Penuntut jurusan Pengurusan Alam Sekitar di universiti itu tekun memerhatikan dari jauh setiap gerai pameran yang dihias indah dengan bertemakan alam sekitar sempena Ekspo Alam Sekitar Belia (YEE) 2018 baru-baru ini.

Sesekali dilihat Nur Aina Kamilia singgah dan mengajukan beberapa soalan berkaitan alam sekitar kepada urus setia gerai terbabit dan mengangguk-angguk sebagai tanda setuju.

“Saya dapat tahu mengenai acara ini menerusi rakan sekelas yang mempunyai minat sama terhadap alam sekitar.

“Menerusi program seperti ini, masyarakat khususnya golongan belia dapat didedahkan dengan isu-isu berkaitan alam sekitar seperti kepentingan kitar semula, kompos dan bahaya plastik.

“Saya juga dapat menambah pengetahuan berkenaan biodegredasi kerana ia salah satu perkara penting yang membantu mengurangkan isu pencemaran plastik,” ujarnya ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.

Selain itu, Nur Aina Kamilia juga teruja dapat mendalami ilmu baharu berkaitan seni menanam tumbuhan atau pokok-pokok kecil di dalam bekas kaca iaitu terarium.

Baginya, program seperti itu merupakan alternatif terbaik dalam mendidik masyarakat mengenai isu alam sekitar dengan lebih berkesan.

YEE2018 merupakan program yang dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama UPM dan Coca-Cola Malaysia.

Aktiviti

Program yang dianjurkan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM selama sehari itu mencatat penyertaan kira-kira 500 pengunjung yang terdiri daripada golongan kanak-kanak, pelajar, mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pelbagai aktiviti menarik turut dilaksanakan seperti pertandingan video kitar semula, kuiz alam sekitar, pertandingan kitar semula, gubahan terarium, pertandingan poster dan pertunjukan silap mata.

Menurut Presiden MNS selaku ketua penganjur, Prof. Dr. Ahmad Ismail, matlamat utama program itu ialah memberi pendedahan kepada orang awam khususnya golongan belia mengenai pendidikan alam sekitar serta usaha pemuliharaan yang boleh dilakukan.

Selain itu, ia juga memainkan peranan untuk memupuk semangat sukarelawan dalam diri belia terutamanya hal-hal berkaitan alam sekitar.

“Program ini menempatkan kira-kira 10 buah gerai pameran yang memfokuskan isu alam sekitar tertentu seperti biodegredasi, plastik, kompos, microbead atau zarah plastik dan produk kitar semula.

“Ia disertai oleh lima buah universiti awam terkemuka seperti UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Penyertaan tersebut dilihat dapat membina generasi sukarelawan terpelajar yang mendahului dan menjuarai aktiviti kitar semula,” kongsinya.

Wajar dicontohi

YEE merupakan program tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2012.

Menariknya acara kali ini, ia ditaja oleh Coca-Cola Malaysia dengan jumlah tajaan sekitar RM650,000.

Menerusi kolaborasi tersebut, Ahmad berharap kerjasama lebih efektif dalam pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan dapat dijalankan dalam skala besar.

Bahkan baginya, usaha itu wajar dicontohi oleh syarikat swasta lain demi menyuntik kesedaran dalam diri masyarakat untuk menangani isu alam sekitar.

Sementara itu, Penyelidik Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) UKM, Nik Mohd. Noor Faizul Md. Saad berpendapat, program YEE merupakan medium terbaik untuk mendekati generasi muda dan masyarakat awam khususnya dalam isu alam sekitar.

Katanya, inisiatif kitar semula bukan suatu perkara yang asing bagi masyarakat kita.

Bagaimanapun, sehingga kini kefahaman masyarakat berkenaan topik kitar semula dilihat masih lagi rendah.

“Cara terbaik untuk mendekati golongan ini ialah menerusi pendekatan yang lebih kreatif dari peringkat akar umbi.

“Menerusi penyertaan dalam gerai pameran di sini, kita dapat menunjukkan kepada golongan belia bagaimana untuk memulakan amalan 3R iaitu Reduce (mengurangkan), Reuse (guna semula) dan Recycle (kitar semula).

“Ia merupakan salah satu sumbangan kita untuk mendidik masyarakat sehingga akhirnya Malaysia suatu hari nanti selari seperti negara maju lain yang berupaya menguruskan sisa pepejal dengan efisien seperti Korea dan Jepun,” ujarnya.

Lebih 500 pengunjung hadir ke Ekspo Alam Sekitar Belia (YEE) 2018 anjuran Persatuan Pencinta Alam Malaysia dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia dan Coca Cola Malaysia demi memupuk semangat cintakan alam dalam kalangan belia.