Tan Zheng Da sangat menyukai rutin tersebut kerana dapat membina robot mengikut kemahuannya malah menghilangkan tekanan belajar ketika di sekolah.

Pada setiap hari Sabtu dan Ahad, Zheng Da tidak pernah ponteng kelas mereka cipta robot di Creative Robotics Learning Center atau lebih dikenali sebagai CR8 yang terletak di pusat beli-belah Summit USJ, Subang Jaya, Selangor.

“Saya mengikuti kelas di CR8 sejak enam tahun lalu apabila dicadangkan oleh ibu. Aktiviti ini banyak membuka minda saya dan meningkatkan kemahiran berfikir serta daya kreativiti.

“Di sini saya banyak diberi tunjuk ajar untuk membina robot termasuklah pengaturcaraan komputer agar ia dapat bergerak dan berfungsi dengan baik,” tutur anak bongsu daripada dua beradik itu.

Tambahnya, pelajar akan diberi tugasan untuk diselesaikan dan mereka akan bersaing sesama sendiri yang seolah-olah sedang menyertai pertandingan robotik.

Zheng Da yang bercita-cita menjadi jurutera dalam bidang robotik itu menunjukkan prestasi cemerlang apabila dia dan pasukannya memenangi emas di pertandingan World Robo Master Cup serta World Creative Robotics Challenge sebanyak enam kali.

Bidang robotik

Kedua-dua kejohanan itu merupakan anjuran tahunan CR8 khas untuk pelajar-pelajar mereka sahaja.

Menurut Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan CR8, Khong Yee Jun, 30, pusat pembelajaran robotik itu dibangunkan bersama-sama dua adiknya iaitu Yee Jian, 27, dan Yee Juan, 21.

“Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, saya banyak mendorong mereka untuk menceburi bidang robotik.

“Kami banyak menyertai pelbagai pertandingan robotik di dalam dan luar negara seperti First Lego League Malaysia dengan memenangi Best Programming Award.

“Selain itu, kami turut menyertai World Robot Olympiad di Singapura, Bangkok dan Taiwan yang masing-masing memenangi Anugerah Kecemerlangan, perak serta emas,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat CR8, Summit USJ, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ekoran pencapaian cemerlang tiga beradik itu, mereka sering dijemput untuk mengajar di beberapa tempat seperti Johor dan Pulau Pinang.

Namun, dek kerana jarak yang terlalu jauh untuk memenuhi jemputan mengajar apatah lagi ketika itu sedang belajar di sekolah menengah membuatkan tiga beradik itu mengambil keputusan untuk membuka pusat pembelajaran sendiri.

Berbekalkan modal sebanyak RM100,000 daripada wang simpanan keluarga, mereka menubuhkan pusat pembelajaran yang pertama di Summit USJ pada tahun 2006.

Walaupun ketika itu, Yee Jun baru berusia 18 tahun tetapi berkat sokongan keluarga dan adik-adiknya pusat tersebut berkembang dengan maju.

Kini, CR8 mempunyai 36 cawangan di Malaysia dan tiga di Emeriyah Arab Bersatu (UAE) serta satu di India dengan jumlah pelajar seramai 40,000 orang.

Selaku Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Yee Jun bertanggungjawab membina silibus untuk digunakan di pusat pembelajaran tersebut.

“Setiap silibus itu dibuat bagi melahirkan pelajar yang berdaya saing, kreatif dan inovatif dalam suasana menyeronokkan.

“Terdapat tiga tahap pembelajaran di sini iaitu permulaan, pertengahan dan mahir,” tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Elektrik dan Elektronik, First City University College, Petaling Jaya, Selangor itu.

Setiap satu tahap itu mengambil masa sebulan untuk diselesaikan dengan bayaran RM200.

Menariknya, setiap kali menghadiri kelas pelajar perlu menyertai pertandingan mini dan siapa yang menang akan diberi pelekat.

Bagi mereka yang berjaya mengumpul dua pelekat boleh menebusnya dengan sebuah trofi.

Pelajar di CR8 terdiri daripada mereka yang berumur seawal lima sehingga 17 tahun.

Sementara itu, Yee Jian yang bertanggungjawab sebagai Pengarah Pemasaran CR8 berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan untuk menggunakan silibus CR8 sebagai kokurikulum di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

Menguasai Sains

“Kita harus sedar, tidak semua pelajar boleh mengikuti kelas robotik kerana kekangan kewangan dan projek ini merupakan tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat.

“Program-program sebegini sangat penting terutamanya untuk meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, berfikir di luar kotak, literasi komputer, menanamkan minat dalam bidang robotik, menguasai sains, teknologi, kesenian dan matematik,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Yee Jian yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Jaringan Komputer turut merancang untuk memperluaskan pusat pembelajaran robotik itu di Singapura dan Australia pada masa akan datang.

Selain berperanan sebagai pusat pembelajaran, CR8 juga turut menjual set robotik, mengadakan bengkel dan pelbagai aktiviti.

Bagi memastikan pusat tersebut sentiasa relevan, mereka bertiga akan memastikan silibus sentiasa dikemaskini begitu juga penggunaan teknologi terkini.

Dalam pada itu, Yee Juan yang bertindak sebagai Pengarah Operasi memberitahu, setiap kelas mempunyai tiga orang tenaga pengajar dan memuatkan kapasiti pelajar seramai 10 orang untuk setiap sesi.

Bagi memastikan setiap cawangan itu berjalan lancar pihaknya menempatkan seorang pengurus operasi.

Mengulas lanjut mengenai operasi di CR8, Yee Juan berkata, pusat pembelajaran itu dibuka pada hari Sabtu dan Ahad yang masing-masing mempunyai dua sesi iaitu pukul 1 petang hingga 3 petang serta 3.30 petang hingga 5.30 petang.