Namun, di sebalik keunikan yang ada pada haiwan itu, tenggiling juga diancam dengan masalah kepupusan.

Dilaporkan lebih sejuta ekor tenggiling diperdagangkan secara haram di seluruh dunia antara tahun 2000 dan 2014, sekali gus menjadikan haiwan itu antara mamalia yang paling tinggi diperdagangkan.

Menurut Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF), populasi tenggiling Asia merosot sehingga 80 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Punca utama adalah permintaan yang tinggi di China dan Vietnam kerana daging tenggiling dianggap sebagai makanan eksotik manakala sisik haiwan tersebut digunakan dalam ubat-ubatan tradisional.

Bersempena dengan Hari Tenggiling Sedunia yang disambut pada 17 Februari setiap tahun, Kelab Pencinta Alam, Sekolah Kebangsaan (SK) Menerong yang terletak di daerah Hulu Terengganu, Terengganu telah menganjurkan satu program outreach berkenaan haiwan tersebut.

Haiwan terancam

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kumpulan Penyelidik Tenggiling, Institut Penyelidikan Kenyir (IPK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Guru Penasihat, Kelab Pencinta Alam, SK Menerong, Hashimi Ismail berkata, program itu diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan berkenaan haiwan unik yang kini berstatus sangat terancam kepada bukan sahaja ahli Kelab Pencinta Alam tetapi juga seluruh warga SK Menerong.

“Program ini melibatkan penyertaan seramai 141 pelajar, 15 guru dan 5 kakitangan pejabat sekolah.

“Pelbagai aktiviti berkaitan tenggiling telah diadakan bermula dengan soal selidik bagi menentukan pengetahuan sedia ada murid tentang tenggiling, diikuti dengan ceramah yang disampaikan oleh wakil daripada kumpulan penyelidik tenggiling,” katanya.

Tambahnya, semua yang hadir dalam program itu juga berpeluang untuk melihat anak tenggiling yang diawet dalam larutan formalin dan memegang seekor tenggiling yang telah diawet kering.

Hashimi menjelaskan, melalui program itu, peserta didedahkan dengan jenis tenggiling yang ada di dunia seperti spesies Tenggiling Sunda atau Tenggiling Malaya (Manis javanica) yang terdapat di Malaysia, Brunei, Kemboja, Laos, Singapura, Thailand, Myanmar dan Indonesia.

Pemburuan haram

Sementara itu, satu lagi spesies iaitu Tenggiling Filipina (Manis culionensis) hanya terdapat di Pulau Palawan, Filipina.

Tenggiling bersifat nokturnal iaitu aktif pada waktu malam dan menjadikan semut serta anai-anai sebagai makanan yang dimasukkan ke dalam mulutnya menggunakan lidah yang melekit.

Bagi memudahkan proses penghadaman, tenggiling yang tidak mempunyai gigi memakan batuan kecil.

Haiwan ini sangat mahir berenang dan memanjat pokok serta hanya melahirkan satu atau dua ekor anak dalam tempoh setahun.

Pemburuan haram merupakan ancaman utama bagi Tenggiling Sunda yang diburu kerana mempunyai harga yang tinggi bagi permintaan terhadap daging, sisik dan kulit terutamanya sebagai makanan. Ia juga dijadikan bahan-bahan dalam perubatan tradisional Cina.

Selain itu, tenggiling juga menghadapi masalah kehilangan habitat dan penyeludupan di Malaysia.

Hashimi menjelaskan, dia berharap agar melalui pelaksanaan program pendidikan pemuliharaan tenggiling itu, murid-murid SK Menerong akan membawa mesej yang telah disampaikan iaitu memulihara alam sekitar serta spesies terancam sebagai tanggungjawab bersama sehinggalah mereka dewasa.