tersebut supaya mereka berpeluang mendapatkan mata pencarian secara berterusan,” katanya.

Tambah beliau, sebagai sebahagian daripada janji untuk mengekalkan biodiversiti Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor, kira-kira 80 peratus ekosistem Pulau Banding akan dibiarkan tidak disentuh dan hanya 20 peratus akan menerima pembangunan yang melibatkan elemen pembinaan mesra alam.