Dalam usaha memupuk masyarakat yang prihatin tentang kepentingan amalan menjaga kebersihan, pihak kerajaan dan swasta telah mengadakan pelbagai kempen.

Antara program yang dilaksanakan ialah kempen amalan kitar semula.

Bagi merealisasikan impian itu, Hari Kitar Semula Kebangsaan telah diadakan pada tanggal 11 November setiap tahun.

Bertempat di Anjung Floria, Putrajaya baru-baru ini, berlangsung satu sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan yang bertemakan #PeluangKedua yang bermaksud sisa pepejal dimanfaatkan semula daripada dilupuskan.

Melalui tema itu, amalan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle telah ditekankan dalam kalangan masyarakat.

Penganjuran kempen itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan 3R sebagai langkah penting dan berkesan dalam menguruskan sisa pepejal secara mampan demi generasi akan datang.

Sementara itu, Muhammad Hafizz Nordin, 15, berkata, program Hari Kitar Semula Kebangsaan yang diadakan itu dapat memupuk kesedaran tentang amalan kitar semula.

Menurutnya, dia berasa gembira kerana berpeluang untuk bersama-sama memeriahkan program itu.

“Melalui program ini, generasi muda seperti kami ditekankan dengan kepentingan amalan 3R.

“Melalui amalan 3R ini, tidak semua sisa pepejal perlu dilupuskan tetapi ada yang masih boleh dimanfaatkan,” katanya.

Tambahnya, kempen 3R itu juga perlu diperluaskan di sekolah-sekolah kerana para pelajar harus disemai dengan amalan tersebut.

Melalui cara itu, ia akan dapat melahirkan generasi yang peka untuk bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran.

Jana pendapatan

Dalam pada itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, tema #PeluangKedua dipilih sesuai dengan peranan kementerian itu dalam melaksanakan pelbagai usaha ke arah memastikan pembangunan lestari perbandaran di Malaysia dapat dicapai.

Menurutnya, jika dilihat dalam konteks pengurusan sisa pepejal, secara purata sebanyak 38,000 tan sisa pepejal dijana pada setiap hari.

“Daripada jumlah itu, 80 peratus sisa pepejal datang dari kawasan bandar. Daripada jumlah 31,400 tan sisa pepejal ini, hanya 21 peratus dikitar semula dan selebihnya 79 peratus dihantar ke tapak pelupusan.

“Namun, sebenarnya sebanyak 45 peratus daripada 79 peratus atau 15,000 tan sisa pepejal itu masih boleh dikitar semula,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di Putrajaya baru-baru ini.

Tambahnya, melalui amalan kitar semula, ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan sampingan seterusnya meningkatkan ekonomi keluarga dengan mengoptimumkan penggunaan sisa pepejal sebagai sumber yang boleh memberi nilai tambah.

Sebagai contoh, sisa yang dibuang dari kawasan perbandaran adalah sisa makanan yang boleh dikompos semula dan menjadi baja serta mempunyai nilai tinggi.

Namun, oleh kerana tahap kesedaran yang rendah dan tidak mempunyai pengetahuan, sisa itu dibuang begitu sahaja ke tapak pelupusan.